Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 8 Sep 1932, p.5

Editorial.

Orang Melayu Jangan Membuang Baka!

Persekutuan Melayu Am Wajib Diadakan.

Tak usah runsing akan nama Persekutuan itu, tetapi jika sebenarnya darah Melayu itu masih mengalir di dalam anggota, wajiblah orang-orang Melayu runsingkan bagaimana juga harusnya suatu persekutuan am Melayu dapat dibangunkan selekas-lekasnya supaya sempat membentangkan fikiran mereka secara rakyat kandung menerusi salah satu utusan Melayu yang sememang berkerusi di dalam Federal Council itu.

Bukan sahaja kelak sempat menyebut kedatangan Brigadier General Sir Samuel Wilson, tetapi hendaknya biarlah hidup dan tetap tegap menentang langkah bangsa-bangsa dagang di belakang hari.

Di dalam keluaran yang baru lalu, Tuan "Melayu" telah mengesyorkan supaya Persekutuan Orang-Orang Melayu Negeri Melayu dibangunkan dengan tujuan semata-mata hendak mempertahankan hak anak-anak Melayu dan negeri-negeri Melayu sebagaimana taksilnya yang terkandung di dalam enam ayat yang bersaudara. Di dalam keluaran itu juga kita telah menerangkan di mana adanya kedudukan kita supaya dapat diketahui bahwa kedudukan kita sebenarnya berada di sebelah akas bangsa lain yang barangkali termasuk juga orang-orang putih yang di luar golongan rasmi.

Tujuan atau mabdaah Persekutuan kita ini bukan sahaja boleh diluaskan, tetapi jika Persekutuan itu dapat dibangunkan ke dalam alam al-wujud, mudah-mudahan bilangan taksilnya juga boleh ditambah dengan barang yang boleh dihitung mustahak.

Kita memang hamba rakyat dan dengan nama khidmat rakyat kita serukan lagi bahwa Persekutuan Orang-Orang Negeri Melayu itu wajib dibangunkan selekas-lekasnya, tetapi mestilah oleh orang-orang Melayu yang di luar golongan rasmi atas mabdaah yang tidak sekali-kali bertentang dengan kerajaan.

Dengan jalan tidak sahaja rasanya jika hati kita hidup kita boleh membangunkan empat cawangan yang besar yang satu-satunya patut dikemudikan oleh masing-masing anak negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan, dan Pahang. Dan bahawa persidangan anggota keempat-empat cawangan itulah yang akan dinamakan Persidangan Melayu Am dan suara yang terbit daripadanya terus dapat dinamakan Suara Ramai Melayu, tidak dikira biar di mana jua diadakan Persidangan itu. Atas ini haruslah satu-satu negeri itu berkira memilih anggota masing-masing serta mengatur tertib barisannya dengan mengarang undang-undang dan peraturan-peraturan yang mustahak supaya dengan seberapa segeranya diregisterkan menurut undang-undang negeri.

Oleh kerana kita rakyat Selangor, maka bagi negeri inilah bahagian kita. Atas cawangan itu dengan ikhlasnya kita ajak saudara-saudara kita yang di luar rasmi supaya sama-sama suka memilih satu atau dua pemoga atau pemula bagi sementara hingga dapat dijemput pihak ramai kepada suatu mesyuarat sementara yang akan diadakan pada suatu tempat ((jika diminta barang kali di rumah Persekutuan Sultan Sulaiman Kelab boleh dipinjam sebentar)), di mana anggota Persekutuan itu boleh dipilih kelak. Atas ini kita pilih dua orang yang lebih patut mengeluarkan jemputan iaitu Raja Bon bin Raja Yahya Kelang, dan Syed Bahauddin Kajang.

Jika kedua putera bangsa kita ini sudi berunding sebentar pada fikiran kita tidakkan begitu berat hendak mengeluarkan jemputan bagi suatu mesyuarat permulaan di mana perkara-perkara yang mustahak boleh dibincangkan dengan bebas. Mesyuarat permulaan ini memadai sahaja dihadiri oleh lima atau enam pemoga-pemoga kita yang ada di dalam satu-satu jajahan di dalam Selangor. Artinya oleh tiga atau empat puluh orang.

Kemudian dengan perantaraan pemoga-pemoga jajahan itu, seruan-seruan Persekutuan itu dapat ditaburkan dengan senang ke dalam mukim-mukim yang ada di dalam jajahan yang barangkali jua kita boleh mendapat pertolongan penghulu-penghulu untuk membanyakkan bilangan Member-Member Persekutuan itu.

Jika diaturkan pada fikiran kita bahwa tidak ada halangannya kelak Persekutuan yang dihajat itu berdiri dengan tegap di belakang Sultan-Sultan kita untuk membela dan mempertahankan hak Raja dan negeri.

Dan bahwa dewan Town Hall yang permai di kota ini sedia bila-bila masa untuk pergunaan persidangan yang demikian itu.

Kita suka mengaku sekali lagi bahwa Majlis ini selamanya sedia untuk mengkhidmatkan kaumnya, wallahu-tawakkal.