Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 26 Sep 1931, p.1

Leader Article.

Tuan Punya Negeri Terlebih Hak Menjaga Keamanan Negerinya.

Tiadalah dapat sekali-kali ingkarkan oleh tiap-tiap manusia yang mempunyai perasaan manusia yang insaf bahwa tanah Semenanjung ini dengan segala pulau-pulau yang menurutnya hak punya bangsa Melayu yang jati dan kerajaan Inggeris yang maha besar telah masuk ke dalamnya dengan keredhaan sekalian Raja-Rajanya pada mengatur dan membukakan pintu kemakmuran negeri-negerinya serta mengajar sekalian bumiputeranya pada memelihara keamanan yang alam kerana menyenangkan dagang santeri yang masuk bersemenda ke dalamnya dan kerana menjalankan peraturan nazam yang mesti bagi tiap-tiap bangsa yang berkehendakan negerinya menyerupai negeri manusia yang bermoden dengan perjanjian di antara kerajaan Inggeris dengan Raja-Raja Melayu yang tertulis dan diakui oleh dunia.

Telah berjalanlah peraturan menurut perjanjian di antara kedua pihak daripada mulai Kapten Light meletakkan kakinya di Pulau Pinang dan Tuan Raffles di Singapura dan melaratlah kemudian daripadanya masuk segala negeri-negeri Melayu yang Bersekutu dan Johor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan lain-lainnya hingga sampai masa ini telah masuk bilangan ratus tahun lamanya kerajaan Inggeris menyedari negeri-negeri Selat ini dengan menggunakan orang-orang Melayu menjaga keamanan negeri-negeri di bawah latihan bangsa Inggeris melainkan sedikit-sedikit bangsa yang lain-lain yang ada di dalam polis gelap kerana muslihat yang khas baginya.

Maka bolehlah diterima oleh akal kemudian daripada pegawai-pegawai kerajaan Inggeris ini telah masuk bilangan puluh tahun di negeri-negeri Melayu dan ratus tahun di negeri-negeri Selat melatihi anak-anak Melayu yang punya negeri ini menjaga keamanan negerinya bahwa keadilan yang sangat-sangat pelik memestikan kerajaan menghalaukan pula mereka itu balik masuk ke dalam bendang dan mengambil ganti mereka itu bangsa-bangsa yang sembilan puluh percent kerusuhan negeri-negeri ini datang daripada bangsa-bangsanya supaya menjaga keamanan ganti Tuan punya negeri yang asal ini.

Tidak, seribu kali tidak, kerana jikalau dijalankan oleh kerajaan pekerjaan demikian itu, maka tentulah sekali boleh dikatakan kerajaan telah memecahkan setia perjanjiannya dengan Raja-Raja Melayu dan telah memecahkan amanah kepercayaan anak negeri serta mencari penyakit dengan membuang kaum bangsa yang telah masyhur setia dan taatnya dengan kaum bangsa yang telah bergerak berjalan kepada perseteruan di sana dan di sini.

Bahkan menjaga keamanan ini dikehendaki eloknya jikalau boleh dapat orang-orang yang ada mempunyai pelajaran, tetapi anak-anak Melayu tiada lari sekali-kali mereka itu daripada apa jua pelajaran yang dikehendaki oleh kerajaan bagi menunaikan kewajipannya yang tertanggung ke atasnya apakala disediakan tempat-tempat yang boleh mengajar mereka itu.

Pelajaran Cambridge! Dikehendaki mata-mata daripada orang yang pas peperiksaan pelajaran Cambridge! Perkataan yang didengarkan bunyinya elok tetapi maksudnya sangat-sangat jahat ke atas kaum bangsa Melayu ini, mata-mata dikehendaki pas Cambridge, barangkali mata-mata di dalam London bukannya orang-orang pas Cambridge!

Adakah negeri-negeri Melayu ini lebih daripada London lagi?

Hendaklah diketahui oleh orang-orang yang hendak mengetahui adalah kaum Melayu ini tidak sekali-kali boleh melepaskan haknya pada memelihara keamanan negerinya kepada bangsa-bangsa yang lain jikalau pun bangsa-bangsa ini pas LLB ataupun M.E. jangankan Cambridge sahaja, tetapi mereka itu sekarang berkehendak lebih daripada itu lagi, iaitu mereka itu menuntut pekerjaan askar yang menjaga rempuhan musuh ke atas negerinya tidak suka mereka itu bangsa-bangsa yang lain datang memakan hasil negerinya buat menjadi askar menolong menjaga negerinya lagi selain daripada bangsa Inggeris sahaja sebab mereka itu telah terus taksir begini lama membiarkan pekerjaan askar itu lepas kepada bangsa yang lain, padahal mereka itu ada upaya seumpama orang yang ... yang lainnya juga dan mereka itu terlebih hak memakan hasil negeri yang dijadikan makanan sekalian bangsa-bangsa luar yang menjadi askar itu!