Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Dec 1932, p.6

Editorial.

Pandangan Melayu Atas Pergerakan Melayu.

Barang siapa memerhatikan dan saksi-saksi akan kandungan suratkhabar-suratkhabar kita Melayu pada masa sekarang ini nescaya didapatinyalah bahwa lagu yang sangat dinyanyikan oleh hampir-hampir ke semua penulis-penulisnya ialah seruan kepada memajukan bangsa. Ada setengahnya mengatakan bahwa kaum Melayu sudah ada mempunyai perasaan berkemajuan dan sudah melangkah beberapa langkah ke hadapan di dalam perjalanannya menuju pintu kemajuan itu. Dan setengahnya pula ada mengatakan, bahwa kaum Melayu ini masih tidur lelap lagi belum bermula bergerak ataupun sedang memeluk tubuh, belum sedar kepada apa-apa yang berlaku disekelilingnya daripada pergerakan umum. Yang mula itu memuji atas kesedaran bangsanya dan suka serta bermegah-megah ia. Atas yang demikian itu, yang kedua berdukacita dan berjauh di hati dilihatkan keadaan bangsanya dan kejauhan mereka itu tercicir di belakang bangsa-bangsa asing.

Adapun dalil bagi perkataan yang pertama itu ialah keadaan beberapa orang Melayu yang telah membuka kedai dobi, kedai gunting rambut, kedai tempat makan dan lain-lainnya, dan jua Melayu telah mengadakan beberapa Pekan-Pekan Mingguan yang dijalankan oleh mereka itu sendiri yang tidak dicampuri oleh bangsa-bangsa asing.

Bagi pihak yang kedua itu, sungguh pun perkara-perkara yang di atas ini tidak bersunyi kepadanya, tetapi katanya belumlah boleh diambil dan dijadikan kias bagi menggelarkan Melayu itu sudah berkemajuan, sebab segala hal-ehwal yang tersebut itu jika dicampurkan dengan kemajuan bangsa-bangsa yang sekedudukan dengan kita di dalam negeri ini nescaya tenggelamlah ia dengan tidak kelihatan langsung seperti bagaimana batu yang kecil itu dijatuhkan ke lautan yang besar. Maka tenggelam ia dan tidak meninggalkan tanda pada tempat ketinggalannya itu.

Inilah dua macam fikiran yang kita selalu dapati daripada membaca suratkhabar-suratkhabar kita, dan daripada dua fikiran ini bolehlah kita mengerti bagaimana orang-orang Melayu itu sendiri bersalah-salahan pada menjatuhkan hukum di atas pergerakan bangsanya. Tetapi perkara ini tidak boleh kita hairankan sebab adalah akal dan kekuatan fikiran itu tidak dijadikan Tuhan bagi tiap-tiap manusia itu serupa.

Ada seorang itu memerhatikan suatu perkara daripada satu pihak, dan seorang lain memerhatikannya daripada pihak yang lain, dan yang ketiga daripada yang lain pula, maka dalil yang demikian berlain-lainanlah pemandangan mereka itu seperti berlainan pemandangan orang-orang yang menggunakan teropong-teropong yang berlainan kekuatan cerminnya, atau sama juga seperti cerita orang buta dengan gajah itu.

Maka dengan hal yang demikian itulah gamaknya tiap-tiap satu daripada dua fikiran di atas ini tidaklah berlainan.

Barangkali pihak yang pertama menisbahkan kemajuan Melayu sekarang kepada kelalaian dan ketidurannya yang dahulu yang tentu sekali sudah ada bezanya. Dan pihak yang kedua menisbahkan kemajuan kita yang sekarang ini dengan kemajuan bangsa-bangsa asing yang mana tentu pula sudah terang bahwa kemajuan kita itu jauh bertinggalan di belakang.

Kita bukan hendak menyalahkan mana-mana daripada dua pandangan kita sama-sama kita tentang pergerakan kita sekarang ini. Dan tidak pula kita menyangkakan bahwa yang demikian ini boleh menyebabkan apa-apa mudaratnya. Ada tak ada pun hanyalah mengelirukan pahaman pembaca-pembaca yang di negeri-negeri asing sahaja.