Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 27 Jul 1935, p.6

Editorial.

Kemajuan Mestilah berdasarkan Agama Yang Benar.

Bagaimana Agama itu Tergalang Perjalanannya.

Tiada sunyi anak-anak kaum kita yang berperasaan menyeru kaumnya supaya sedar bangun dan berjalan masuk ke medan kemajuan, sekurang-kurang supaya bersaing dengan bangsa-bangsa asing yang di dalam Semenanjung kita ini. Dan seruan itu tampaknya tidak terjatuh ke atas telinga yang tuli, kerana bagaimana yang kita dapat perhatikan sekarang ini, telah kita tampak dengan terang yang kaum kita telah mulai sedar dan berjalan menuju ke medan kemajuan yang dituju oleh bangsa-bangsa asing itu dengan ketingkasan yang memberi pengharapan boleh lambat laun dapat kita bersaing dengan mereka itu, sebenarnya masa ini jauh lagi ketinggalan kita di belakang, tetapi bukannya yang menyebabkan ketinggalan itu kerana kelambatan jalan kita bahkan ialah sebenarnya kerana kelewatan kita mulai berjalan.

Tetapi sudah maklum, memang pada mata mereka-mereka yang berasaan kuat runtutan perasaan kebangsaannya, terpandang terlalu lambat langkah perjalanan kaumnya itu hingga pada perasaan mereka itu hampir tak berjalan langsung. Serupa juga ibaratnya bila seorang berkehendak sangat-sangat melihat tempat yang ditujunya di dalam perjalanannya terasa padanya sangat lambat tibanya, yang demikian itu sudah memang tabiat manusia.

Baiklah, kita sekarang tentulah telah percaya yang kita sekarang telah mulai berjalan dengan kemajuan, tetapi ke manakah halanya kemajuan kita itu? Pada pemerhatian kita terang tampaknya yang kemajuan kita sekarang ini menuju hala ke-Eropah-an hampir-hampir di dalam serba-serbi. Baguslah begitu, kerana memanglah dikehendaki supaya sesuatu bangsa yang kurang maju itu berpedomankan bangsa-bangsa yang lebih maju daripadanya. Tetapi manakala kita dapati pada dewasa ini bagaimana yang kita telah kerapkali dengar cerita pekik daripada ahli-ahli akal bangsa-bangsa yang maju ((bangsa-bangsa Eropah)) yang kita jadikan pedoman itu, sendiri sekarang ini telah sedar dan mengaku dengan sesungguhnya bahwa kemajuan yang sebenar dan kekal itu tak boleh didapati melainkan dengan berdasarkan agama.

Apa pula kelak kita yang selama ini menjadikan kemajuan mereka itu pedoman dan turut-turutan kita. Padahalnya agama mereka itu bukan daripada agama kita?

Ya, harus boleh jadi ada yang menjawab kata: dasarkanlah kemajuan kita itu dengan agama kita yang sebenarnya, begitulah sepatutnya. Tetapi jika kita balas namanya pula; adakah anak-anak muda kita yang dikatakan telah mulai menapak ke dalam medan kemajuan itu mengatur langkah mereka itu secara yang dituntuti oleh agama kita? Tentu sekali tak dapat kita mengelak daripada menjawab tidak, atau kalau ada pun tersangat sedikit peratusnya, yang demikian tidak boleh dimasukkan di dalam hitungan, dari sini terbit satu pertanyaan sahaja, iaitu: mengapa sebabnya?

Pada fikiran kita, sebabnya ialah kerana ketiadaan latihan agama yang sebenar di dalam didikannya anak-anak muda kita itu dan sebab ketiadaan latihan itu ialah kerana kekarutan atau kekolotan pengajaran di dalam ilmu agama Islam yang telah beberapa zaman dijalankan dan yang masih kebanyakan dijalankan di dalam Semenanjung Tanah Melayu kita ini.

Itulah sebabnya maka pengajaran bangsa seumpama itu sungguh pun telah berpuluh-puluh tahun dijalankan, tetapi tiada menerbitkan natijah bagaimana yang dikehendaki. Jika kita halusi selidik kita atas cara pengajaran ugama yang telah dan masih dijalankan ajarannya oleh kebanyakan guru-guru agama di sebelah kita ini nescaya kita dapati, jangan harus sama, hampir-hampir secara tuan punya wayang bangsawan menjalankan wayangnya.

Sekadarkan tuan punya wayang bangsawan itu menjamu penonton-penontonnya dengan halwa mata dan telinga sekali, tetapi kebanyakan pengajaran-pengajaran agama itu menjamu murid-muridnya dengan halwa telinga sahaja atau kadang-kadang halwa tekak pun sama bila Tok Guru itu daripada orang yang berduit.

Cuba mari kita terangkan kata kita itu dengan memberi beberapa perumpamaan atas keadaan-keadaan yang hampir-hampir serupa di antara keduanya: umpamanya bila ada di dalam satu-satu bandar atau pekan dua wayang. Maka sudah tentu pada ghalibnya ada di antara keduanya perlawanan, yang satu mencuba dengan seberapa daya upayanya mengatasi daripada yang satu lagi iaitu berlawan mendapatkan lebih bilangan penonton samada dengan jalan memurahkan harga tiketnya atau melebihkan keelokan permintaannya atau kedua-duanya sekali dan masing-masing itu sentiasalah terpada apa-apa mencari peluang mendapatkan kesalahan yang lain bagi faedahnya sendiri.

Dengan keadaan yang serupa itu juga bila-bila di dalam suatu pekan bandar atau kampung ada 2 madrasah, surau atau masjid, yang di dalamnya tok guru mengajar ugama maka kerapkali kita dapati di antaranya perlawanan, seorang mencuba mengatas daripada yang lain, hingga akhirnya bangkit permusuhan dan berpecah-belah ahli-ahli bandar pekan atau kampung itu.

Pendeknya jangan sahaja ada dua tok guru mengajar di dalam sebuah kampung, nescaya berpuak-puaklah anak-anak kampung itu dengan bermusuh-musuhan antara satu dengan lain. Demikianlah bagaimana pelawanan di antara tuan punya dua wayang bangsawan kerana memajukan perniagaan masing-masing begitulah jua lebih kurang perlawanan di antara tok-tok guru itu kerana memajukan muslihat perut dan pangkat masing-masing.

Jika demikian keadaan pengajaran ugama yang dijalankan, betapakah dapat pemuda-pemuda kita mendasarkan kemajuan mereka itu dengan ugama yang pengajarannya dilihat oleh mereka itu dijalankan dengan faedah dan peraturan yang sama sekali berlawanan dengan kehendak-kehendak kemajuan.

Umpamanya pemuda-pemuda yang berpelajaran mengetahui bahwa persatuannya itu ialah umbi kemajuan, tiba-tiba dilihatnya amalan kebanyakan daripada tok-tok guru itu sama sekali berakas dengan kehendak-kehendak persatuan, yang demikian betapakah mahu mereka itu mengikutnya?

Sebagai lagi manakala ada pula pemuda-pemuda yang berperasaan keagamaan berusaha pada menyelidik, mencari apa yang bermakna di dalam ilmu agama mereka itu. Maka berbangkitlah bermacam-macam tuduhan daripada segala tok-tok guru dan pengawas-pengawas negeri yang bertaqlid buat kepada mereka itu ((tok guru)) ke atas mereka itu ((pemuda-pemuda)) dan apatah lagi kiranya ada pula di antara pemuda-pemuda itu yang berhemah tinggi mengarang atau menerjemah sebarang kitab di dalam ilmu agama yang berlainan sedikit daripada pengajaran mereka itu ((tok guru)) padahal belum tahu benar atau salahnya kitab ini.

Apalagi dengan tidak berlainan dan tidak memanjangkan selidik terpaksa lagi terus pengawas-pengawas agama itu mengkasarkan petua mereka itu pada menegah atau mengharamkan orang daripada membaca kitab yang seumpama itu seolah-olah haram halal itu seperkara yang boleh digilang dengan lidah dan gigi yang dijalankan dengan periuk api hawa nafsu mereka itu sahaja -- nauzu billah!

Dengan keadaan yang demikian, tak hairanlah jika anak-anak muda kita sekarang ini duduk dengan keadaan was-was di dalam perjalanan keugamaan mereka itu dan dengan keadaan yang demikian bagaimana akan dapat mereka itu mengatur langkah kemajuan mereka itu dengan berdasarkan agama mereka itu.

Wahai Tuan-Tuan Guru dan Pengawas-Pengawas Agama kaumku, silalah Tuan-Tuan fikirkan hal ini dengan sehalus-halusnya kerana maha besar dan Tuan-Tuanlah yang akan menjawab ke hadrat Rabbiul Jalil di hari masyhar esok kelak.