Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 6 May 1933, p.6

Editorial.

Racun Suratkhabar Ialah Wakil-Wakilnya.

Keberhentian Lidah Benar.

Dengan terasa sangat-sangat sedih hati kita mendengarkan kawan sejawat kita Lidah Benar yang terbit di Kelang telah menerangkan keberhentian daripada ilmu wujud jikalau pun bagi sementara, kerana wujud suratkhabar yang seumpamanya itu terlebih memberi guna kepada kita daripada tiadanya, sebab sungguh pun tujuan Lidah Benar itu banyak yang tidak bersetuju dengan kita dan selalu berlawanan dengan tujuan kita, tetapi segala peringatan atau teguran atau perselisihan faham di antaranya dengan kita itu selalu memberi guna kepada kita dan kebanyakan pembaca-pembaca juga agaknya.

Sebab tiap-tiap perkara yang benar itu selalu terbitnya daripada perlagaan di antara dua fikiran bagaimana kilat yang memancarkan cahayanya itu terbitnya daripada perlagaan di antara dua kejadian Tuhan yang ghaib di atas udara.

Maka yang menjadi lebih sangat-sangat sedih rasa hati kita ialah membaca sebab-sebab yang ditulisnya bagi keberhentian itu, iaitulah setengah daripadanya sebab-sebab bagi kematian kebanyakan suratkhabar-suratkhabar Melayu kita yang telah lalu juga iaitu ketiadaan amanah kebanyakan wakilnya dan keringatan kebanyakan ahli-ahli langgannya bagi menyempurnakan kewajipannya yang dialah roh perjalanan tiap-tiap suratkhabar daripada serba jenis bangsa yang di dalam alam ini.

Kita sangat menimbang rasa akan penyakit yang ditanggung oleh saudara kita ini kerana kita pun banyak kali sangat merasa akan dia bagaimana yang selalu dirasa oleh tiap-tiap suratkhabar Melayu yang mengelokkan sangkanya ke atas kaumnya yang meminta menjadi wakil dengan berniat khianat pada batas dan mendewa-dewakan permintaan dengan menzahirkan perasaan yang beriman kepada Allah dan Rasulnya pada zahir, padahal di dalam hatinya memang berniat khianat dan pecah harapan walaupun dengan memberi wang tanggungan terlebih dahulu.

Kerana telah kita dapati daripada mereka itu orang yang tidak merasa takut ataupun malu daripada memakan wang yang diamanahkan kepada mereka itu apabila terlebih sahaja wang harga surat-surat khabar yang di tangannya jikalau satu dua ringgit sahaja pun daripada wang tanggungan yang dahulukannya itu apa lagi orang yang dipercayai dengan tiada wang tanggungan.

Bermula yang sangat-sangat menyusahkan hati kita ialah kebanyakan orang yang melakukan kepecahan amanah ini daripada orang-orang yang mengaku akan dirinya berugama Islam daripada kaum itu jarang sangat-sangat didapati daripada orang yang berugama lain ataupun bangsa yang lain daripada bangsa bahasa suratkhabar kita.

Jikalau semacam Lidah Benar empunya keadaan bagaimana yang diketahui oleh ghalib orang ada mempunyai musibat sendiri tiada dapat ditanggung oleh jasadnya yang kuat gagah perkasa itu akan bahaya penyakit khianat sekalian wakil-wakilnya dan ketiadaan perasaan sekalian ahli-ahli langganannya.

Maka betapakah boleh dapat ditanggung oleh orang-orang yang terlebih daif daripadanya.

Takutkanlah akan Allah, wahai sekalian saudara, bukanlah sekali-kali tempat hendak mencari nafkah yang lebih daripada pendapatan yang ditentukan daripada suratkhabar ini, kerana suratkhabar ini bagi faedah-faedah mengambil perhimpunkan kaum yang sangat berhajat kepada peringatan yang sentiasa.

Bermula orang-orang yang menipu dan khianat akan amanat orang suratkhabar ini maka sebenar-benarnya ialah orang itu telah menipu dan khianat akan kaumnya. Maka tiadalah hak baginya memasukkan diri ke dalam perhimpunan kaum yang sangat-sangat berkehendak kepada keikhlasan tiap-tiap satu orang daripadanya ini.