Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 5 Sep 1932, p.5

Editorial.

Conference Entah, Congress Pun Entah. Habis Beras Tinggal Antah. Tak Masak. Mentah.

Tuan Shamsuddin telah menulis di dalam keluaran kita yang baru, di dalam mana diterangkannya bahwa suatu Congress Melayu wajib diadakan selekas-lekasnya dan di dalam keluaran ini Tuan Melayu telah menulis pula di atas maksud yang demikian itu.

Tetapi dengan nama satu persekutuan Melayu yang dicadangkannya patut dibangunkan oleh orang-orang Melayu sendiri yang di luar golongan rasmi menurut atau mencontoh langkah pergerakan orang untuk mempertahankan dan membela hak rakyat asli negeri-negeri Melayu ini, iaitu orang-orang Melayu.

Kita tidak menyanggah ajakan yang demikian ini; akan tetapi kita wajib menilik lebih dalam ke sebelah dalam batin kita sendiri dan wajib memandang lebih jauh ke hadapan.

Apabila kita gemburkan rupa langkah kita dengan gembur langkah orang, nescaya kita akan sempat memandang sama-sama bahwa langkah kedua-dua belah pihaknya selamanya bertentang atau berlawan di atas sebarang wajah yang boleh diertikan kepada muslihat dan tak syak lagi mestilah oleh kerana keadaan kita telah sampai kepada gurisan berbuat dan bertegang dengan orang-orang dagang yang terlalu bebas itu.

Dan barangkali berserta juga oleh kerana keadaan kita yang selamanya terlalu berserah pula hingga sampai kepada riwayat kita sekarang di dalam mana apa sahaja yang difikirkan oleh pihak anak-anak dagang itu keuntungan. Maka itulah kerugian yang besar bagi pihak orang-orang Melayu boleh dikata bahwa maal-hayat bagi kita. Maka itulah racun yang amat bisa kepada mereka.

Sebagai lagi, kita mesti mengerti bahwa segala persekutuan yang dinamakan dengan nama bangsa-bangsa dagang itu mau pun conference-conference ataupun congress-congress mereka semuanya bebas dan berhak memperkatakan apa sahaja dan tidaklah kedapatan atas apakah mereka segan menyebut dan tak salah lagi jika dikata semuanya menentang atau berlawan dengan kerajaan pada mana-mana tempat yang mereka merasa tak puas hati atasnya; terutama sekali di atas sebarang hal yang cenderung kepada kebajikan orang-orang Melayu. Oleh itu, kita boleh menampak bahwa persekutuan-persekutuan bangsa dagang itu adalah terasing.

Jika kita mengerti, maka inilah masanya suatu peluang baru terbuka bagi orang-orang Melayu iaitu masa perubahan baru dan masa kebangkitan persekutuan bangsa dagang yang besar yang akan berdiri dan bekerja memperlindungkan muslihat mereka serta menuntut hak untuk kesenangan mereka dari setingkat ke setingkat lagi ke atas.

Ada pun batin kita selamanya sangkut dengan Raja-Raja dan dengan kerajaan. Sebab itulah orang-orang Melayu am belum pernah bermimpi hendak mengadakan conference ataupun congress ataupun persekutuan melainkan pada masa yang akhir ini.

Itu pun oleh sebahagian kecil sahaja dan tidak pula dari pihak orang-orang yang patut dan layak ke muka. Jika kita selidiki nescaya kita dapati bahwa ada di antara orang-orang Melayu yang berperasaan dan khuatir akan hak-hak mereka terlucut dan hanyut lebih jauh dari riwayat hari ini.

Manakala keadaan batin kita selamanya di sebelah raja dan kerajaan; dan manakala langkah kita memang berlawanan dengan langkah bangsa asing, maka tentulah kita boleh mendirikan persekutuan yang kukuh menentang tuntutan-tuntutan yang akan mencederakan hak Raja-Raja kita yang memang terhimpun di dalamnya hak rakyat ((rakyat kandung)).

Atas ini kita sedia menunggu fikiran rakyat negeri Melayu tentang cadangan hendak mengadakan ((persekutuan rakyat negeri Melayu)) itu dan juga kita sedia berkhidmat atasnya secara khidmat suratkhabar rakyat.

Cubalah kita tunggu jika ada fikiran yang bernas sedikit, terutama sekali dari pihak mereka-mereka yang disangka lebih dahulu mahulah pula kita ingat bahwa janganlah kiranya sampai meletakkan pelita di atas belakang kerbau.

Bagi sementara, marilah kita banyakkan mengucap tasbih!