Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 22 Mar 1933, p.4

General Article.

Kawasan Melayu Kerana Orang Melayu.

Pertanyaan Kepada Kerajaan.

Bahwa kerajaan negeri Melayu yang di bawah pernaungan dan tadbir jagaan British yang maha adil ini telah mendapat jaya di dalam jagaan dengan masa yang sedikit dengan beberapa peraturan yang sangat indah-indah yang dicita oleh rakyat negeri dengan tidak mendapat cacat cela daripada awal jagatnya* hingga hari ini seperti dilihat oleh penduduk-penduduk di Malaya ini daripada semua bangsa yang berdagang di dalamnya.

Maka dengan sebab penaungan telah mengambil perhatian serta melihat dengan tilik muhibbah kasih sayang kepada penduduk-penduduk yang berasal memiliki tanahair di Malaya ini yang telah tergamak oleh bangsa-bangsa dagang di negeri ini menghalaukan mereka itu ke hutan rimba belantara serta ke ceruk dan celah bukit-bukit dan gunung-gunung sepanjang negeri Malaya itu supaya undur jauh ke belakang daripada goresan-goresan yang indah dari serba serbi kelakuan sama ada memiliki ladang getah dan galian timah dan tanah-tanah bandar serta rumahnya dan jawatan-jawatan negeri dan kuli-kuli, begitu juga ahli-ahli pemborong-pemborong dan berkepandaian dan bertukangan yang di cita oleh manusia siang dan malam di dalam alam ini.

Maka dengan pandangan dan tilik muhibbah kasih mesranya Tuan-Tuan Pengarang dan Raja-Raja di Malaya ini kepada orang Melayu berkukur kepala dengan bersentuh-sentuh keturunannya memiliki buminya yang telah terhalau ke belakang dengan jalan yang halus-halus pembuka bangsa dagang itu.

Kerajaan dengan jagaan British yang maha adil itu telah mengadakan tiap-tiap ceruk rantau negeri Malaya ini telah menunjukkan serta mengikut bangsa-bangsa dagang itu merasuk dan Melayu dengan pandangan yang dahsyat itu dinamakan Kawasan Melayu.

Maka dengan sebab itu tersekatlah orang-orang Melayu itu menjualkan dan menggadaikan milik-miliki mereka itu kepada bangsa-bangsa dagang seperti dilihat dan bertuahlah mereka itu orang-orang Melayu itu menerima undang-undang yang dijalankan oleh kerajaan yang di bawah jagaan British yang maha adil itu kepada anak-anak Melayu yang bernaung di bawah tadbir al-ehsannya.

Maka di sinilah hamba Tuan yang lemah pengetahuan dan pandangan akal menyusunkan pertanyaan ke bawah kaus Yang Berhormat Penaung-Penaung Malaya dan Duli Yang Maha Mulia Sultan-Sultan Negeri Melayu ini. Bahwa adalah negeri Melayu ini hanyalah mempunyai dua mata pencarian yang terbilang seluruh alam ini, pertamanya getah, keduanya bijih.

Adapun ladang getah itu kerajaan telah menunjukkan bagi orang Melayu sahaja dinamakan Malay Reserve ((Kawasan Melayu)).

Dengan itu ternyatalah hamba Tuan kepada kerajaan Negeri-Negeri Melayu Yang Bersekutu dan Yang Tidak Bersekutu yang dinaungi kaum British yang maha adil ini adakah kerajaan telah menguntukkan kepada anak-anak Melayu yang masih terundur ke belakang daripada perusahaan galian itu seperti yang diperbuat kepada ladang getah pula ((kawasan Melayu)) kerana galian.

Inilah yang hamba Tuan tanyakan kepada kerajaan yang maha adil ini kiranya tiada ada cadangan kemajuan seumpama itu, mintalah supaya diadakan kuasa Melayu bagi galian seperti ladang getah itu. Kerana tiada didapati kawasan Melayu itu ada di dalamnya galian.

Mudah-mudahan barang kiranya berhargalah bijih itu dengan harga yang dicita-cita kemudian daripada diadakan kawasan Melayu kerana galian. Dapatlah anak-anak Melayu ini merasa lemak manis perusahaan galian itu dan janganlah seperti yang telah sudah diambili orang-orang Cina sahaja seperti yang dilihat hingga pada masa ini.

Dukacitalah hamba kerana karangan ini adakah layak disebutkan di dalam golongan akhbar-akhbar atau tiada serta pula barangkali aturan susunannya tiadalah seperti dikehendaki pembaca-pembaca yang bijaksana kerana susunannya dan sebutannya tiadalah begitu manis didengarnya dan dibaca dan penulis terpaksalah menjalankan seberapa yang dapat kiranya ada terjadi pun seumpama dengan itu lebih dahululah penulis minta maaf kepada pembaca-pembaca dan Tuan Pengarang serta memohonkan ampun maaf kepada kerajaan yang maha adil dan kemurahannya, inilah diharap. Was-salam adanya.

Yang Benar,

Hassan Basri.