Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 May 1935, p.3

General Article.

Pemandangan di atas Kemajuan Melayu.

Oleh al-Haji Muhammad Noor.

Saya sangat bergirang hati apakala melihatkan angkatan sebuah sekolah ugama di bandar Pulau Pinang ini yang bernama Madrasah al-Hadi al-Diniyyah pada petang Jumaat 17 May yang mana telah sampai ke hadapan rumah Crescent Football Club, Anson Road, lebih kurang pukul 5, kurang 10 minit buat menyambut sebuah Cup Perak yang akan dihadiahkan oleh beberapa orang saudagar-saudagar yang terkenal di antara kaum kita kerana meniliki kelayakannya pada menerima hadiah di dalam masa perarakan Jubilee tempoh hari.

Angkatan ini ialah secara tentera Arab, dengan dikepalai oleh seorang yang menunggang di atas unta diikuti oleh tiga pasukan yang beralat senjata-senjata tombak-tombak pedang dan panah.

Maka seperti kecergasan dan pantas murid-murid dan guru-gurunya pada menjalankan kewajipan masing-masing tak upaya saya tuliskan di sini, kerana Tuan yang berada pada petang itu dan khalayak yang melihat perarakan kaum Islam bagi Duli Yang Maha Mulia Baginda King George Kelima pada 4 May yang lalu telah menyaksikan sendiri apa yang saya katakan di atas tadi; sanya sebagaimana yang termashyur di antara penduduk negeri Melayu ini.

Sekolah ugama al-Hadi ini tersangat muda usianya lagi kerana baru-baru sahaja masuk di dalam peredaran tahun yang keempat.

Dalam pada itu pun telah ia tunjukkan dan membawa beberapa perasaan yang baik bagi sekalian penduduk-penduduk di sini, dan telah ia mendirikan beberapa perhimpunan kebajikan yang menghidupkan berbagai-bagai peringatan masa dan perkara yang amat penting pada pemandangan ugama.

Maka pengurus sekolah ini ialah Tuan Yang Mulia al-Sheikh Abdullah al-Maghribi, yang terkenal ilmunya dan luas pengetahuannya daripada serba-serbi di dalam ilmu ugama Islam yang maha suci.

Tuan itu seorang daripada bangsa Maghribi yang jauh negerinya daripada kita beribu-ribu mil dan Tuan itu telah mengurus di dalam beberapa sekolah-sekolah ugama di sebelah negeri kita sini; mula-mula ia menjadi ketua dan Mudir Sekolah al-Mashoor Darul Salamiah beberapa tahun; dan di dalam masanyalah sekolah itu telah maju dan mengecapai setinggi-tinggi darjat kemuliaan.

Setelah itu, maka telah diangkat akan dia oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak menjadi Mudir Sekolah Arab di Kuala Kangsar yang bernama Madrasah al-Idrisiyyah yang mana begitu jua telah mendapat beberapa kejayaan daripada perusahaan Tuan ini. Berhentinya daripada sekolah Kuala Kangsar, baliklah semula ke Pulau Pinang ini membukakan sekolah Arab al-Hadi dengan permintaan daripada beberapa orang yang gemar memajukan ilmu ugama antara anak-anak watannya, sebagai termaklum di sisi Tuan Pembaca bahwa kejayaan itu tidak dapat tiada diperolehi melainkan daripada yang tahu mengemudikan dia hingga sebagaimana Tuan ketahui; dan dapat kita melihat pada hari ini usahanya Tuan itu telah membawa buah dan menyukakan hati bagi segala orang yang menaruh perasaan buat kemajuan ugama dan bangsanya.

Maka marilah wahai kaum bangsaku yang dikasihi, supaya bersama-sama kita memperhatikan segala pekerjaan sedang berlaku di negeri kita dan dihadapan mata kita, yang mana berkenaan kita juga sama ada daripada pihak ilmu pelajaran atau jalan pencarian dan segala muslihat kehidupan, kemudian hendaklah kita membandingkan segala pekerjaan itu dengan pekerjaan yang seumpamanya jua di sisi bangsa-bangsa asing yang hidup bersama-sama kita di bawah cahaya matahari yang satu dan bumi yang satu.

Tuan-Tuan Pembaca sedia maklum bahwa adalah negeri ini negeri yang berputerakan bangsa Melayu dahulu daripada tiap-tiap bangsa-bangsa asing lain. Maka mengelutnya bangsa kita Melayulah yang di muka sekali, daripada segala bangsa lain-lain yang hanyalah datang ke sini buat berdagang mencari muslihat kehidupannya di atas sebarang apa jua mau pun tentang pelajaran atau di dalam hal kecermatan, perniagaan dan perlumbaan pada segala pekerjaan pertukangan atau lain-lainnya kerana negeri ini ialah tanahair kita.

Maka patut segala muslihat-muslihat pekerjaan-pekerjaan yang tersebut pulang kepada kita juga; tetapi dukacita kerana tali teraju pekerjaan itu semuanya terlepas ke tangan anak-anak bangsa asing dan bermegah-megah dengan kekayaannya dan tinggi pelajarannya mereka itu yang telah menumbuhkan segala kesenangan dan keriaan.

Dan jika kita tilik dan pandang pada segala muslihat kehidupan dan jalan pencarian yang tersebut di atas ini, nescaya kita dapati dengan tak boleh tidak bahwa bangsa kita Melayulah yang ketinggalannya jauh terbelakang daripada segala bangsa-bangsa asing yang hidup di atas bumi Semenanjung ini.

Bersambung.