Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 13 May 1933, p.1

Editorial.

Persatuan Melayu.

Pada pendapatan kita sekarang adalah Persatuan Melayu Pulau Pinang ini tampaknya telah masuk ke dalam golongan baru, keluar daripada golongannya yang lama, iaitu golongan membangunkan dan memashyurkan dan menaburkan perasaan kepada kaumnya apa-apa yang wajib dan harus dengan mengadakan jamuan dan ucapan dan permainan yang khas di dalam Rumah Persatuan pada menarik member-member kepadanya.

Adapun baru-baru ini kemudian daripada berganti Tuan Setiausahanya yang baru, maka tampaknya ia telah mula memasuki ke dalam golongan pekerjaan dan muslihat perhimpunan kaum, bermula kita yang sentiasa memperhatikan perjalanan persatuan yang dikasihi ini telah diserapi sekarang keseluruhan anggota perasaan kita oleh pengharapan yang sangat-sangat besar bahwa persatuan kaum yang dihormati ini akan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang sangat-sangat dituntut oleh perhimpunan kaumnya bukannya bagi ahli-ahli Pulau Pinang semata-mata, tetapi akan meliputi kelak sekalian umat yang mendiami bumi Melayu ini oleh sebab anggota-anggota yang mengedari akan dia pada masa ini terkenal dengan kepintaran yang tersebut daripada ilmu pengetahuan dan telah hidup mereka itu di dalam percubaan masa serta mempunyai ikhlas dan amanah yang sempurna di dalam tiap-tiap perjalanan mereka itu.

Dengan sebab ini kita seru sekalian saudara kita hendaklah masing-masing menjalankan kewajipan yang dituntut daripada tiap-tiap seorang yang ada di dalam badannya jikalau satu titik sekalipun daripada darah yang datang daripada tumbuh-tumbuhan bumi Melayu ini mesti menolong dan membantu akan dia supaya daripada pertolongan yang bersekutu ramai ini boleh mendatangkan bagi Persatuan ini daya upaya yang menerbitkan daripadanya buah-buahan yang sangat dikehendaki bagi tiap-tiap bangsa dan kaum yang berkehendakan kehidupannya menyamai kehidupan sekalian kaum yang ada mempunyai perasaan kebangsaan.

Sekarang ini peluang telah terbuka bagi kaum Melayu ini dengan kepercayaan kerajaan ke atas seorang daripada anggota yang terutama sekali di dalam Persatuan ini dengan menjadikan dia wakil bagi kaum Melayu negeri-negeri Straits di dalam Majlis Mesyuaratnya. Maka sangat-sangatlah kita harap bahwa peluang yang maha besar bagi kaum ini tidak ditinggalkan sia-sia kerana dengan muafakat dan bersekutu membantu perjalanan Persatuan ini boleh menjadikan dia satu sokongan yang sangat-sangat kuat bagi tulang belakang wakil orang-orang Melayu yang di dalam majlis itu.

Dengan sebab ini kita seru lagi sekali sekalian saudara-saudara kita yang mempunyai darah Melayu daripada apa jua jenis bangsanya mesti bangun dengan seberapa segera membantu Persatuan ini bukannya kerana hendak bersuka ria bermain di dalam rumahnya bagaimana lain-lain Persekutuan tetapi hanyalah kerana menuntut akan kesukaan hati yang kasih akan bangsa kaum dan watan bagi faedah bangsa Melayu dan sekalian yang telah membangsakan diri kepadanya.