Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Aug 1934, p.6

Editorial.

Surat Sembah Yang Terbuka Dari Rakyat Melayu Kepada Rajanya.

Bismillahi Rahmani Rahim.

Dipersembahkan,

Ke Bawah Telapak Cerpu Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku Sultan Abu Bakar Riayat-uddin Muadzam Shah C.M.G., Yang diPertuan Negeri Pahang serta jajahan takluknya, bersama dengan segala kebesaran dan kemuliaannya di dalam kemakmuran dan kemasyhuran adanya.

Sembah memohonkan ampun,

Harap diampuni, sembah patik-patik yang amat hina, pihak Pengarang Akhbar ini, dengan beberapa hormatnya mempersembahkan pemohonan Ke Bawah Duli Tuanku Yang Maha Mulia:

Bahwa telah sedia jua kiranya di dalam maklum kekuasaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Tuanku, berkenaan hukuman mahkamah tinggi kerajaan Tuanku, yang maha adil, di atas pacal itu yang amat hina dan daif, seorang perempuan bernama Siti Hawa binti Lamat, isteri kepada Encik itu, Awang Perang Datuk Setia Wangsa, jajahan Pudu, negeri Pahang, siapa telah sampai mati, kerana kesalahan membunuh kepada seorang Cina bernama Chong Wah dengan senjata api, yang berlaku pada 12 haribulan February tahun 1934.

Ampun Tuanku,

Bahwa di atas hal inilah dengan sifat patik-patik menjadi pihak orang-orang suratkhabar, yang sangat hina dan daifnya, mengambil sebesar-besar keberanian mempersembahkan permohonan ini dengan perasaan yang teramat ngeri dan sepenuh-penuh keikhlasan hati, Ke Bawah Telapak Cerpu Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kerananya:

1. Adalah patik-patik percaya bahwa hukuman mahkamah tinggi kerajaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, yang telah berlaku dengan sepenuh-penuh keadilan itu, mudah-mudahan telah diterima dan junjung tinggi oleh segenap rakyat di dalam negeri Pahang khusus, dan di negeri-negeri Melayu yang seumpamanya umum, dengan penerimaan memberi bekas kepada peringatan dan pelajaran yang keinsafan dan keperian di dalam tiap-tiap perhatian bagi menjauhi segala ataupun jua perlakuan atau perasaan yang memberi cedera kepada seseorang atau kepada umum pun sama.

2. Dan adalah patik-patik seakan-akan boleh mempercayai pula dengan sebabnya, bahwa telah dirasai jua oleh pacal perempuan muda yang sangat-sangat malang itu, Siti Hawa binti Lamat, dengan perasaan yang sebesar-besar penyesalan dan keinsafan kepada dirinya, di atas perlakuan yang terpancur atau kehilangan fikirannya yang sangat-sangat memberi bahaya itu, hingga menyebabkan dirinya telah menjadi seorang hukuman, yang mesti menjalani balasan dengan seberat-berat siksa dari pihak hak mengadilnya Yang Mulia Tinggi itu.

Ampun Tuanku,

Bahwa dengan alasan-alasan kedua-dua perasaan yang sangat-sangat memberi keinsafan dan keperian yang tersebut itulah, dan dengan sebab keteduhan pernaungan tuah kekuasaan dan kebesaran Duli Yang Maha Mulia Tuanku, maka patik-patik mengambil keberanian hati yang mengandungi sepenuh-penuh pengharapan, akan limpah kurnia serta rahim belas kasihan Duli Yang Maha Mulia Tuanku jua, memohonkan dengan sebesar-besar hormatnya akan titik perintah Daulat Duli Yang Maha Mulia Tuanku, bagi melimpahkan kurnia keampunan ke atas pacal yang amat daif itu, Siti Hawa binti Lamat, yang tersebut, siapa yang nescaya setiap-tiap hari dan ketika, menunggu-tunggu akan perlakuan kesudahan nasib baginya itu.

Ampun Tuanku.

Bahwa patik-patik percaya adalah daripada segenap pihak-pihak rakyat yang lemah masa ini, siapa-siapa yang turut merasai dengan perhatian keinsafan akan perbuatan pacal Siti Hawa yang sangat-sangat terkhilaf dan terlanjur itu, hanyasanya berharap-harap dengan sebesar-besar pengharapan akan keampunan dan keringanan daripada rahim kurnia Duli Yang Maha Mulia Tuanku jua, sebagaimana yang terhak menurut undang-undang kerajaan Duli Yang Maha Mulia, yang maha adil dan yang aman sentosa itu adanya.

Demikianlah patik-patik menyusunkan sembah memohonkan keampunan ini, dengan memohonkan limpah rahim Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Tuanku, yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan tinggi, tempat pernaungan patik-patik hamba rakyat sekaliannya.

Sembah Memohonkan Ampun,

Patik-patik yang amat hina dan daif, bertanda tangan:

Muhammad Yunus bin Abdul Hamid,

Pihak Pengarang Saudara.