Majlis extract
bibliographical notes on Majlis
index of Majlis extracts
    • locate in index of extracts taken from Majlis

 

Majlis, 19 Sep 1932, p.5

Editorial.

Melayu Belum Layak Menjadi Member Sanitary Board Pun.

Tak Ada Member Melayu Tak Apa!

Apakah yang kita faham dari buah butir masalah Member Melayu di dalam Majlis Sanitary Board kota ini, sebagaimana perkhabaran yang termuat hari ini? Tak lain melainkan Melayu Belum Layak!

Kita telah menulis di dalam salah satu ruangan kita yang telah lalu, meminta supaya kita dapat melihat seorang Member Melayu menduduki kerusi Majlis itu, terutama sekali Majlis Huluan ((Rural Board)) yang telah diagak-agak akan dibangunkan itu supaya kita dapat berdamping bersama-sama dengan bangsa lain. Tetapi tidaklah diutamakan oleh orang-orang Melayu baik seorang-seorang mau pun menerusi persekutuan-persekutuan mereka itu, iaitu menunjukkan bahwa orang-orang Melayu itu selamanya berhati taat dan undang-undang Sanitary Board itu wajib ditaati sama ada disaman Member bangsanya atau tidak.

Sementelaahannya pula kemuslihatan mereka itu di dalam pekan boleh dikata amat sedikit atau tidak ada sama sekali. Yang oleh itulah barangkali mereka tidak begitu runsing. Tetapi sekarang ketiadaan Member kita itu telah menjadi perkataan-perkataan sebagai santan dan berlada keluar dari mulut pengerusi Sanitary Board itu, lebih-lebih lagi dari mulut Towkay Lai Tet Loke, sebagaimana boleh disaksikan sendiri.

Bagaimana sunyinya hati kita apabila Tuan Pengerusi Sanitary Board itu berkata tidak diperolehnya Member Melayu meski telah dicarinya selama tiga tahun 1930-1931-1932!

Sesungguhnya hancur lulut hati kita apabila Pengerusi Majlis Kesihatan itu berkata yang ia telah mencari Member Melayu yang berkeadaan dan berkepandaian semacam Member-Member yang ada umpama Towkay-Towkay Lai Tet Loke, Kean Eang Chang, Khoo Theik Ee, atau Doktor Kee Tek Lim, sanya tersangatlah kita berdukacita apabila kita percaya yang Tuan Pengerusi itu sedia mengetahui biar sebelum ia datang ke kota ini bahwa tidak ada di Kuala Lumpur ini Malay Chamber of Commerce atau Chamber of Mines. Tidak ada gudang-gudang Melayu, tidak ada lawyer-lawyer dan doktor-doktor Melayu dan tidak ada seorang jua pun yang boleh dibangsakan kepada saudagar umpama tauke lombong, tauke arak dan sebagainya.

Hingga nama-nama lorong pun tidak ada nama Melayu. Maka apakah sebabnya dicari Orang Melayu yang tidak akan diperoleh dan bahwa mencari Orang Melayu yang berkeadaan sebagaimana kehendak Tuan Pengerusi itu samalah dengan berkehendakan tanduk kucing.

Kita masih ingat bahwa pada zaman dahulu, kerusi-kerusi majlis itu pernah didudukki oleh al-Marhum Tuan Haji Muhammad Taib dan al-Marhum Tambi Abdullah ((Datuk Dollah)); dan kedua-duanya tak tahu bahasa Inggeris. Sekarang pun apa salahnya kerusi-kerusi itu diduduki terus oleh orang-orang Melayu yang tak tahu bahasa Inggeris?

Negeri ini negeri Melayu, Member-Member Sanitary Board itu terutama sekali Malayan mengetahui Bahasa Melayu yang cukup sekadar untuk mengerti akan apa yang disebut oleh Member Melayu itu ataupun untuk memahamkan apa-apa maksud mesyuarat kepadanya.

Orang Melayu yang berada sedikit dan mengerti pula sedikit-sedikit bahasa Inggeris, tetapi tentulah tidak akan menyamai tauke-tauke Lai Tet Loke atau Khoo Theik Ee, masih boleh kedapatan. Sekurang-kurangnya Encik Mahmud bin al-Marhum Haji Abdul Rahman Kampung Baru. Tetapi kita tidak percaya yang Encik Mahmud ini pernah diajak oleh kerana barangkali kecil sangat jadi tak nampak.

Berbalik kepada Towkay Lai Tet Loke, yang menyatakan telah berfikir dengan dahsyatnya kerana kemudian daripada 50 tahun, orang-orang Melayu itu di bawah naungan Inggeris, tetapi masih belum layak memenuhi sebuah kerusi Sanitary Board yang kosong pun oleh kerana katanya; for all their pampering and molly-coddling.

Yang bererti kira-kira Melayu itu sukai makannya dengan makanan yang lazat-lazat dan pelesur atau kecemiduan dan keperempuanan atau kebetina-betinaan. Sebab itulah mereka belum layak. Bagi pemandangan dan pendapatan Towkay Lai Tet Loke atas orang-orang Melayu ini kita terpaksa menerima kasih dan insha Allah akan tertulis di dalam riwayat Melayu yang tidak akan dilupakan terutama sekali apabila kita bandingkan kepada perdirian kita yang telah tempang lari ke hutan dilanyak oleh orang-orang yang berbudi hendak membuka negeri Melayu ini.

Begitu pun pemandangannya Melayu ini makmur, sukai dan manja.

Orang-orang Melayu wajib ingat, sungguh pun sekarang Towkay Lai Tet Loke telah berkata terlebih dahulu, mesti ada Orang Melayu yang layak, tetapi ia tak tahu menyebutkan siapa?

Ia hanya menyambung cakapnya dengan santan berlada. Kita cemburu kalau-kalau kita akan mendengar perkataan orang menuduhkan orang-orang Melayu tak layak memegang jawatan tinggi seperti Malayan Civil Service itu dengan dalil belum layak menduduki kerusi Sanitary Board yang telah layak padanya Keling dan Cina.

Perhatikan lagi, Towkay Lai Tet Loke bukannya tak tahu yang orang-orang Melayu ini telah genap 50 tahun di bawah naungan Inggeris.

Apabila belum layak menjadi Member Sanitary Board pun, tentulah bangsa-bangsa Malayan itu akan bersenang hati menyalahkan orang-orang Melayu. Kita tak tahu adakah Towkay Lai Tet Loke tidak menampak atau bersengajatah mahu menampak yang demikian itu, tersebab dari kesilapan policy pernaungan terlebih banyak dari kesilapan pihak yang dinaungi.

50 tahun Melayu dinaungi, kota Kuala Lumpur yang dahulunya dipunyai oleh orang-orang Melayu sekarang dipunyai oleh Cina dan Keling. 50 tahun Melayu diajar, Melayu belum ada yang layak menjadi Member Sanitary Board pun. Tetapi Cina dan Keling sudah layak menjadi Chairman.

50 tahun bumi Melayu dijaga, emas bijihnya telah digali oleh Cina dan lain-lain lagi.

Begitu pun masih tak segan hendak merombak Malay Reservation, hendak Malayan Civil Service dan hendak itu, hendak ini.

Kerajaan Inggeris sendiri telah menampak kesilapan itu dan tidak akan membiarkan umat Melayu terlanyak lebih dari hari ini.

Jika tidak dapat dibuatkan balik apa yang telah lenyap dari tangan mereka, sebab itulah didatangkan perubahan baru, tetapi akan disekat oleh bangsa-bangsa asing.

Kita minta perubahan baru itu hendaklah dengan lekasnya juga mendatangkan perubahan kepada Pejabat Sanitary Board itu. Member Sanitary Board Melayu mesti diadakan tahu atau tak tahu bahasa Inggeris. Kita belum minta bangsa majlis Sanitary Board itu wajib Bahasa Melayu.

Patutlah diingatkan bahwa nama-nama Melayu itu banyak yang layak untuk nama Streets.

Kata Tuan Hinds, bahwa tidak disyaratkan bilangan kerusi-kerusi itu teruntuk kepada satu-satu bangsa. Artinya tak ada Melayu tak mengapa.

Benar! Tetapi kalau ada Melayu yang tak tahu bahasa Inggeris apa salahnya?