Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Jun 1930, p.1-2

Leader Article.

Kampung-kampung Melayu dan Perniagaan.

Sambungan Saudara bilangan 88.

Tiap-tiap sesuatu itu baginya sebab, maka sebab bagi ketiadaan majunya perniagaan Melayu ini, tidak lain daripada berselisihan faham atas mendidik, mengawal dan melariskan perniagaannya dengan faham dan kebiasaan bangsa asing yang telah mahir di medan ini, sama ada tentang aturan, susunan, hiasan, muslihatnya, jual-belinya mau pun tentang modal keluar masuk.

Maka pada waktu yang orang-orang senang boleh memilih mana yang boleh molek barangnya, yang lebih sedap, yang lebih senang, yang boleh murah, tidak dapat tiada tertariklah hati kebanyakan kita dengan tidak berfikir lebih jauh pada membeli ke kedai bangsa asing dengan tidak menghiraukan keuntungan yang dihulurkannya itu ke tangan siapa?

Maka apabila bangsa kita sendiri tidak suka membeli dan memajukan perniagaan bangsanya, apakah bangsa lain akan memajukannya?

Mustahil!

Kerana tiap-tiap bangsa asing itu pandangannya ada lebih jauh dan tujuannya pada membeli-beli barang itu ada bererti. Tatakala demikianlah adanya tidaklah sebab-sebab yang memundurkan perniagaan Melayu itu oleh salah ambilan si penjual dan si pembelinya dan jika perniagaan syarikat oleh si pengawalnya.

Dikata orang: sabit bagi tiap-tiap penyakit itu ubat. Maka tentang penyakit yang merasuk perniagaan bangsa kita ini, wajiblah diikhtiarkan dan digunakan ubatnya, dan bila berubat hendaklah berpenting, ubat dan pentingnya itu memang ada dipengetahuan Tuan-Tuan usahlah saya celotehkan di sini lagi, kerana perkara yang jadi pandangan saban hari kalau tak banyak sedikit pun adalah jua ia turun daripada mata itu ke hati, dan saya tidaklah jua ketinggalan daripada menggoyangkannya dari atas tadi yang Tuan tentulah tampak kelebihannya.

Hanya tentang menggunakan ubat dan memegang pantang itu bergantunglah ia kepada sekuat mana kemahuan kepada sembuh daripada penyakit itu.

Wal-hasil, adalah bangsa-bangsa asing yang telah mahir dan maju di medan perniagaan itu, tidaklah jua ia terkecuali daripada jatuh bangun, hal keadaannya seperti kita jua, ya! Kita sama-sama manusia. Tidak dinamakan dengan manusia melainkan kerana lupa dan lalainya, dan tidak dinamakan hati melainkan kerana berbalik-baliknya.

Akan tetapi bandingan bangsa asing itu dengan perniagaan seumpama semut dengan manisan, jadi tidaklah diendahkannya walau apa pun bahayanya, hatta kepada hilang jiwanya sekalipun asalkan dapat ia mencecap manisan itu. Yang demikian bila sudah terserendung langkah perniagaan seseorang dan jatuh, tidaklah terbantut cita-citanya tetapi semakin subur oleh sebab ia telah dapat suatu pelajaran lagi buat menambah pengetahuannya yang sedia dalam muslihat perniagaan daripada apa jalan yang membawanya jatuh itu, dan tidak sahaja menambah pengetahuan si jatuh itu tetapi kepada saya pemandang jua pun sama dapat pertunjuk.

Maka dengan jalan ini hingga alam bangsa itu cukup faham dan mengerti serta ketagih akan perniagaan itu, malahan tidak ia berasa puas dengan apa jua mata pencarian yang lain sebelum ia memasukkan tangannya kepada berniaga. Maka perasaan yang seumpama ini tidak datang menampil di luar kulit membulu romanya sahaja tetapi telah berkhamir dengan darah perasaan semulajadinya.

Maka bagi bangsa kita walaupun pada hari ini masih lagi sayup pemandangannya kepada perniagaan itu, tetapi angan-angan saya sangat tinggi dan harapan saya masih penuh. Pada suatu masa kelak akan kelihatanlah bangsa kita berlumba-lumba di medan pergaulan ini memajukan perniagaannya sebagaimana telah berlumba-lumba bangsa asing pada masa ini, dan ketinggalan kita di medan ini sekarang tidaklah ia perkara yang mengecualikan hati dan melemahkan tujuan kita, kerana jika dibandingkan tarikh negeri mereka itu dengan negeri kita, bahwa nyatalah negeri kita ini seumpama kanak-kanak yang belum membesar lagi.

Sebab itu, jika daripada hari ini kita mulai berapat-rapat dan berjinak-jinak dengan perniagaan itu, tidak syak lagi dalam masa yang tidak jauh akan menghasilkan kemakmuran kekayaan, kemahuan dan kemajuan bangsa yang sangat dicita-cita itu, dari kerana adalah kemajuan bangsa itu tidak akan didapati melainkan dengan persatuan pada perasaan kebangsaan dan perasaan yang demikian itu tidak terbit ia melainkan daripada hati yang ada di dalamnya pengetahuan yang sempurna dan tidak hasil pengetahuan itu melainkan dengan syarat kekayaan ((sekurang-kurangnya kesenangan)).

Maka jalan yang membawa kepada kekayaan itu pada ghalibnya ialah dengan mulai jalan perniagaan.

Daripada apa yang telah dibentangkan di sini, dapatlah Tuan-Tuan Pembaca menampakkan sama ada telah datang patutnya kita melangkahkan kaki dan memasukkan tangan ke golongan itu atau belum, jika dihukumkan patut, ayuh! Mari kita mulai, memadailah buat permulaannya kita berlatih daripada perniagaan kampung kita sendiri, untuk makanan bangsa kita petang pagi, barang-barang keperluan ahli kita hari-hari, janganlah kita berharapkan walau sayur setinggi daripada bangsa asing, ada seulas daripada bangsa lain, kerana jika takdirnya pada sesuatu masa kelak bangsa-bangsa asing itu merajuk tak malu berkedai atau berhaji lagi di kampung-kampung kita, tidakkah kita kebulur?

((Saya tak kira jika dikata orang perkara itu mustahil tetapi tilik hujung jatuhnya kata saya itu)).

Ayuh! Jika ditangkis orang jua dengan berkata: tetapi sedikit sangat harapan kepada majunya, ya, itu pun benar jua Islam perniagaan itu sendiri menyisihkan bangsa Melayu daripada masuk kepadanya. Tetapi jika tidak begitu, adalah tangkis itu tiada berasa, sebab apa?

Sedangkan orang dagang, bangsa asing, agama lain, adat resam dan tutur-bahasanya berbeza jauh dengan kita. Ia datang menumpang duduk di kampung-kampung Melayu menjalankan perniagaannya dengan membuka-buka kedai mencari rezeki buat keperluan hidupnya dan yang wajib tanggungannya. Dan tentu diketahui oleh ahli kampung itu dengan pengetahuan yang sah bahwa bangsa asing itu duduk di kampungnya tidak bagi aliran ringgit orang kampung itu sahaja yang akan dipunggahnya ke tempatnya yang lebih besar atau ke cawangan perniagaan yang lebih maju atau ke tanahairnya bagi mengampu kehidupan kerabatnya yang picik di negeri yang sempit jalan kehidupan di situ.

Lagikan suka orang-orang kita membeli atau memajukan barang-barang perniagaan itu, mentelaahlah pula jika yang berkedai atau yang menjalankan perniagaan itu daripada orang yang sebangsa, sebahasa, seugama, seadat, seresam, seketurunan, senegeri dan sekampung dengannya.

Tentulah ia lebih suka membeli barang-barang perniagaan bangsanya sendiri daripada barang bangsa asing, kerana jika mendapat keuntungan si penjual itu daripada beliannya bahwa iaitu keuntungan bagi bangsanya. Jika senang dengan jalan itu kesenangan bangsanya. Jika kaya ia kekayaan bangsanya. Jika mulia ia kemuliaan bangsanya. Maka kesenangan, kekayaan dan kemuliaan bangsa itu memudahkan sampainya kepada kemajuan, dan apabila kemajuan itu telah didapati sanya tidaklah diserukan atas nama seseorang atau sesuatu puak atau sesuatu kaum hanya diserukan kepada alam Melayu.

Dan lagi, dengan sebab kita membeli barang-barang perniagaan bangsa kita sendiri itu, terpelihara kekayaan negeri kita daripada melimpah sangat ke negeri luaran. Maka dengan seterang-terang itu dalilnya akan keelokan dan besar faedahnya memajukan perniagaan bangsa sendiri tetapi tidak jua maju dan jaya.

Tidak dapat tiada tentu adalah sesuatu malang di dalamnya seperti bidalan Melayu, "kalau tidak sesuatu sebab, tidak tempua bersarang rendah".

Jika benar begitu laba dialah yang menjadikan malang itu ialah bagaimana kata saya yang lalu berselisihan faham atas mendidik, mengawal dan melariskan perniagaan; yang demikian tidaklah ia malang yang memustahilkan kita maju dalam medan perniagaan itu; kerana iaitu perkara kecil sahaja yang boleh kita tukar ubat, alih pandu urusan itu kepada ubahan yang sekira-kira boleh menarik perasaan suka bangsa kita membeli ke kedai bangsanya lamun sahaja kemajuan itu ada bersarang di hati kita dan keuntungan yang boleh terbit daripada perniagaan itu ada terpampang di dalam ingatan kita.

Di sini, sila kita berpaling pula sebentar ke pihak yang sebelahnya; iaitu si pembeli; adapun perniagaan yang kita kehendaki sekarang buat permulaan ialah membuka kedai di kampung-kampung. Maka dengan sebutan kampung itu sahaja memadailah bagi menunjukkan bahwa barang-barang yang dijual di kedai-kedai itu ialah barang-barang keperluan hari-hari bagi orang kampung. Tatakala adalah yang membuka kedai itu Melayu, menjual barang-barang keperluan Melayu, dalam kawasan yang diduduki oleh orang-orang Melayu, hal keadaan si penjual dengan si pembeli bersaudara ((sekurang-kurangnya jalan agama)) dan berjiran yang wajib bagi tiap-tiap orang itu beradab dengan beberapa adab yang tertentu kepada ahli jirannya, dan ialah jua yang akan bersama-sama menunjukkan dukacita atas kerugian dan kemalangan kita dan turut besar hati dengan keuntungan kita dan turut besar hati dengan keuntungan dan kemuliaan kita, setidak-tidaknya beserta jua menghadapi mayat kita dan mengiringkan jenazah kita ke kubur kelak.

Adakah patah kita menuju ke kedai bangsa lain sahaja apabila kita hendak membeli barang-barang keperluan kita, padahal kedai bangsa kita tercongak menjual barang yang seumpama itu jua. Atau adakah agaknya boleh jadi bertukar panah, yakni bangsa Melayu membeli ke kedai bangsa asing dan bangsa-bangsa asing itu datang lintang pukang menyusur sawah menyeberang paya kerana hendak membeli barang-barang ke kedai Melayu?

Jauhlah panggang dari api!

Sementelaahnya pula adalah bangsa-bangsa asing itu walau bangsa apa sekalipun, baik hitam atau putih mau pun Barat atau Timur, telah menjadi kelaziman atau adat yang telah sebati kepadanya; apabila ia hendak membeli akan sesuatu terutamalah mesti ia membeli ke kedai bangsanya sendiri, apa boleh buat!

Jika barang yang dikehendakinya itu tiada di kedai bangsanya, barulah ia terpaksa pergi membeli di kedai bangsa mana atau orang apa yang menjual barang itu, kerana telah difikirkannya lebih jauh dan lebih dalam bahwa membeli barang-barang kepada bangsanya itu bermaknalah menolong bangsa. Demikianlah jua agasnya.

Tidaklah bangsa-bangsa asing memandang dengan sekali imbas, asalkan dapat barang sahaja sudahlah, tetapi ia menung dengan pemandangan yang lebih tajam dan bererti: walau kepada bangsa apa pun, yang kita mesti membeli barang-barang untuk keperluan kita, tidak akan dapat percuma sahaja, sebab itu terlebih dahulu mesti ia memikirkan kepada siapa yang lebih patut dihulurkannya keuntungan itu, ke mana kelak perginya, betapa kesudahannya bagaimana kelak jadinya jika keuntungannya itu tertumpah kepada bangsanya, dan apa mudaratnya jika keuntungan yang terbit daripada beliannya itu masuk ke kantung bangsa lain sahaja. Perasaan inilah yang telah menarik segala hati bangsa-bangsa asing itu suka memajukan perniagaan bangsa sendiri. Tetapi bangsa Melayu pun ada hati, tidak mau ketinggalan di medan perasaan itu, kawan!

Al-akhir, akan pertelingkahan* yang terjadi di antara kedua pihak ((pembeli dan penjual)) bangsa kita di dalam medan perniagaan kampung itu, kita hanyutkanlah akan dia ke dalam harus tujuan rangkap pantun Melayu:

Panjang dikerat pendek disambung : Supaya boleh menjadi sama :

Maka dengan persamaan itu dipercayai bahwa iaitu akan hilang sama sekali diserap oleh perasaan "Cinta Bangsa" yang telah mulai cambah dan membuang daun di dalam segala hati yang bersama-sama menuntut kemajuan bangsa dan watan kita yang dicintai ini.

Was-salam.

"Saudara" seruan yang seumpama ini telah berulang-ulang dibincangkan bukan sahaja di dalam ruangan kita tetapi ialah jua seumum akhbar dan majalah Semenanjung ini. Kita bersusah hati barangkali yang demikian itu masih untuk bacaan sahaja. Sementang begitu janganlah kiranya kita berputus harap. Pengarang.