Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Nov 1935, p.416-418

General Article.

Tambahlah Pendidikan dengan Perusahaan.

((oleh Takrim, Melaka))

Hari ia sudah sampai masanya orang-orang Melayu kita tak boleh hidup dengan sejalan pencarian yang kecil -- dunia sekarang berkehendakan banyak wang, untuk memenuhkan kewajipan diri. Tiap-Tiap orang selalu perangai mereka berpuas-hati hidup dengan jalan pendapatan yang kecil. Sekarang mahulah segera berikhtiar mencari jalan menambah mata pencarian, baik dengan apa jalan sekalipun!

Bukalah lingkar sekarang, jangan malu, jangan segan, supaya kira-kira kewajipan itu cukup dibayar oleh hasil pekerjaan dan perusahaan diri tiap-tiap orang -- kemajuan negeri Melayu tertanggung di atas batang tengkuk orang-orang Melayu yang tahu malu akan kerendahan digari kesenangan kaum bangsanya -- segala ikhtiar yang berjeritan seperti suara katak betung terlaung-laung di muka surat-surat khabar dan majalah itu sangat berharga disambut oleh kaum bangsa kita yang tidur dan bingal kerana itulah sebaik-baik peluang yang dipedomankan oleh kaum penganjur kita untuk memadamkan malu kelemahan Melayu.

Wahai bangsaku! Pilihlah satu-satu pedoman yang sesuai dengan diri tiap-tiap orang dan buat untuk menambah mata pencarian kepada kaum bangsa dengan tidak lengah berkemas dan bersikap diri menghadap kemahuan dunia sekarang -- sedikit daripada sifir pihak laki-laki yang mesti baca: bila sudah jadi orang muda setengahnya dapat kerja di mana setengahnya menjadi kutu jalan dalam nasib tak suka berikhtiar mengutu di atas harta ibu bapa bila kewajipan berkahwin sudah ditunaikan pendapatan muda sudah tidak memadai.

Ketika sudah beranak-pinak yang ada hampir setandan kelapa banyaknya serta berumah tangga masa itu lagi bertambah tiada memadai ((dikecualikan mereka yang gaji beratus-ratus)) apa sudah jadi, miskinlah Melayu hari ini -- pernah juga kita mendengar ada yang bergaji -- $200 setengahnya mengucapkan sempit kerana hendak menyempurnakan 3 atau 4 orang anaknya: bagaimana orang-orang Melayu kita yang besar kuli dengan gaji -- $20 -- hendak menyempurnakan seperti itu? Tentang tanggungan hidup semakin tua semakin berat. Diharapkan pendapatan hasil diri itu patut mengikut sama bertambah pilihlah: perusahaankah atau perniagaan?

Sebahagian daripada perusahaan yang banyak kita menghadapkan "Perusahaan Membela Ayam", yang memang dipusakai oleh orang-orang Melayu. Kalau dihitung panjang masa ini semua rumah-rumah orang-orang Melayu ada mempunyai belaan itu di rumahnya masing-masing; tetapi perusahaan itu tiada berperuntukkan yang elok dengan sifat ambil ada sahaja untuk kegunaan buat makan daging ayam sekali sekala. Reban-Reban ayam Melayu yang ada hari ini masih terbiar dan makan minum ayam tidak jadi mustahak dijagai -- dalam sangkaan orang-orang Melayu kita -- perangai yang begini sudah sampai musimnya patut kita hanyutkan sampai perusahaan ini jadi bertambah besar hasilnya ditangan orang-orang Melayu dengan peraturan yang elok. Setinggi-Singgi pangkat orang-orang Melayu sekarang sudah suka berhidup dalam kolam kesihatan, moleklah perusahaan itu dibaiki bukanlah sahaja bertujuan hendak membesarkan perusahaan itu kerana hasilnya tetapi juga lebih berharap orang-orang Melayu kita dapat memakan daging ayam yang bersih dalam belaan yang sempurna di masa yang akan datang.

Sebanyak tulisan ini lebih dihadapkan kepada kaum Guru-Guru Melayu Semenanjung untuk mengambil rekod yang pertama mendahulukan membaiki perusahaan itu dengan belanjaan yang kecil pada mula-mulanya dapat menyediakan sebuah kawasan membela ayam itu dengan reban yang cantik dan berperaturan.

Yang elok iaitu satu kawasan 30 x 20 hela berpagar kawat jaring -- sebuah reban berpahat daripada kayu yang baik seluas 8 x 6 x 5 kaki serta tempat makannya cukup perbelanjaannya ke bawah $60, termasuk harga membeli 15 ibu ayam dan seekor bapanya bangsa Eropah -- perbelanjaan sebanyak yang tersebut dipercayai guru-guru Melayu ada cukup mampu untuk persediaan itu. Katalah lambat dapat menyediakan perbelanjaan itu kita memang tahu guru-guru Melayu sekarang sudah berjimat dalam syarikat bekerja-bekerjasama. Jika dihitung panjang tiap-tiap orang sudah yang lebih $100 membawa kepada $1,000 wangnya tersimpan sekiranya guru-guru Melayu meminjam sementara untuk sebanyak yang tersebut -- tentulah syarikat bekerjasama itu memandang dengan ikhlasnya memberi pinjaman itu kerana menambah kebajikan diri ahli-ahlinya.

Tetapi dipercayai terkurang 20 percent guru-guru Melayu yang akan suka menggunakan peluang ia di mana ada cukup layak untuk persediaan itu. Adakah guru-guru Melayu suka mencuba peluang ini? Lebih besar gunanya menjadi contoh pada kaum bangsa di kampung-kampung kerana kaum guru yang bilang ribu ada cukup menjadi pedoman pada tiap-tiap kampung dalam Semenanjung di mana ada harapan perusahaan itu semakin jadi membesar ditangan orang-orang Melayu dengan aturan yang elok di belakang hari -- dalam tahun 1931 sahaja lebih semilyun ringgit wang Tanah Melayu ditukarkan dengan ayam dan telur dari negeri asing. Sebanyak wang itu patutlah orang-orang Melayu kita tahu seorang sedikit sediakan ayam-ayam orang Melayu, supaya wang itu pada tiap-tiap tahun kita bahagi ramai-ramai kita tukarkan dengan lima enam ekor ayam orang-orang Melayu yang akan dibela ini.

Sekianlah tulisan kita kerana menghormatkan kaum bangsaku yang dikasihi dengan harapan supaya dinaikki tujuannya -- peraturan-peraturan yang lebih sempurna boleh kita menerima nasihat dari pegawai-pegawai tanaman dijajahan masing-masing atau kalau setuju, Takrim nanti ceritakan pada kali yang kedua adanya.