Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Feb 1933, p.7

Surat Kiriman.

Perempuan-Perempuan Melayu.

Sanya, saya seorang yang sangat-sangat bersetuju di atas syor-syor Tuan S.Sh. Perak di dalam Saudara bertarikh 8.2.33 itu, dan saya tambah sedikit lagi pendapatan saya bagi menyokongnya:

Maka sungguh pun pihak perempuan itu kejadian daripada manusia sama jua menjadi hamba Allah tiada berbeza, untuk akal fikiran dengan pihak lelaki. Akan tetapi adalah perempuan itu lebih mulia daripada lelaki pada pihak kehidupan di dunia dan diperintahkan di dalam ugama Islam bahwa perempuan-perempuan mesti menudung auratnya supaya memelihara kemuliaan roh dengan jasadnya.

Dan diadatkan duduk di dalam gurusan batas-batas kemuliaan. Maka akan jadi silap faham sekiranya ada mana-mana makhluk memikirkan bahwa kedudukan perempuan-perempuan dengan menudung aurat dan tersimpan di dalam gurisan had hingga itu. Jika hendak kata perempuan menjadi hamba lelaki. Umpamanya di dalam suatu panggung wayang bangsawan sekiranya diadakan sekatan atau dikhaskan suatu tempat bagi tempat kedudukan kaum perempuan. Maka adakah yang demikian itu diterima oleh akal.

Jika hendak dikata sekatan kerana hendak memperhamba kaum perempuan. Tidakkah yang demikian itu dimakna bahwa sekatan itu kerana memelihara kemuliaan kaum perempuan. Akan tetapi sekiranya kaum perempuan sendiri redha diberi suka hati hendak menolak kemuliaan dengan diganti oleh kebebasan hingga membawa pada menjadi sabur bertaburan di pekan pasara ((seperti kata Tengku di Sumatera)) itu siapakah ampunya salah; tetapi baik menyesal di hulu jangan menyesal kemudian.

((Nasihat)) ayuhai saudara -- saudaraku kaum perempuan di Semenanjung Tanah Melayu! Harap janganlah tiru teladan kaum-kaum perempuan dan lain-lain tempat; peliharalah kemuliaanmu, janganlah dengar acuan cucu orang-orang yang khianat akan kemuliaanmu itu; kaum-kaum lelaki yang lain daripada seteru-seterumu senantiasa mendoa kepada Allah pinta dikekalkan roh kemuliaanmu selama-lamanya kaum lelaki ada berdaya upaya lagi mencari nafkah kehidupan dan anak isterinya.

Lainlah lelaki yang telah tiada berdaya upaya hendak mencari nafkah itu tentulah di pinta pertolongan kepada perempuan pula. Di dalam itu jika terwajib hendak menolong cari keluasan nafkah kehidupan, Tuan patutlah diikhtiar kerja-kerja yang patut padan dengan roh-roh kemuliaan dan tingkah laku lembut sendi anggota kaum-kaum perempuan.

A.B.A., Kedah.