Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 1 Aug 1934, p.7

General Article.

Sedikit Pemandangan Kedai Melayu Dan Pergerakan Kemajuannya dan Sebab-Sebab Kejatuhannya.

Oleh "Membeli", Perak.

Sebelumnya masa meneruskan mata kalam saya yang amat singkat ini, maka terlebih dahulu saya memohonkan banyak-banyak minta maaf kepada sekalian sidang Pembaca-Pembaca yang terhormat, jikalau sekiranya didapati di dalam apa-apa perkataan saya yang ada melampaui sempadan batasan yang dimaksud.

Maka kemudian daripada itu sebelum saya teruskan pula akan tulisan ini, yang saya mau hendak memberi sedikit pemandangan di atas kaum bangsaku di dalam kalangan pergerakan dunia perniagaan siapa yang di waktu hari ini telah ada banyak suka buat mencuba akan perusahaan tidak ada boleh dikatakan sama sekali diperusahakan oleh bangsaku sendiri, hanyalah terpegang di tangan kaum bangsa-bangsa asing sahaja.

Sekarang sungguh pun perdirian perniagaan kedai-kedai bangsaku yang baru dicuba-cubakan itu masih kita anggap sangat-sangat kecil jikalau sekiranya kita nisbahkan dengan perniagaan kaum bangsa-bangsa asing yang telah beroleh kemajuannya itu, mudah-mudahan tidaklah mengapa yang demikian itu oleh kerana bahwa untuk sebagai permulaannya sahaja, jadilah dahulu, sementara akan mendapat capital atau modal yang banyak, jadilah dengan secara berteneh-teneh sahaja.

Adalah kedai bangsaku yang telah dibangunkan itu, sungguhnya tiap-tiap hari tidak lalai daripada diurus oleh pengurusan dengan sangat-sangat sayang rupanya bahkan si pengurus tidak luput daripada hatinya berdoa ke hadrat Tuhan supaya kedai yang masih telah diurusnya itu dipanjangkan umurnya, malah di dalam perjalanannya hidupan pun bertambah-tambah maju serta kejayaannya daripada sehari ke sehari, bahkan seterusnya pula.

Di dalam masa kedai itu telah dibuka pula tidaklah sunyi daripada dilawati oleh si pembeli-pembeli yang telah ada mempunyai akan semangat atau darah kebangsaan di dalam hatinya, lebih-lebih hairan yang berhampiran dengannya, begitulah tampaknya yang kedai itu pada sebabnya tiap-tiap ada bertambah-tambah banyak si pembeli-pembeli datang kepadanya oleh semuanya untuk keperluan dapur boleh didapati di situ terjual.

Maka yang demikian itu tentu ada bertambah-tambah yakin dan percaya kepada tuan kedai akan perjalanan kedainya itu akan membawa kehidupannya yang bertambah banyak datang kepadanya untuk mencari akan keperluan didapurnya.

Demikianlah seterusnya perjalanan kedai yang tersebut itu dengan beroleh akan kecahayaan pada tiap-tiap hari malah barang-barangnya pun beransur-ansur bertambah serta bertokok adanya.

Di situ patut sangat-sangat yang bangsaku memperhatikan tulisan saya seperti berikut di bawah ini, tetapi bukanlah saya hendak mengajarkan Tuan-Tuan Pembaca pula atau seperti pepatah orang-orang kita Melayu hendak mengajarkan itik berenang pula, yang demikian itu tidak sekali-kali hanyalah dengan sifat saya ini seorang daripada saudara Tuan-Tuan juga, lebih-lebih memperingatkan akan seruan agama kita yang mulia, bahwa adalah memperingatkan akan saudara-saudara kamu itu ialah sebaik-baik pekerjaan.

Adalah setengahnya daripada kaum bangsa kita yang jahil itu memang di dalam sanubarinya ada menyimpan akan sesuatu penyakit yang ditanamkan hasad dan dengki, adalah penyakit ini ialah sahabat-sahabat daripada segala sekalian penyakit-penyakit dan inilah juga suatu penyakit yang menyebabkan yang kaum bangsa kita di waktu hari ini jauh tertinggal di dalam kalangan serba serbi kemajuan yang dituntut, amatlah jahatnya siapa-siapa yang ada menyimpan akan penyakit yang amat dahsyat dan membunuh akan segala kemajuan jua ini.

Maka sepatutnyalah kita pada hari ini buangkan serta jauhi daripada diri kita akan penyakit yang teramat besar bahayanya ini, lebih-lebih lagi jika sebenarnya kita berkehendakan akan kemajuan.

Dan yang keduanya pula ialah penyakit kurang setia atau amanah. Maka adalah penyakit yang kedua ini ada lebih kurang jua dengan penyakit yang tersebut di atas tadi. Sebagaimanalah juga jangan diperpegang akannya kerana besar juga bahayanya oleh sebab boleh memutuskan perikatan kita sama-sama persaudaraannya.

Sepatutnyalah, bahkan wajib, kita jauhi daripada keduanya akan segala sifat-sifat yang tersebut di atas.

Sekarang mulailah saya kembali menceritakan keadaan kedai-kedai bangsa kita tadi yang sedang sangat-sangat majunya serta tidak kurang daripada dilawati oleh segala si pembeli-pembeli itu, apakah akan jadinya pula.

Bersambung.