Majalah Guru extract
bibliographical notes on Majalah Guru
index of Majalah Guru extracts
    • locate in index of extracts taken from Majalah Guru

 

Majalah Guru, Sep 1935, p.331-334

General Article.

Apakah kemajuan perempuan itu ditulis oleh ramai?

Beribu-ribu kali penulis-penulis surat-surat khabar dan majalah-majalah telah menulis berkehendakan kemajuan perempuan dalam sebarang apa pergerakan yang diperbuat oleh orang laki-laki. Akan tetapi wajib ingat mana dia yang dikatakan kemajuan bagi mereka itu!

1. Adakah sepuluh dua puluh orang perempuan yang menonton football atau sebarang permainan ditulis dalam surat khabar -- kaum ibu sudah maju?

2. Bolehkah dikatakan sepuluh dua puluh orang gadis perempuan Melayu berkahwin kerana cinta itu sudah maju?

3. Dan lima enam orang pula sudah terjun ke laut atau menggantung diri kerana tak hasil maksudnya dengan seorang laki-laki itu dituliskan dia -- gadis maju!

Tuan-Tuan Penulis jangan lupa -- adalah tulisan-tulisan tuan telah menjadi sebagai satu hasutan kepada segala kaum-kaum perempuanku yang lemah tertarik ingin ia kepada apa yang tuan katakan maju seperti yang di atas, yang mana mereka terasa ia pun wajib maju juga dengan pujian yang demikian itu, manakala syaitan dan nafsu telah sampai menyusuk dan memulas-mulaskan hati perutnya.

Pada masa sekarang ini kaum-kaumku perempuan sudah salah haluan sama sekali -- sama juga salah benang! Adalah mereka itu sudah tertarik dengan hasutan penulis-penulis yang kurang hemat sebagai yang di atas ((Jangan main rangkum sahaja hoi! Pengarang))). Cuba perhati sedikit karangan-karangan yang sudah keluar dari halaman-halaman surat-surat khabar seperti ini:

1. Tak eloknya perempuan kahwin paksa -- ini hingga dikarangkan beberapa buah buku cerita seperti yang berpuluh-puluh keluarannya di Semenanjung ini.

2. Eloknya berkahwin bercinta-cinta terlebih dahulu ditulisnya dengan sedap dari rekaan pengarang yang cenderung kepada kemajuan yang salah.

Jadinya sebab itu saya berani berkata berterang-terang adalah buku-buku cerita yang seperti itu seolah-olah menjadi racun yang bisa boleh menjahanamkan dan merosakkan hidupnya kaum perempuanku yang lemah itu.

Tuan-Tuan Penulis itu saya kata juga dan boleh dihadkan hingga mana perasaannya telah terkandung di dalam jasadnya yang masih rendah perasaan dan terdorongan kemajuannya.

Diantaranya pengarang cerita kalau dibandingkan dengan pengarang-pengarang dahulu itu amatlah berlainan fikiran mereka. Saya patut memuji adalah pengarang-pengarang zaman dahulu itulah yang patut diangkat tinggi namanya sungguhpun karangan mereka tidak sedap dan kurang memberangsangkan hati -- lihat Syair Siti Zubaidah, Syair Harith Fadhilah, dan lain-lain lagi yang patut Tuan Pembaca membacanya jika belum membacanya.

Adalah karangan-karangan orang dahulu sudah ditempohnya segala yang buruk itu baru dikarangnya betul-betul, bukan seperti orang zaman sekarang masa dalam bangku sekolah sudah mula berakar dan berumbi dalam hatinya inginkan kemajuan yang ditulis oleh penulis surat-surat khabar dengan fikiran yang durjana.

Mengapa? Tidakkah boleh pengarang buku-buku cerita sekarang ini mengalih haluannya dan menatangkan fikirannya cuba menulis dengan fikiran yang merasa kemajuan yang dikehendaki ugama dan zaman?

Cuba tulis hal-hal yang menyalahkan kahwin cinta itu dengan satu buku karangan yang sedap dan boleh pula mematahkan kata karangan-karangan yang palsu dan masih berjalan sekarang ini beberapa banyak.

Tuan-tuan jangan lupa adalah buku-buku cerita yang mengandungi cerita asyik maksyuk ((Jalan kemajuan kata orang pandai baru. Pengarang)) itulah yang telah menjadi sebagai satu jalan yang meleburkan kehidupan bangsaku perempuan Melayu.

Wahai kaum perempuanku yang dikasihi -- adalah kita sekalian ini telah diperbagai-bagai kan oleh penulis yang rendah cita-cita dan oleh segala mereka yang berhati bengkok -- yang mana tujuan mereka ingin hendakkan kita berkepit-kepit tangan dengannya dan seronok ia bila kita boleh bebas di tempat-tempat mana pun dengan sebab tarikan ceritanya itu.

Manakah hati kita dan manakah perasaan kemanisan kita perempuan yang boleh tahu melihatkan remuk redamnya barisan kaum perempuan kita yang tegap itu telah digoyang oleh sibut kemajuan yang diiringi oleh syaitan dan iblis itu?

Dalil-dalilnya boleh kita perhatikan beberapa banyak kaum-kaum gadis kita orang Melayu yang telah meninggalkan rumah-rumah tangganya. Dan beberapa ramai pula kaum kita yang ingin mati jika tiada dapat nikah dengan seorang laki-laki dan beberapa orang pula yang sudah terserah leher dalam bilik dan pokok kayu.

Ya! Sekalian itu dengan hasutan mereka-mereka yang menulis kemajuan buta, dan mengarang cerita-cerita yang bukan-bukan. Kita kaum perempuan wajib ingat lagi bahwa adalah kaum laki-laki kita sekarang boleh dibilang dengan anak jari yang ada berperasaan ikhlas betul hendak menimbulkan kita dari bahaya yang sudah dikemukakan oleh orang yang sesat.

Saya sendiri tidak percaya yang kaum ibu kita mencapai kemajuan dengan jalan yang dikemukan seperti di atas.

Berhamburanlah air mata, mendidihlah darah di dalam jantung kita bila mengenangkan kaumku perempuan sudah lebur kehidupan perempuannya yang bersih dan tidak sebagai asuhan orang tua-tua kita dahulu itu.

Di akhirnya saya suka menasihatkan kaumku perempuan adalah kemajuan kita bukan di situ tempatnya dan tidak demikian kemajuan yang sebenar melainkan demikian,

1. Boleh kamu bebas tetapi dengan sempadan yang dibenarkan oleh Syarak. Yakni bebas kamu berfikiran atas memilih sesuatu yang baik -- bukan yang buruk hendak diterima!

2. Berhati-hati kamu menerima nasihat dan asuhan ibu kamu sesama gadis. Bukan ikut kehendak hati kamu!

3. Rumahtangga itulah negeri kamu dan suami yang dicari oleh ibu bapa kamu itulah yang jadi syurga hidup kamu. Bandingkanlah dengan datuk nenek dan ibu bapa kamu yang lalu, jangan kamu bandingkan orang yang selalu hendak kemajuan.

Hidupkan diri kamu sebelum mati. Tetapi lebih baik mati kamu jika hidup sebelum berfikir.

Siti Maimun.