Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 7 May 1932, p.6

General Article.

Apakah Yang Mesti Diperbuatkan Oleh Anak-anak Melayu.

Oleh Hamidon.

Sambungan Saudara Bilangan 201.

Adapun makna keberanian bagi kaum Melayu ini ialah satu perkataan yang amat-amat molek dan yang amat-amat tinggi. Di dalamnya termasuk pelajaran ((pelajaran yang seperti mereka yang telah pass di dalam Peperiksaan Cambridge)), kekayaan ((mereka yang menghabiskan harta ketinggalan ibu bapa dan datuk nenek mereka itu)), kesukaan ((melayankan kehendak-kehendak yang dituntut oleh nafsu yang di pimpin oleh ilmu Cambridge itu)).

Kita telah puas melihat ibu bapa kita yang lalu yang sebagaimana yang telah saya sebutkan di atas ini yang bersandar bersenang diri di dalam syurga kemalasan ((fool's paradise)). Tetapi kita sekarang sudah mengerti akan lazat cita kebaraan mereka itu. Sekarang jikalau sungguh kita kasihkan watan kita, terhadap bagi kita dua perkara: satu daripadanya yang betul; Capitalism of the West, Militarism of the West, dan Nationalism of the West, dan sebagainya. Dan satu lagi kedaratan ((asal manusia bagaimana yang dituntut oleh Islam yang diajar oleh Islam di dalam kitabnya yang bernama al-Quran)).

Sekarang saya halakan nasihat saya kepada pemuda-pemuda Melayu mau pun kepada mereka-mereka yang bercadangkan jawatan tinggi dengan gaji yang gemuk yang akan terhumban keribaan mereka itu kerana pass sekolah mereka itu ataupun yang memeluk tubuh mencari kerja kerana pass sekolah Melayu atau sudah belajar di sekolah Inggeris itu dengan berselokakan bangun dan bersegera Mencari Kerja!

Sepuluh tahun dahulu certificate-certificate sekolah Melayu itu ialah tiket masuk ke jawatan yang rendah di dalam jawatan kerajaan seperti peon, kerani Melayu, mata-mata dan sebagainya. Dan certificate-certificate Inggeris itu ialah tiket masuk ke jawatan kerajaan yang perintahan seperti kerani-kerani jurutulis, pegawai bandar, kerani parti dan sebagainya, dan Certificate Cambridge itulah ialah tiket masuk bagi jawatan tinggi yang terbuka bagi orang kulit hitam. Hari itu zaman itu sudah fana, dan ingatan-ingatan dan cadangan-cadangan yang seperti itu mesti diubah buang sama sekali.

Mencari kerja itu terbahagi kepada dua bahagi: satu daripadanya jalan mencari kerja itu ialah daripada pihak kerajaan yang termilik bagi negeri-negeri Melayu. Saya minta maaf kepada pembaca-pembaca saya kerana di sini saya rasa seram bulu roma saya menghuraikan perkataan kerajaan negeri Melayu kita ini. Saya pendekkan kalam: kerajaan Melayu berbahasakan bahasa Inggeris, sekolah Semenanjung Tanah Melayu ini perkataan yang saya sebutkan ini ialah sebenar-benarnya huraian kerajaan Melayu, pelajaran Inggeris, ataupun bahasa Inggeris itu bukannya satu pelajaran yang dikhaskan bagi anak-anak Melayu waris negeri yang berkerajaan yang berbahasakan bahasa itu. Tetapi ialah pelajaran yang terbuka bagi apa-apa bangsa sekalipun menjalankan kerjanya yang berbahasakan bahasa Inggeris itu. Kerajaan terpaksa memilih kakitangannya daripada siapa-siapa sekalipun atau apa-apa bangsa sekalipun yang mempunyai pengetahuan di dalam bahasa itu.

Di sini kaum Melayulah yang terbelakang sekali daripada lain-lain bangsa oleh sebab sepuluh tahun dahulu tiap-tiap anak yang berpelajaran Inggeris itu termasuk di dalam lingkungan orang yang tiada terpakai ((kafir? murtad?)). Maka oleh itu sangat-sangatlah ke belakang bangsa Melayu yang berjawatan di dalam jawatan kerajaan. Di dalam negeri-negeri Selat S.S. tiada ada 25 persen daripada pegawai-pegawai kerajaan itu bangsa Melayu, di dalam Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu boleh dikatakan tiada ada 30 persen daripada kaki tangannya Melayu waris negeri.