Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 25 Aug 1932, p.1

Leader Article.

Majlis di dalam Riwayat Ringkas Genap Berumur 70 Bilangan Mengkhidmatkan Pembacanya.

Tuan-Tuan Pembaca Yang diKasihi!

Syukurlah kita ke hadrat Tuhan yang menjadikan segala sebab untuk riwayat alam ini. Bahawasanya segala kejadian dan perubahan itulah yang menjadi tarikh dan riwayat.

Keluaran ini genaplah Majlis berumur selama 70 bilangan, mengkhidmatkan pembaca-pembacanya. Dan dari bilangan ini, mulailah Majlis membawa riwayat baru dengan bertambah dua muka lagi dari biasa. Kita sangat-sangat bergirang apabila kita sempat mengeluarkan Majlis ini delapan muka. Kegirangan mana kembalilah segala kemuliaannya bagi pembaca-pembacanya yang memang budiman itu.

Sesungguhnya dengan sokongan mereka itulah jua Majlis ini dapat bergerak selangkah lagi ke hadapan dengan tidak berubah membeza haluannya dan bayarannya dan tidak pula mendatangkan keberatan atasnya.

Oleh kerana Majlis ini pada hakikatnya memang milik kepunyaan Tuan-Tuan Pembaca, sukalah kita menerangkan perdiriannya dan perjalanannya supaya Tuan-Tuan Pembaca bersenang hati.

Sebagaimana pembaca sedia maklum, bahwa Majlis ini pada masa diperanakkan dari kedengungan ibunya, hanyalah dengan enam muka sahaja. Sesungguhnya pada masa itu belumlah kita menyangka adakah sesuatu kejayaan itu hampir sahaja di hadapan kita, meski Majlis selamanya tak pernah berputus asa akan sesuatu kejayaan. Setelah dizahirkan barulah dapat dipastikan. Mudah-mudahan cita-cita itu telah makbul!

Bolehlah kita bermegah sebentar bahwa keluarannya nyatalah lalu belumlah pernah tergendala. Pembacanya mudah-mudahan semakin bertambah dari suatu masa ke suatu masa, hingga sampai kepada angka yang lebih dari disangka.

Bukan sahaja Raja-Raja, Engku-Engku dan Datuk-Datuk serta Encik-Encik dan Tuan-Tuan Pegawai-pegawai, kerani, guru-guru dan saudagar-saudagar yang memang pembaca suratkhabar; akan tetapi ialah jua boy, peon, drebar motokar, bangsa kita telah didaftarkan di dalam daftar langganan kita sebagai langganan yang tetap dan ruangannya juga telah dihargakan oleh saudagar-saudagar sebagai medan iklannya sedang pengakuan atas wang yang telah dibayar baginya, tetapi seperti biasa, iaitulah pengakuan Encik Muhammad Amin bin al-Marhum Haji Muhammad Yusuf ((Cik Soh)) yang memang terkenal di antara kebanyakan orang-orang kita Melayu.

Sebelum ketetapan mengeluarkan Majlis ini delapan muka kita memang telah berfikir mencari jalan kemajuannya, kita telah berkira mengeluarkan dia tiga kali seminggu dengan tubuhnya enam muka juga.

Akan tetapi fikiran itu telah dibantah oleh Tuan Punya sendiri, kerana sungguh pun yang demikian itu boleh dikira kemajuan jua, akan tetapi pula akan mendatangkan sedikit keberatan atas pejabatnya apabila mereka terpaksa menambah bayaran 10 sen lagi seminggu atau harga langganan Majlis akan naik $1.30 sebulan di dalam zaman meleset ini.

Kita tidak berniat akan mendatangkan keberatan atas pembaca-pembaca kita, bahkan kita selamanya berniat membawa perkhabaran dan buah fikiran yang setimbang dengan wang yang dibayar baginya.

Dengan sukacita kita mewartakan bahwa Majlis ini akan dikeluarkan delapan muka terus dengan tidak ditambah bayarannya, dan inilah artinya Majlis di dalam riwayat ringkas! Sebagaimana anuan kita di atas.

Kita berharap lagi mudah-mudahan itu sempat menambah riwayat ini dengan riwayat-riwayat yang menyenangkan hati pembaca di dalam masa yang tak jauh di belakang ini.

Penutup, kita ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kita bagi Tuan-Tuan Langganan yang telah melambuh [?] perdirian Majlis ini serta diharap akan berkekalan. Was-salamualaikum wa-rahmatullah!

Selangor Press. Pengurus. Pengarang.