Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 29 May 1935, p.5-6

General Article.

Pemandangan di atas Kemajuan Melayu.

Oleh al-Haji Muhammad Noor.

Sambungan Saudara Bilangan 512.

Sesungguhnya kita berulang kali membaca dan mendengar suara penulis-penulis daripada kaum kita yang bijaksana di halaman suratkhabar-suratkhabar, menyatakan bahwa kaum kita telah melangkah ke hadapan dengan beberapa langkahan yang terpuji tentang mencari kemajuan kaum dan bangsanya.

Tetapi sayang sedikit apakala kita beralih buat mencari bekas langkahan dan bayang kemajuan yang dikononkan itu. Maka sia-sia sahaja kita berpenat-penat lelah hendak melihatnya, pendek kata, jika ada bagi kaum kita Melayu langkahan kepada kemajuan, pada fikiran kita yang demikian itu belum melarat tingkat percakapan dan belum sampai pada amalannya, kerana jika dipanjangkan pemandangan kepada bangsa yang hidup bersama kita di atas bumi Semenanjung ini pun sahaja nescaya terang singkatnya langkahan yang dilangkahi oleh kaum kita, tentang mencapai ketuahan dan kesenangan pada kehidupannya.

Di sini tentulah kita yakin bahwa kemajuan sesuatu umat dan bangsa mana jua pun, tersimpul di atas satu syarat dan satu alasan, dan apakala syarat dan alasan itu ada di sisinya, nescaya majulah umat dan bangsa itu dengan tidak boleh tidak.

Tetapi apakala syarat-syarat itu tiada, maka umat itu mesti akan merasa berbagai-bagai azab sengsara dan kehinaan kerana diperhumbankan dia oleh bangsa-bangsa yang lain.

Yang terlebih maju daripadanya, bagaimana yang dilakukan pada beberapa umat dan bangsa di dalam tarikh manusia daripada beberapa zaman yang berlain-lainan masanya.

Tuan-Tuan Pembaca, marilah kita kepada percakapan kita yang di atas tadi, iaitu kemajuan Melayu.

Dan hendaklah kita mengetahui seluas manakan langkahan kaum kita Melayu yang dimegahkan dan dipermegahkan oleh penulis-penulis suratkhabar-suratkhabar yang bijaksana dan yang diharapi oleh kaum kita akan menjadi umbi kehidupan dan kemuliaan bangsa dan tanahair watannya kita.

Wahai Putera-Putera Semenanjung, marilah kita bandingkan dan timbangkan sejauh dan jaraknya di antara kaum kita dan umat yang bersenang lenang dengan kemakmuran dan kemuliaan kehidupannya; supaya dapat jua kita mengukur beberapa hampirnya pengharapan tentang kemajuan kaum kita daripada hakikat yang sebenarnya. Dan janganlah kita terpedaya lagi daripada kemegahan yang sia-sia. Dan kita telah merasai cukup daripada beberapa kesengsaraan di dalam segala jalan pencarian kehidupan kita yang amat daif sehingga di dalam negeri sendiri keadaan kita teramat lemah; apatah lagi di luar negeri.

Oleh itu, sekarang ini mahulah kita menimbang dengan sehalus-halus akan segala sebab-sebab yang telah menghamburkan kesusahan kesenangan bangsa-bangsa yang hidup bersama-sama kita di dalam negeri kita, kemudian hendaklah menerbitkan segala penyakit-penyakit yang melumurkan kita kepada lembah yang rendah sekali iaitu dengan sekurang-kurangnya mengikut perjalanan yang telah diikuti oleh bangsa-bangsa yang lain-lain sehingga mereka dapat mencapai beberapa darjat ketuahan.

Pada hal negeri ini ialah negeri kita, sepatutnya kaum Melayu itu dahulu daripada bangsa-bangsa yang lain.

Maka sekiranya kita berkehendak panjang dan mengetahui harga satu-satu umat di dalam medan kehidupan hendaknya kita membentangkan perbahasan di atas umat itu; pertama-tama adakah ia mengambil bahagian yang patut di dalam segala perniagaan negeri atau tidak.

Keduanya, adakah ia mengambil bahagian di dalam segala pekerjaan pertukangan atau tidak.

Ketiga, adakah ia mengambil bahagian di dalam pelajaran segala ilmu yang tak boleh tidak bagi segala bangsa yang berkehendak pada kemuliaan atau tidak.

Yang keempat, adakah ia mengambil bahagian di dalam segala pekerjaan tanam-tanaman atau tidak.

Yang kelima, adakah ia mengambil bahagian pada mengeluarkan segala khazanah yang tersimpan di dalam bumi seperti timah dan lain-lainnya.

Yang keenam, adakah ia mengambil bahagian pada ilmu doktor dan kesihatan atau tidak.

Yang ketujuh, adakah ia mengambil bahagian pada ilmu kecermatan dan yang bersangkut dengannya.

Yang kedelapan, adakah ia mengambil bahagian pada meneruskan kemakmuran negeri dan sukat sukatan atau tidak dan lain-lain lagi.

Oleh kerana pekerjaan yang tersebut ini semuanya terkumpul di atas pelajaran ilmu. Maka patut kita membentangkan sekarang ini perkara-perkara yang berkenaan dengan kaum kita daripada pihak ilmu pelajaran, kemudian barulah kita balik berbahas segala perkara-perkara yang lain-lain.

Beberapa sedihnya hati saya mengatakan bahwa kaum kita Melayu pada pihak ini tertinggal di belakang segala bangsa-bangsa yang hidup bersama-sama dengan dia di sini kerana jika seseorang hendak mencari sebuah sekolah yang dibangunkan oleh kita dengan nazam aturan yang dikehendaki bagi tiap-tiap sekolah yang teratur dan memberi natijah yang baik dengan segera; nescaya tidak boleh kita dapati sebuah sekolah pun yang dipunyai oleh anak negeri sendiri, dan memberi pelajaran sebagaimana yang di atas yang mana wajib bagi hidupnya tiap-tiap umat yang berkemajuan.

Dan janganlah Tuan-Tuan Pembaca ingati pula bahwa saya ini hendak membangunkan beberapa buah sekolah yang tiada terdiri di pulau ini atau dan lain-lainnya, yang mana sekolah-sekolah itu semuanya mengajar ugama seperti di Tanjung, Bayan Lepas, Seberang Perai, Perak, Kedah, Selangor, Johor, Singapura, dan lain-lainnya.

Tetapi sekolah-sekolah itu pertamanya khas bagi ilmu ugama sahaja, keduanya sekolah-sekolah itu tidak mempunyai perdirian yang tetap, ketiganya kebanyakan sekolah-sekolah itu dibangunkan oleh orang-orang bangsa asing, keempatnya sekolah-sekolah itu semuanya sekolah permulaan sahaja.