Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Jun 1935, p.6

Editorial.

Bagi Mendapati Kemajuan Bukanlah Mudah Sebagai Menyebut atau Menuliskannya.

Tanda yang jelas sekali bahwa sesuatu umat itu belum boleh dikatakan telah melangkah ke pinggir kemajuannya, ialah apabila orang-orang hartawan dan yang terpelajar di antara mereka itu mengambil ukuran ikhtiar kepandaian atau pengetahuannya dengan wang dan pangkat kesenangan bagi diri dan ahli-ahlinya sendiri, tetapi tidak dengan jasa yang mendatangkan faedah kebajikan bagi kaum atau bangsa dan negerinya.

Kita tidak menggalangi akan kebolehan seseorang itu mendapati kemakmuran dan kesenangan hidupnya bersendiri-sendiri dengan kemudahan dan kebiasaannya, akan tetapi yang demikian itu bukanlah syarat bagi kemakmuran dan kesenangan atau kemajuan yang hak bagi kaum bangsanya sama, kerana setidak-tidaknya keuntungan atau kelebihan seseorang itu daripada pergaulan kehidupan di dalam bangsa dan negerinya yang am masih di dalam kemunduran ini tidak dapat tiada menyebabkan kerugian dan kerendahan kepada pihak yang ramai di antara bangsanya sendiri.

Janganlah disangkakan bahwa kebesaran atau kekayaan seseorang itu akan membawa kemuliaan dan kemakmuran sama pada kaumnya umum dengan hakikat yang sebenar, selagi orang itu leka dalam pengaruh kebesaran dan kemewahan kekayaannya, artinya selagi ia tidak redha dengan ikhlas menerjunkan diri memimpin dan menyokong kaum dengan mengorbankan kekuasaan pangkat dan harta bendanya.

Kerana orang yang demikian itu tidak akan dibesar dan dikayakan oleh orang lain melainkan kerana ia dapat menyebabkan kecil dan miskin atau kepicikan bangsanya sendiri!

Memanglah seseorang itu tidak akan mudah mendapati kebesaran dan kekayaan hawa nafsunya melainkan di atas kepala bangsanya sendiri!

Betapakah dia orang-orang kaya dan yang berpelajaran atau ahli-ahli pengetahuan di antara sesuatu umat itu yang boleh dikatakan menunjukkan tanda telah melangkah kepada kemajuannya?

Iaitulah mereka-mereka yang redha dengan ikhlasnya walaupun hidup di dalam kepapaan ataupun kesengsaraan bersama-sama di tengah-tengah umatnya yang terbenam di dalam kepapaan atau kesengsaraan dan pun kejahilannya itu, kerana memimpin dan mempertunjukkan atau membangkitkan mereka itu kepada jalan perusahaan dan tempat kemajuan sebenar, sebagaimana seseorang yang hendak menolong kaumnya bersama-sama daripada mati kelemasan di dalam laut, tidak dapat tiada berkehendaklah ia menerjuni sama ke dalam laut itu.

Seseorang yang beringinan akan memimpin kemajuan kaumnya itu, hendaklah ia tidak memandang hasil atau buah perusahaannya bagi diri sendiri terlebih dahulu. Akan tetapi ia mesti bekerja dan berusaha dengan pengetahuannya bagi mendapati jalan kemajuan bersama-sama itu. Ibarat orang yang hendak berguna, bukanlah buah atau harga kehasilan kebun itu yang hendak dikira atau dikutip terlebih dahulu, akan tetapi modal dan tenagalah yang mesti dikeluarkan untuk menjadikan kebun itu dengan jalan pengetahuan dan penjagaan yang saksama, supaya mudah-mudahan diharapi ia akan menerbitkan hasil dengan membuahnya kemudian hari.

Terutamanya kehasilan yang dirupakan dengan wang ringgit, jauh sekali daripada am umat kita, kerana pokoknya tidak ada kepada kita, iaitu tidak ada punca atau sesuatu perusahaan yang boleh mendatangkan wang itu dengan mesti dan tetap di tangan kita. Kalau pun wang itu datang kepada kita hanyalah ia singgah sebentar sahaja. Kerana sebanyak sedikit perusahaan ataupun mata pencarian yang terpegang di tangan kita itu, hanyalah kerana belas kasihan orang-orang lain belaka, naik turun atau tinggi rendah harganya diatur dan ditetapkan oleh kekuasaan orang lain semata-mata perusahaan kita yang hari ini berharga satu atau dua sen sahaja; kerana kesemuanya itu kuncinya di tangan orang lain dan kita mahu ataupun tak mahu mesti tinggal menerima dan menanggung sahaja.

Sementara itu kesemuanya keperluan kehidupan kita mesti didatangkan oleh tangan lain menurut kehendak dan harga yang mampu dapatlah ia membeli selama masih ada wang yang menyebabkan kemampuannya itu.

Dan mereka yang ketiadaan tinggallah ia dengan kekurangan syarat keperluan kehidupannya, bahkan orang-orang yang mampu itu pun lama-kelamaan akan habis kemampuannya, sehingga jadilah bertambah lama bangsa kita ini bersama-sama bertambah miskin dan daif kehidupannya.

Inilah yang menunjukkan bahwa keadaan wang atau harta benda yang sebanyak sedikit sampai di tangan kita itu hanyalah singkat bagi sementara atau sebentar sahaja, dan ia akan berangkat pergi pada bila-bila masa telah sampai hajatnya sebelum ataupun sudahnya ia dijadikan pusaka bagi sementara jua, tetapi tidak sekali-kali menjadi hak milik bagi kebesaran dan kemuliaan kebangsaan dan tanahair kita dengan perpanjangan masa turun temurunnya. Contoh-contoh akan yang demikian ini sudah terlalu banyak sekali.

Oleh sebab itu, maka sekarang ini kaum kita telah sebenar-benarnya berkehendak kepada kemajuan itu, maka mestilah kita mencari jalan yang sebenar-benar menuju kepadanya.

Iaitu ahli-ahli pengetahuan kita mesti meninggalkan rupa dan gaya atau banyaknya kemajuannya yang lesu-lesu itu tujuan memimpin dan membangunkan kaum bangsanya yang hampir lemas di dalam lembah kemundurannya yang bermaharaja-lela ini, sehingga dapat mereka itu meningkat membilang anak tangga kemajuan dengan kemudahan dan kebiasaan bersama-sama kemudian kelaknya.

Kehasilan yang banyak, pakaian yang hebat, gaji besar, rumah dan kebendaan yang molek-molek yang diperolehi oleh beberapa orang sahaja itu bukanlah ukuran kepandaian yang menunjukkan tanda kemajuan sesuatu umat, akan tetapi jasa yang ikhlas dan redha melanggar kepapaan dan kesengsaraan bersama-sama kaum di dalam umat yang ramai itu ialah mahkota yang terutama sekali telah menhiasi segala tawarikh kemajuan tiap-tiap kaum dan bangsa yang telah maju semenjak zaman dahulu dan sekarang pun.