Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 27 Jul 1932, p.6

Editorial.

Zaman Berjimat Cermat.

Pada satu bilangan Saudara dahulu, kita ada menulis bagaimana ajaran yang didapati daripada sekolah masa itu terlebih kuat bekasnya dan teguh pegangannya di dalam hati seseorang daripada pelajaran yang didapatinya daripada bangku-bangku sekolah.

Di sini kita hendak menunjukkan satu dalil atas kebenaran perkataan kita ini berkenaan dengan perkara jimat cermat.

Adapun nasihat tentang jimat cermat ini daripada orang-orang Melayu kita yang berpandangan jauh bukanlah ia suatu perkara yang baru sahaja terbitnya di kaki langit bumi Melayu ini, bahkan telah berzaman-zaman pendita-pendita kita menasihatkan orang-orang kita berkenaan dengannya.

Tetapi oleh kerana nasihatnya itu hanyalah seperti ajaran daripada bangku-bangku sekolah sahaja, dan pada masa itu orang-orang kita Melayu masih tenggelam di dalam lubuk kesukaan dan ketiadaan sedar akan dirinya, disebabkan oleh kemakmuran zaman dan ketinggian harga getah, maka tidaklah berapa kuat dan berapa bermakna jatuhnya segala biji butir nasihat itu ke atas pendengaran orang-orang kita Melayu, sekalipun nasihat-nasihat itu mengandungi mutiara yang mahal-mahal dan tidaklah mereka itu hirau pada mengerjakan apa-apa yang disuruh oleh nasihat-nasihat itu.

Tetapi sekarang waktu yang sangat meleset ini jikalau sekiranya tiada seorang pun daripada orang-orang kita mengeluarkan nasihat menyuruh jimat cermat, orang-orang Melayu dan jua lainnya memang sedang mengerjakan segala upayanya membuat yang demikian itu dengan tadbir akalnya sendiri jikalau pun ia tidak mengetahui dalam di dalam perkara itu, apatah lagi jika ada pendita-pendita kita menunjukkan jalan baginya tentulah tidak lengah lagi ia menerima dan mengerjakannya.

Maka sebab yang demikian itu tidaklah lain lagi daripada pelajaran yang faedah yang telah didapati oleh mereka itu daripada himpitan zaman meleset ini. Barangkali pelajaran yang diajarkan oleh zaman ini akan tinggal teguh dan tetap di dalam hati-hati orang-orang kita Melayu ke hadapan, seperti bagaimana parut daripada satu luka yang besar iktu tidak hilang selama-lamanya.

Demikianlah kita tampak sekarang tiap-tiap seorang itu sangat-sangat menggunakan tadbirnya pada berdikit-dikit di dalam segala perbelanjaannya hingga boleh dikatakan kebanyakan mereka sekarang telah terpaksa mengurangkan bukannya kepada 50 peratus sahaja daripada biasa, bahkan ada yang sampai kepada 75 peratus.

Demikianlah pahitnya paksaan zaman itu, dan sayogianyalah kita mengambil iktibar.