Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 15 Dec 1934, p.6

Editorial.

Majalah atau Akhbar-Akhbar Melayu.

Di dalam sebulan yang akhir ini berturut-turut pengeluaran majalah-majalah Melayu datang mengedari pembaca-pembaca kaum bangsanya di Tanah Melayu ini, yang di antaranya kita telah sambut dengan selamat.

Panduan: sebuah majalah bulanan yang mengandungi pengetahuan agama, pelajaran, fikiran, tawarikh dan kemajuan; diterbitkan daripada Madrasah al-Idrisiah, Kuala Kangsar Perak, yang dipimpin oleh Encik-Encik Muhammad Noor Faiz dan Hassan Muhammad, Pengarang dan Encik Raludi, Pengurus.

Cahaya Singapura: sebuah majalah bulanan juga mengandungi perkhabaran dan pemandangan umum diterbitkan daripada percetakan Ahmadiyyah, Nombor 82, Jalan Sultan, Singapura, dipimpin oleh Pengarang dan Pengurusnya A.K. Dahruz.

Lembaga Malaya: majalah mingguan, mengandungi berbagai-bagai perkhabaran, fikiran, pemandangan-pemandangan dan pengetahuan ilmu, dipimpin oleh seorang Pengarang Melayu yang terkenal ((bekas Ketua Pengarang Warta Malaya)), Encik Onn bin Jaafar, daripada percetakan Malaya Press, Nombor 516, Victoria Street, Singapura.

Kita tetapi serba sedikit isinya satu persatu majalah-majalah ini, maka kita dapati daripadanya berapa perkhabaran dan buah-buah fikiran serta pemandangan atau serba sedikit pengetahuan-pengetahuan yang terpilih dan bernas yang adalah ia sebaik-baiknya bagi pengenalan dan contoh teladan kepada pembaca-pembacanya kaum bangsa kita Melayu.

Sungguh pun kita merasai sukacita dan besar hati bahwa majalah-majalah ini telah diterbitkan oleh pengarang-pengarang dan pengurusnya dengan hati yang tulus ikhlas kepada kemajuan kaum bangsanya, tiada syak lagi bahwa inilah tunas daripada perasaan yang sesungguhnya telah ada terkandung di dalam perhatian ahli-ahli pengetahuan bangsa Melayu yang dengan ia merasai bahwa apa yang mereka itu mengetahui, menandang dan mendengar, maka dikutip dan disajikan serta dihantarkannya perantaraan majalah-majalah yang tersebut bagi pengetahuan kepada bangsanya umum dan pembaca-pembaca khusus.

Kita ketahui di atas apa yang kita telah merasai zaman ini, bahwa pengarang dan penerbit-penerbit akhbar Melayu itu belumlah lagi dapat meletakkan harganya kepada jangka yang patut dinilai akan dia, atau dengan lain perkataan bahwa orang-orang akhbar Melayu itu zaman ini hendaklah menerima pembayaran ikhtiar dan usahanya dengan kepuasan hati, bukan dengan perolehan wang atau pemandangan kemuliaan dan kehormatan sebagaimana yang telah didapati oleh Pengarang-Pengarang Asing itu.

Bahkan, kepuasan hati itu pun kerapkali tiada didapati daripada kaum bangsanya yang umum, melainkan daripada mereka-mereka yang ada padanya berperasaan timbang-rasa keinsafan.

Hingga dengan sebabnya kerapkali kita jumpai akhbar-akhbar Melayu itu terbantut atau mati pada masa di tengah-tengah perjalanannya.

Maka yang demikian itu tidaklah menjadikan terbantut kepada kemajuan atau cita-cita kemajuan penerbit atau pengarang-pengarangnya sama. Kerana jika yang patah itu tidak akan tumbuh atau yang hilang itu tidak akan berganti lagi, maka terkecualilah keadaan kaum bangsa kita Melayu di dalam perjalanan kemajuannya.

Apa yang kita harap sekian banyak yang jatuh maka hendaklah sekian banyak pula yang bangkit, bangun, berjalan semula menyampaikan cita-cita kemajuan yang umum bagi bangsanya.

Maka inilah dia majalah-majalah kita yang telah bangkit, bangun dan berjalan semula mengganti mana-mana yang telah jatuh dan hilang di dalam masa perjalanan itu.

Sudah tentu ia menghulurkan tangan dan berharap akan disambut oleh kaum bangsanya khusus mana-mana yang telah ada padanya berperasaan kemajuan itu, supaya memberikan air atau baja bagi penyiram dan pemupuk ketumbuhannya, sehingga tunas atau benih yang sangat-sangat lemah dan halus itu akan dapat menjadi batang lama-kelamaannya, berpokok, berdaun, hingga berbunga dan berbuah bagi makanan roh yang lazat cita rasanya, kepada kemajuan bangsa dan negeri seumumnya.

Kita tidak payah berkata merayu-rayu, akan tetapi kita percaya bahwa kemajuan kaum bangsa kita itu akan dapat diketahui dengan ukuran ketinggian perasaannya dan ukuran bagi tiap-tiap perasaan itu, ialah kemajuan dan kegemarannya menyokong serta meluaskan kehidupan akhbar-akhbar tempat kezahiran suara dan fikiran kaum bangsa dengan bahasa tanahairnya.