Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 May 1935, p.7

Surat Kiriman.

Patutkah Anak-Anak Perempuan Melayu Tahu Bahasa Inggeris.

Pada fikiran saya tentulah sekali kita laki-laki tahu tentang pelajaran kita kerana kita sekalian laki-laki bolehlah dikatakan telah sedar benar akan kegunaan dan faedah pelajaran kita itu beratus-ratus sekolah laki-laki telah didirikan di mana ada kampung Melayu dan beribu-ribu kanak-kanak pada sebilang hari duduk belajar dari pagi sampai tengah hari.

Demikian jua pada tiap-tiap tahun beratus-ratus atau hampir-hampir beribu-ribu kanak-kanak laki-laki yang hendak masuk ke sekolah Inggeris hinggakan terpaksa dikuatkan seperti mata-mata Benggali menguatkan orang-orang ramai yang hendak pergi melihat kapal perang dahulu. Demikianlah majunya pelajaran di antara kita laki-laki.

Tetapi apabila kita memandang kepada pihak perempuan-perempuan Melayu kita dengan harapan hendak mencari keadaan yang seperti laki-laki tadi jua, terperanjatlah kita apabila didapati akan perempuan-perempuan Melayu kita telah tertinggal di belakang kita laki-laki, jarang sangatlah mereka itu yang tahu menulis dan membaca di dalam bahasa sendiri, jauh sekalilah daripada pandai di dalam hal kira-kira dan mengira ilmu alam dan tawarikh dan terlebih jauh lagilah pula mereka itu daripada mengetahui bahasa asing kebanyakan mereka itu tinggal di dalam kebodohan.

Bagaimanakah jalannya hendak memberi mereka itu pelajaran supaya boleh mendapat pandai mereka ke hadapan bersama-sama dengan kita laki-laki. Di bawah ini saya menjawab mengeluarkan fikiran saya mudah-mudahan barangkali dengan sebab kurang elok jalan saya ini kelak ada pula kawan-kawan yang lain mengeluarkan fikirannya yang terlebih molek dan dengan jalan ini barulah perempuan-perempuan Melayu kita ini boleh menjadi pandai seperti kita laki-laki.

Tentang perasaan orang-orang Melayu kita yang tiada suka hendak menghantarkan anak-anaknya mengaji ke sekolah Inggeris itu, kita tiada boleh hairankan hal ini, memang ada pada tiap-tiap kaum dan boleh dikatakan orang-orang Melayu kita dahulu tiada suka membayar cukai tanah. Oleh sebab telah biasa mereka itu duduk dengan bebas dari zaman datuk neneknya di bawah perintahan Melayu, mengapakah masing-masing mereka itu berdahulu-dahuluan di pintu pejabat pengutip cukai pada tiap-tiap tahun, membayar cukai tanahnya.

Dengan tak payah pegawai-pegawai kerajaan itu pergi mengutip pada tiap-tiap rumah dengan terkena maki seperti zaman mula-mula kerajaan Inggeris memerintah negeri ini?

Orang-orang Melayu dahulu marah anak-anak disuruh mengaji ke sekolah dengan berbagai-bagai makinya menyebut kebiasaan datuk neneknya yang tiada pernah melihat atau mendengar sekolah. Tetapi mengapakah mereka itu sekarang boleh menjadi terpusing sama sekali, iaitu tersangat marah mereka jika anak-anaknya tiada diterima masuk ke sekolah Inggeris.

Dan pula, jikalau perempuan-perempuan Melayu kita menjadi pandai seperti kita laki-laki. Mudah-mudahan dengan jalan ini pandailah angan-angan kita hendak melepaskan anak-anak perempuan kita daripada kebodohan yang selalu boleh menjadikan mereka itu diperhambati oleh fikiran dan kepercayaan yang rendah-rendah dan juga diperbuat hamba oleh laki-laki yang tiada berpengetahuan dan tiada menimbang rasa.

Pada masa ini, kerajaan telah mengadakan seorang ketua perempuan Orang Putih bagi melatih dan menjayakan pelajaran anak-anak perempuan Melayu di dalam negeri Singapura dan Melaka dan Pulau Pinang dan di dalam negeri Perak dan Selangor dan Negeri Sembilan dan Pahang dan juga kerajaan mahu mengadakan guru-guru pelawat perempuan Melayu yang pandai bahasa Inggeris pada tiap-tiap negeri bagian melawatkan sekolah-sekolah perempuan yang telah dibangunkan sekarang ini bukankah senang.

Jika ada anak-anak perempuan kita yang tahu bahasa Inggeris boleh mendapat pekerjaan itu dan menjadi senang ibu bapanya yang miskin dan pula bolehlah kita menunjukkan kepada bangsa-bangsa asing kata kita Melayu ini telah jaga daripada tidur yang selama empat puluh tahun dahulu inilah sahaja adanya.

Osman bin Haji Abu Bakar, Murid Darjah VIII, High School

Bukit Mertajam.