Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 21 Sep 1932, p.1

Leader Article.

Bangsa Membuang Bangsa Oleh Sebab Jasa.

Tuan-Tuan Pembaca Yang Dihormati,

Tuan-Tuan Pembaca sekalian terlebih maklum zaman kemajuan kepada semua bangsa di dunia ini, bagi pihak kita bangsa Melayu tidak juga mahu terkeluar daripada golongan kemajuan bangsa asing itu. Terutama masa sekarang inilah baru bangsa kita Melayu sedarkan kemajuan itu dan masa inilah baru bangsa kita tergopoh-gopoh bagun dari tidurnya hendak mengejar dan menghambat bangsa-bangsa asing yang sudah lama menuju serta sudah masuk ke padang kemajuan itu dengan beberapa gelak senyumnya, kerana sudah merasai lazat citanya duduk di padang itu.

Melainkan bangsa kitalah sahaja yang baru menyiapkan segala bekalan-bekalan dan perkakas-perkakas bagi jalan hendak menuju ke padang kemajuan itu. Saksinya yang bangsa kita sedang menyiapkan perbekalan itu ialah:

1. Orang-orang besar kita sekarang sudah sedarkan kebesarannya itu bagi menolong bangsanya, bukannya untuk dirinya sendiri sahaja, iaitu sudah ada orang-orang besar kita yang mengerahkan anak bangsanya mencari jalan kemajuan itu seperti mengerahkan anak bangsanya berusaha bercucuk tanam, memelihara hidup-hidupan, dan lain-lain yang dapat disaksikan oleh Tuan-Tuan Pembaca sekalian pada masa ini.

2. Orang kaya-kayanya pula demikian juga, tidak mengirakan kekayaannya itu untuk menyelenggarakan dirinya sahaja, tetapi ialah untuk menyelenggarakan bangsanya dengan mengorbankan wang duitnya sendiri.

3. Orang-orang yang berpengetahuannya pula sibuklah membuangkan masanya dengan tiada untuk arah makan dan minum dan tiada juga menjamu matanya dengan ayapan tidurnya di waktu malam kerana mengeluarkan beberapa buah fikirannya yang berguna serta menzahirkan buah fikirannya itu di serata suratkhabar-suratkhabar dan majalah bagi menunjuk dan mengajar anak-anak bangsanya. Bagaimana suatu bangsa itu dapat menari di padang kemajuan itu. Di sini penulis mengangkat tangan ke langit minta doa di atas kaum-kaum penulis yang di atas tadi mudah-mudahan dengan sebab tunjuk ajarnyalah dapat bangsa-bangsa kita kelak bersama-sama mengecap lazat kemajuan bersama-sama dengan bangsa-bangsa asing itu.

Syahdan, sungguh pun demikian, tetapi penulis tersangat hairan dengan sepuluh kali hairan! Kerana memikirkan cerita dari seorang sahabat penulis bagi bangsa kita Melayu ada juga rupanya yang masih tidur lelap lagi di dalam ayunan kuno itu dengan mengirakan kebesarannya kekayaannya dan pengetahuannya buat untuk dirinya sendiri sahaja dengan tiada mengirakan kaum bangsanya yang di kiri kanannya itu. Seperti kata Melayu bagai anu di dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.

Adapun cerita sahabat penulis itu demikian: adalah sebuah kampung yang bernama ... katanya kampung itu sama juga hal keadaannya dengan keadaan kampung-kampung yang lain. Demikian juga perasaan anak-anak kampung itu tiada juga ketinggalan seperti perasaan anak-anak kampung yang lain juga di wilayah negeri itu. Tetapi yang menjadikan ajaib sangat penulis mendengarkan cerita sahabat penulis itu ialah berkenaan dengan keadaan Datuk Penghulu di kampung itu. Katanya, Datuk Penghulu itu sangat berlainan tujuannya dan maksudnya dengan anak-anak buahnya tampaknya Datuk itu sangat mengerang ((berat)) ke sebelah Cina-Cina yang ada di dalam kehidupan itu pada sebarang perkara; ia tiada berat kepada menolong anak buahnya dan juga masa ini Datuk itu sangat bersahabat karib dengan seorang tauke Cina kedai kampung itu. Kemenangan Cina itu ialah dengan berkedai dan menjalankan wang bunganya di dalam kampung itu dengan mengambil faedah dengan tiada berkira lagi pada masa ini sudah berpuluh-puluh "geran" Melayu ada di tangan Cina itu. Hairan! Hairan! Hairan! Tidak juga Melayu kita ini sedar akan perbuatan bangsa asing kepadanya.

Dan lagi, kata sahabat penulis masa ini sangatlah karib persahabatan Datuk itu dengan Towkay itu, kerana kedai Melayu sudah terdiri di kehidupan itu, kerana Datuk itu memang tak bersetuju orang-orang Melayu membuat kedai itu dengan mengeluarkan beberapa syor bagi menggalangi perjalanan itu. Dan juga masa ini Datuk itu barang ke mana pergi tidak bercerai dengan tauke itu, istimewa pula ke bandar ... kerana Datuk tak payah ... kereta lagi kerana kereta tauke itu sudah ada. Terlebih pula masa ini Datuk itu sedang menyiasat hutang-hutang anak Melayu sama ada hutang barang-barang atau hutang bunga mengeluarkan beberapa syukur kepada tauke itu menyuruh mengambil saman mengeluarkan saman kepada anak buahnya yang berhutang, dan menyuruh lelong kebun-kebun anak-anak Melayu yang ada di tangan tauke itu.

Di sini lagi penulis termenung mengenangkan hal Datuk itu bangsanya Melayu agamanya Islam tetapi perasaannya Cina. Hairan! Hairan! Hairan! Ajaib! Ajaib! Sampai begitu terkeliru sekali fikirannya Datuk itu.

Seperkara lagi, kata sahabat penulis Datuk itu sedang sibuk mengeluarkan buah fikirannya kepada Cina-Cina tiada berkedai di kampung itu, mencari jalan supaya kedai Melayu itu tak laku dan tertutup dan mengugut-ugut anak-anak kampung itu hendak membawa ke mahkamah ((rumah bicara)), jika memajukan kedai Melayu itu.

Lagi saksinya yang terang, kata sahabat penulis, yang Datuk itu berat ke sebelah Cina, sedikit bulan lalu Datuk itu hendak mengangkat seorang mualaf bangsa Cina, menjadi Sidang di kampung itu. Tetapi nasib baik lagi anak-anak kampung itu belum hendak bersidangkan bangsa Cina! Ialah dengan sebab kuat jagaan dan siasat kerajaan kita yang maha adil itu di sini lagi penulis berdoa oleh nasib anak-anak kampung itu.

Maka inilah sahaja dapat sahabat penulis berceritakan hal Datuk itu kepada penulis, kerana hari sudah terlampau jauh malam, jadinya tak sempat lagi hendak mengeluarkan bual-bualan yang berguna lagi bagi bangsa kita, kerana hendak menjamu mata dengan ayapan tidur pula. Sebab esok paginya penulis dan sahabat penulis hendak menuju pekerjaan masing-masing buat mengisi perut nasi.

Penulis minta ampun dan maaf di atas Datuk Penghulu yang tiada di sejagat Semenanjung ini, kerana rencana penulis yang tidak sedap didengar oleh Tuan-Tuan Pembaca. Penulis menulis rencana ini seperti Pepatah Melayu:

Barangsiapa memakan lada, ialah merasai kepanasannya.

Janganlah kiranya Datuk Penghulu yang lain-lain mengambil rasaan di hati dan jahat sangka kepada penulis dan juga berbanyak-banyak maaf kepada Tuan-Tuan Pembaca atas kekasaran penulis pada serba-serbi dan juga berbanyak-banyak terima kasih kepada Tuan Pengarang Saudara. Was-salam.

Sahabat Karib Yang Mendengar Cerita.