Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 4 Jun 1935, p.6

General Article.

Semenanjung Tanah Melayu Bagi Melayu?

Oleh Pakcik Abu Bakar.

Sekiranya matahari itu makhluk yang mempunyai pemandangan, pendengaran, dan berakal fikiran seperti keadaan kita manusia, betapakah gerangan fikirannya apabila ia menilik kepada keadaan alam Melayu dan bumi puteranya, tidak dapat tiada nescaya terpegunlah ia dengan takjubnya yang amat sangat.

Apa yang menyebabkan ia terpegun, ianya kerana asyik melihat pada keadaan buminya yang permai lagi subur, terhampar dadanya bagi serba aneka tumbuh-tumbuhan atau tanam-tanaman dan isinya makmur dengan pelbagai khazanah daripada berjenis-jenis logam dan disekelilingnya pula dilingkungi oleh lautan yang maha luas, saujana pemandangan, yang di dalamnya mengandungi berjenis-jenis ikan yang tiada terpemenai banyaknya, yang sekaliannya itu ialah untuk perusahaan manusia, iaitulah tangga kekayaan bagi mendaki gunung kemajuan dan mercu kemuliaan yang setinggi-tingginya yang senantiasa diidami oleh tiap-tiap manusia yang hidup dengan berakal fikiran, berperasaan dan berhemah tinggi.

Tetapi apatah pula yang menakjubkan akan dia? Ialah kerana didapati segala jenis perusahaan daripada serba-serbi keluaran isi buminya adalah di tangan mereka-mereka umat yang bukan bumi puteranya, iaitu dikorek, digali, dikutip, dipapas dan diangkut orang segala kekayaannya, tapi untuk kandungnya, iaitu Melayu waris yang berhak masih leka termenung berdakap lutut dengan terkelit-kelit kelopak mata, melihat segala khazanah isi bumi watannya dibongkar dan diangkut orang setiap hari di hadapan matanya -- seumpama orang yang keputusan asa dan seolah-olah tertutuplah pintu perusahaan itu baginya.

Aduhai! Betapakah hancur lebur pemerhatiannya apabila menatapi hal keadaan umat Melayu hidup di muka bumi tanahairnya, seolah-olah kita sekalian telah berpuas hati dengan kehidupan kita sekarang.