Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 7 Mar 1931, p.8

Editorial.

Pelajaran Inggeris di Sekolah Melayu.

Dengan sukacita kita menjadikan tulisan Tuan Muhammad Amin bin Abdullah ini sebagai kepala rencana kita kerana amat menepati keperluan kaum kita dan adalah seperti berikut:

Berkenaan dengan peraturan yang akan dijalankan di dalam sekolah-sekolah Melayu bandar di dalam Pulau Pinang mulai daripada bulan April tahun 1931 ini, iaitu mengajar ilmu bahasa Inggeris di sekolah Melayu sejam sehari pada sebelah petang saya ada beberapa buah fikiran dan diharap Tuan-Tuan Pembaca yang ada anak-anak yang akan belajar ilmu itu akan siasat dan faham segala buah fikiran saya ini supaya diketahui bolehkah peraturan yang akan dijalankan itu menjadi maju dan sempurna atau tidak.

1. Pada tahun yang telah lalu, tiada kurang daripada seratus anak-anak Melayu dapat tempat di dalam sekolah Inggeris dengan tiada bayaran. Dan lebih kurang lima enam puluh lagi yang dapat diterima dengan bayaran. Kanak-kanak ini diasingkan daripada kanak-kanak lain bangsa dan di dalam masa dua tahun dapatlah mereka lulus di dalam darjah empat dan pada tahun yang ketiga naik darjah lima.

2. Mengikut peraturan baru ini kanak-kanak yang belajar satu tahun ilmu bahasa Inggeris di dalam sekolah Melayu akan masuk darjah dua di sekolah Inggeris. Keuntungan yang tampak itu ialah keuntungan satu tahun.

3. Peraturan yang manakah yang lebih bagus: masuk darjah satu kemudian di dalam masa dua tahun naik darjah lima atau peraturan yang baru ini masuk darjah dua atau tiga kemudian tersesat. Saya tiada percaya sekali-kali kanak-kanak kita boleh belajar dua darjah di dalam masa satu tahun dengan pelajaran cuma satu jam sehari sahaja.

4. Guru-Guru yang akan mengajar kanak-kanak itu akan mengajar lepas mereka telah mengajar lima jam di dalam sekolah Inggeris sebelah pagi dan saya berani kata mereka tiada akan mengajar dengan seboleh-bolehnya. Dan lagi, kerana mereka itu bekerja dengan tiada siapa-siapa mengawal seperti di sekolah mereka itu tentulah mereka itu tiada akan berusaha.

5. Masa pukul tiga petang hingga empat petang itu bukan masa yang elok atau mudah mengajar kanak-kanak. Dan bagi pihak kanak-kanak bukan masa yang senang boleh mereka belajar suatu bahasa asing yang bukan mudah.

6. Pada tahun yang telah lalu kanak-kanak Melayu yang belajar dari pagi hingga petang di dalam sekolah Inggeris dengan perkakas yang sempurna cuma lima puluh persen sahaja yang boleh tamat dua darjah di dalam masa setahun. Apakah hal kanak-kanak yang belajar Inggeris cuma sejam sehari itu pula dengan pelajaran Jawi bersama pada sebelah pagi.

7. Peraturan baru ini akan mengganggukan pelajaran Quran. Kanak-kanak yang masuk sekolah Inggeris dengan tiada membelajar ugama akan menjadi sesat seperti kata Tuan Muhammad Yusof S.M. di dalam beberapa karangannya.

8. Kanak-kanak yang tamat di dalam kedua-dua bahasa sahaja akan dipilih masuk sekolah Inggeris. Ada pula lagi undang-undangnya berkenaan dengan umur tak kurang dari 9 tahun tak lebih daripada 10 tahun.

9. Kanak-kanak yang tiada dapat dipilih masuk sekolah Inggeris kerana lemah di dalam ilmu Inggeris sungguh pun mereka tamat di dalam darjah empat sekolah Jawi tiada akan diterima sungguh pun dengan bayaran sendiri oleh sebab tiada tempat bagi mereka itu. Tiada boleh bercampur dengan budak-budak Melayu kerana lemah di dalam ilmu Inggeris.

10. Biar lambat asal tentu ((slow but sure)): janganlah kita berharap hendak memberi kepandaian kepada anak-anak kita dengan cepat dan segera dan dengan cita-cita yang amat tinggi; jikalau Tuan-Tuan Pembaca fikir peraturan baru ini tiada akan menjadi sempurna baiklah diminta Tuan Nazir batalkan peraturan ini. Jangan sesal kemudian.

Muhammad Amin bin Abdullah.

((Jika pelajaran Inggeris yang satu jam itu akan menjadi sekatan anak-anak kita yang mendapat pas darjah 4 di dalam pemeriksaan sekolah Melayu daripada masuk sekolah Inggeris. Maka tentulah sekali pelajaran yang satu jam ini mendatangkan bahaya ke atas anak-anak yang hendak meneruskan pelajarannya ke dalam sekolah Inggeris sebab tersekat satu tahun lagi dengan sebab tiada pas peperiksaan pelajaran Inggeris yang satu jam satu hari itu, tentulah 90 persen anak-anak yang terlepas kelak umurnya daripada had yang dibenarkan masuk sekolah Inggeris. Maka dengan kerana ini kita haraplah yang dihormati Tuan Nazir sekolah yang ada pada masa ini menerangkan perkara ini sebelum ia berangkat meninggalkan kita menurut kasihan belas dan keadilannya yang senantiasa kita dapati selama ia memegang jawatan Nazir sekolah di sini. Pengarang.))