Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 Apr 1931, p.8

Editorial.

Perhimpunan Besar Kongress Melayu. Congress For Malays.

Dilihat oleh Tuan-Tuan Pembaca di muka yang pertama pembuka Saudara pada kali ini bagaimana fikiran dan kehendak bangsa-bangsa asing di dalam negeri Melayu dan bagaimana pula fikiran Tuan Melayu Jati Semenanjung yang berperasaan manusia yang sempurna apa yang wajib orang-orang Melayu perbuat dan menjaga diri daripada bahaya pukulan arus yang sangat deras datangnya daripada sekalian bangsa-bangsa yang masuk kepada negeri ini dengan sehelai seluar dan segulung tikarnya kemudian daripada mereka itu telah mengecap nikmat kesenangan di dalam tanahair watan datuk nenek moyang kita supaya tiada hanyut kita ke tengah harungan yang menelan akan nama kaum bangsa-bangsa ke dalam perutnya yang luas bagi perhimpunan tarikh kehidupan sekalian bangsa-bangsa yang telah lalu yang hidup di dalam lalai dan alpa akan bencana sekalian kaum bangsa asing yang masuk bersemenda ke dalam watan tanahair datuk nenek moyangnya kerana menjadi rezeki kehidupan pada mula pertamanya.

Kita menyertai sama dengan Tuan Melayu jati Semenanjung berkata membangunkan persekutuan-persekutuan Melayu di dalam Semenanjung ini wajib. Tetapi pada fikiran kita terlebih dahulu daripada membangunkan persekutuan itu dengan fikiran sepuluh dua puluh orang sahaja, terlebih baiklah diadakan perhimpunan Kongress; diminta semua kaum bangsa Melayu yang di dalam Semenanjung ini mengirim wakil-wakil di dalamnya. Maka di dalam perhimpunan Kongress inilah diri tahu dan dinyatakan segala bahaya yang telah tertimpa dan yang akan tertimpa lagi ke atas kaum bangsa Melayu dan tanahair watan datuk nenek moyangnya: jikalau tiada mereka itu bermuafakat bersekutu pada menjaga dan memelihara akan dia, maka kemudian daripada mengerti sekaliannya akan kegunaan dan kehendak-kehendak yang wajib ini barulah difikirkan perkara persekutuan dan undang-undangnya dan membangunkan dia di dalam tiap-tiap negeri Melayu dan bagaimana memperikatkan di antara satu dengan lainnya; sesungguhnya dapat satu suara Melayu sebulat-bulat tanah Semenanjung ini di dalam satu-satu hal muslihat watan dan kaum bangsa Melayu ini.

Agaknya tentulah orang yang mempunyai fikiran kolot membaca fikiran kita ini mengata mustahil boleh jadi bagaimana yang dikehendaki ini sebab fikiran dan pengetahuan lapuk mereka itu berkata adalah kaum bangsa Melayu ini kehidupannya berpecah-belah tidak muafakat dan tidak bersekutu, tabiat kebanyakannya liar, sukar telus kepada mereka itu bahaya kemodenan bagaimana bangsa yang lain-lain.

Jikalau sungguh ada bagaimana agaknya kita ini maka beranilah kita berkata dengan sepenuh-penuh mulut kita tuduhan daripada fikiran dan pengetahuan yang dusta besar ke atas suatu kaum bangsa yang kita ketahui dengan kehidupan yang telah bercampur 75 persen darah Melayu itu di dalam badan kepada bahwa kaum bangsa Melayu ini sehabis-habis mulia kejadian sesuatu kaum bangsa yang telah dijadikan oleh Tuhan di atas muka bumi ini pada memiliki segala sifat-sifat kepujian yang dikehendaki kepada kejadian manusia, iaitu ikhlas, segera menerima pengajaran yang benar dan kebajikan, memada apa-apa yang tersampai kepada upaya usahanya, taat dan setia kepada raja-rajanya dan kepada pemerintahannya, tahan menanggung susah payah, kuat kepercayaan kepada ketua-ketuanya, berani, murah hati dan terbuka dua tangannya kepada perkara-perkara yang kebajikan.

Adapun sebab yang menjadikan mereka itu demikian hal ketiadaan perikatan perhimpunan kaum dan bangsa sehingga kalah daripada sekalian bangsa-bangsa dagang yang masuk ke negerinya dan hampir-hampir hendak dipunyai oleh orang-orang dagang akan tanahair watan turun temurunnya ialah kerana tidak ada kepada mereka itu orang-orang yang mengingatkan dan menyeru mereka itu kepada kewajipan yang maha besar ini, iaitulah kewajipan memelihara akan watan tanahair dan memelihara akan kemegahan perikatan kaum dan bangsa selain daripada orang-orang yang mencari muslihat kehidupan dirinya sendiri sahaja yang bermengaji akan ugama kerana memenuhkan poketnya dan orang-orang yang mencari kemegahan bagi dirinya semata-mata dengan bermodalkan nama kaum bangsa yang dikasihi ini.

Maka sekarang ini dengan asuhan dan latihan kerajaan Inggeris yang mempunyai tanah-tanah Melayu ini telah terbitlah daripada daripada qalbi kaum bangsa Melayu ini beberapa banyak anak-anak yang keluar daripada sekolah-sekolah dan latihan kerajaan dan beberapa banyak orang tua-tua yang keluar daripada sekolah-sekolah masa dan pendapatan perhatian. Maka kepada sekalian mereka inilah pergantungan roh kehidupan kaum bangsa Melayu ini yang sebenarnya, dan kepada mereka inilah juga perisai atau pun kota dan kubu yang boleh memelihara akan watan datuk nenek moyangnya daripada menjadi rampasan bangsa dagang yang hendak mempunyai dia.

Sinsinglah tangan baju wahai sekalian anak-anak dan sekalian saudara, bekerjalah bersungguh-sungguh kerana mengembalikan kehidupan kaum yang telah layu, dan kerana memelihara akan watan yang hendak dipunyai oleh orang, bekerjalah bersungguh-sungguh di bawah naungan undang-undang keadilan kerajaan, bermula mati kerana kaum itu kemegahan yang dituntut, dan binasa kerana watan itu ketuahan yang dicita-cita, sebab kehidupan dengan tiada mempunyai kaum yang dimegahkan dan tiada mempunyai watan yang dikasihkan ialah kehidupan yang terlebih hina dan terlebih sakit daripada kehidupan ahli neraka jahanam lagi.