Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 7 May 1932, p.5

General Article.

Pekan Hari Ahad.

Di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Dengan tadbir dan perusahaan Encik Pateh Akhir, Pegawai Syarikat Bekerja-Kerjasama Kuala Lumpur pada menyeru, mengajak, memimpin dan mengasuh kaum bangsanya bermuafakat dan bertolong-tolongan di antara satu dengan lain, sama ada tentang menyusuk sesuatu jalan pencarian atau menambahi jenis perusahaan dan cara berjimat cermat, maka telah didapatilah sesuatu ketetapan kemudian daripada telah dipakat, dirunding dan dibincangkan dengan orang-orang kampung, hendak mengadakan Pekan Ahad di Kampung Baru Kuala Lumpur, di mana pada hari itu bolehlah dibawa ke pekan itu bagi jualan segala kehasilan daripada tanam-tanaman seperti ayam, itik dan telur-melurnya, aneka makanan seperti kuih muih, cendol, bubur, dan sebagainya, macam-macam perbuatan tangan seperti senduk, tikar, nyiru, tapis, dan lainnya dari sudah-sudah perbuatan dan murah harganya, hingga kepada sepayah-payah dan seelok-elok ketukangan dan mahal harganya, kerana adalah pekan yang diadakan di sisi orang-orang hartawan seperti di Kuala Lumpur ini boleh jadi akan menarik banyak daripada orang-orang kaya itu melawat dan melihat keadaannya.

Maka peluang ini ialah memberi sesuatu jalan yang elok benar buat penyebar, supaya lebar belanja hidup kita di masa kesusahan yang disebut Zaman Meleset ini.

Adapun Pekan Ahad ini akan dibuka pada sulung kalinya, mudah-mudahan maju ramai dan kekal, ialah pada hari Ahad, 8 haribulan Mei, 1932, dan begitulah seterusnya tiap-tiap Ahad yang ke hadapan.

Oleh yang demikian, dengan suara kebangsaan yang nyaring, saya menyeru sudi apalah kiranya sekalian sanak saudara yang di dalam wilayah Selangor amnya, dan di dalam lingkungan bandar Kuala Lumpur khasnya, meramaikan Pekan Ahad itu dengan membawa barang-barang jualan bagi yang hendak berjual atau pun mencari apa-apa idea-idea aman selera bagi yang hendak membeli. Moga-moga dengan jalan ini bertambahlah majunya barang perusahaan bangsa kita yang mana diharapi akan menarik kepada bertambah rajinnya mereka itu dalam perusahaan sementara itu, terlatihlah ia kepada suka berusaha dan berniaga yang sangat-sangat dikehendaki kembang betapanya di dalam perasaan anak-anak bangsa kita, ataupun setidak-tidaknya akan perbelanjaan kita hari-hari yang ghalibnya termasuk ke dalam kantung bangsa asing itu. Adalah dalam tujuh hari sekali termasuk ia ke dalam dua tapak tangan bangsa kita yang menantikan rahim al-ihsan kaum bangsanya itu adanya. Was-salam.

Orang Kampung.