Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 24 Aug 1935, p.6

Saudara. Mana Penganjur Kamu?

Sedikit daripada Tujuan Ucapan Yang Berbahagia Tuan O.T. Dussek.

Dibacai oleh pembaca kita yang dihormati bahwa di sebelah ini kita muatkan ucapan Tuan Yang Berbahagia O.T. Dussek, Pengetua Sultan Idris College di Tanjung Malim itu. Dua puluh satu tahun lamanya Tuan Yang Berbahagia ini mengetuai College yang tersebut, adalah bermakna 21 tahun sudah ia menjadi Guru Besar atau Ketua melatih, membantu dan menjagai pemuda-pemuda Melayu kita untuk menjayakan dia guru akan pengajar anak-anak bangsanya di dalam negeri dan di tempat-tempat perhimpunan mensyaratkan kaumnya sendiri ini.

Akan tetapi di sisi kesemuanya itu jangan pula dilupakan sanya 21 tahun lamanya sudah Tuan O.T. Dussek merenung dan memperhatikan atau mengamat-amati akan pergerakan kaum Melayu ini daripada satu langkah ke selangkah dan daripada sehari ke sehari, hingga pada akhirnya Tuan Guru Yang Berbahagia itu berasa putus harapan, kerana nampaknya keadaan kaum Melayu tidak juga didatangi tuah, bagi bersedia menahan paluan di dalam percawangan medan perlumbaan kehidupannya di negerinya ini. Bahkan sebaliknya bahwa perjalanan masa mereka itu hampir-hampir akan tiba kepada perenggannya iaitu akan tersekat atau terbantut ((tertumbuk)) kepada tembok, yang teguh dan dahsyat, dengan tidak ada sesuatu simpang lagi padanya yang akan dapat ditempuh ...!

Tiap-tiap mereka yang melihat keadaan umat di dalam kedahsyatan ini dengan cermin mata keinsafan, nescaya ia akan bertanya, kiranya dapatkah umat Melayu itu menarik langkah surut semula ke belakang bagi mencari jalan yang sebenar-benarnya munasabah dan layak ditakluk oleh mereka itu?

Ada satu sahaja jalan untuk menjawab pertanyaan ini, dengan meminjamkan perkataan Tuan Yang Berbahagia itu sambil bertanya: mana penganjur-penganjur Tuan-Tuan daripada laki-laki yang berperasaan cekal dan berhemat tinggi sebagaimana yang boleh didapati di dalam tiap-tiap satu kampung hingga pun yang sekecil-kecilnya di serata dunia ini?

Penganjur-penganjur inilah, siapa yang mempunyai sifat keikhlasan dan keinsafan semata-mata yang mustahak menyusul atau menuruti dari belakang buat memimpinkan tangan umat yang telah tertumpu kepada perenggannya itu, supaya surut semula ke tengah-tengah medan pergaulan bangsanya yang luas ini supaya berlumba-lumba dan berbuat-buat berjual beli dan beranjur beri serta bertolong tolongan di antara sama-sama kaumnya sendiri, tetapi tidak kepada bangsa asing: daripada siapa mereka telah dilemaskan oleh hutang-hutang yang banyak itu!

Tidak ada sesuatu umat yang tercebur ke dalam kesesatan perjalanannya akan dapat berdiri semula ke atas jalan yang sebenar. Sebagaimana kanak-kanak yang telah tercebut ke dalam laut itu tidak akan dapat merenangi ke daratan dengan sendirinya. Kerana bertambah lama bertambah teruk di dalam kelemasannya. Bukankah tiap-tiap tercebur umat itu ke dalam kesesatannya yang bertambah-tambah dahsyat, maka Allah yang maha besar telah mendatangkan Rasulnya bagi memimpinkan mereka itu kepada jalan yang sebenar?

Di hadapan kita sekarang sesungguhnya bukanlah kesesatan yang serupa itu. Bahkan, iaitu kelemahan dan kegalakan yang telah meliputi diri dan roh umat kita bagi menujukan pergerakan jalan kebolehan dan kemajuannya yang sebenar di dalam medan percawangan kehidupan yang ramai ini.

Maka jika sekarang telah putus harap kepada mereka-mereka yang telah berpelajaran sebagai guru-guru itu, oleh sebab dua puluh satu tahun sudah tiada tersangkut memimpin atau menganjurkan umat kita kepada sesuatu jalan yang dikehendakkan. Mentah penganjur kita yang lain lagi yang terlebih cergas dan mahir pula!

Kita harap jika seseorang bomor telah tidak mustajab mengubati sesuatu penyakit, mudah-mudahan akan datang lain tabib atau doktor memeriksa nadinya semula serta memberi ubat yang diharapi boleh serasi menyembuhkan penyakit itu. Manakala tidak seorang pun yang mengambil hirau, bahkan sebagai Yang Berbahagia Tuan O.T. Dussek ini perlulah mesti ada. Untuk menyeru dan menyatakan dengan berulang-ulang dan terus menerus akan besarnya Yang Berbahagia yang boleh didatangkan oleh penyakit itu di belakang hari.

Bukan kepada si sakit sendiri sahaja, tetapi jua kepada negeri, bangsa dan kaumnya umumnya, terima kasih Tuan!