Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 25 Sep 1935, p.6

Editorial.

Kaum Melayu Dengan Perniagaan.

Perkara yang kita kepalakan rencana kita dengannya hari ini memang telah berulang-ulang kali kita dengar diserukan oleh ahli-ahli akal daripada pemuda-pemuda kaum kita yang berperasaan dan yang telah terbuka kepercayaan mereka itu kepada bahwasanya perusahaan di dalam perniagaan itu mustahak dikehendaki bagi muslihat kemajuan sesuatu kaum di muka bumi ini. Begitu pun kita suka mencuba menambah atau menguatkan buah-buah fikiran yang telah ditaburkan itu dengan menyatakan beberapa perkara yang mustahak dilakukan bagi mendapatkan kejayaan kaum kita di dalam perusahaan ini.

Pada fikiran kita perkara yang pertama sekali yang dikehendaki oleh menyemai ke dalam hati anak-anak kaum kita daripada masa kecil mereka itu akan perasaan atau sangat suka kepada perusahaan itu, artinya dikehendakilah kita ibu bapa atau datuk nenek hari ini berusaha dengan bersungguh-sungguh pada menyemai perasaan itu ke dalam hati atau cucuk cicit kita yang ada hari ini supaya pada keturunan yang ke hadapan kelak tumbuh semaian kita itu dengan subur dan mengeluarkan buahnya bagaimana yang dinantinya itu. Bukan sahaja kewajipan atas yang demikian itu tertanggung kepada ibu bapa sahaja, bahkan kepada guru-guru kanak-kanak itu pun sama.

Bagaimana hendak menyemai perasaan itu?

Jawabnya, mula-mula sekali, hendaklah ditunjukkan kepada anak-anak itu samada dengan pertuturan, perbuatan atau tauladan, akan kebesaran dan kemuliaan gunanya perusahaan berniaga itu kepada kehidupan diri seorang dan pergaulan kaumnya.

Umpamanya, jika didapati oleh ibu bapa itu akan adanya kelakuan anak-anak mereka itu berkecenderungan kepada jalan berniaga, bermain jual beli sama sekawannya, maka hendaklah kelakuan yang demikian itu digalakkan dengan apa jalan jua pun yang boleh dengannya menerbitkan pengertian kepada anak-anak mereka itu bahwa perhatian berjual beli itu bagus dan digemari.

Sebagai lagi, hendaklah umpamanya ibu bapa itu jangan melepaskan sebarang peluang pada membawa anak-anak mereka itu bersama-sama pergi ke tempat-tempat perniagaan ((kedai atau gudang-gudang yang besar-besar)) supaya dengan apa yang dilihatnya oleh anak-anak itu dapat ibu bapa itu memberi pengertian dan menerangkan kepada mereka itu atas kegunaan dan keelokan perusahaan berniaga itu. Tambahan pula, manakala ada didirikan sebarang pertunjukannya perniagaan. Maka hendaklah ibu bapa atau guru itu membawa sendiri anak-anak itu melihat pertunjukan itu dan menerangkan kepada mereka itu dengan sejelas-jelas yang terupaya akan barang-barang perniagaan yang dipertunjukkan itu.

Bagi pihak guru-guru sekolah yang menerima syarahan anak-anak kaum itu bagi pengajaran dan latihan mereka itu, maka lebih-lebih lagi berat tanggungan mereka itu bukan sahaja kepada ibu bapa anak-anak itu, bahkan kepada kaum seumumnya.

Yang demikian terafdallah bagi guru-guru itu senantiasa menggunakan peluang-peluang yang tentu selalu adanya di dalam masa-masa mengajar itu yang boleh digunakan bagi membangkitkan perasaan kegemaran murid-murid mereka itu kepada mencari penghidupan dengan perusahaan berniaga.

Peluang bagaimana yang dikehendaki itu kita percaya senang didapati. Di dalam rencana atau karangan yang hendak diberi kepada murid-murid itu, umpamanya, boleh direkanya berbagai-bagai cerita yang boleh membangkitkan kegemaran hati kepada perusahaan berniaga. Begitu juga umpamanya, boleh guru itu melatih murid-murid mereka itu di dalam ilmu berniaga dengan jalan menganjurkan sedikit modal supaya dengannya dapat diadakan suatu perniagaan yang kecil, umpama berjual pensel, kertas dan lain-lain yang seumpamanya, di dalam kelas masing-masing dengan disuruh dan diajar murid-murid di dalam kelas itu menjaga dan menjalankan perniagaan itu dengan bergilir-giliran. Kita percaya boleh dijalankan latihan ini dengan tidak mengganggu peraturan atau perjalanan yang telah ditetapkan bagi kelas itu.

Demikianlah beberapa banyak lagi adanya jalan-jalan yang lain-lain yang boleh dikuatkan oleh ibu bapa dan guru-guru kanak-kanak itu bagi menanam perasaan gemar kepada berniaga dengan latihan yang demikian jika dijalankan dengan bertekun perlahan-lahan ialah masa kanak-kanak itu masih kecil. Maka tiada syak lagi di masa besar mereka itu kelak tidak lagi berkehendak diseru di dalam suratkhabar-suratkhabar bagi menggerakkan mereka itu pada menjalankan sebarang perniagaan. Bahkan mereka itu sendiri akan menjalankan dia dengan berjaya.

Demikianlah pada fikiran kita perkara yang afdal dan mula-mula sekali dikehendaki dilakukan oleh ibu bapa dan guru-guru kanak-kanak Melayu jika sungguhnya berkehendak kita melihat kaum kita pada keturunan yang ke hadapan berjaya di dalam medan perniagaan.

Mudah kata, bagi menyaksikan kebenaran kata kita di atas ini, cuba Tuan-Tuan Pembaca perhatikan bagaimana perasaan kegemaran anak-anak muda kita zaman sekarang kepada jawatan kerani. Tak salah agaknya jika kita kata bahwa 90 peratus daripada anak-anak muda kita sekarang ini tiada berniat atau berperasaan lain daripada hendak makan gaji jadi kerani, kerana apa?

Kerana mereka itu daripada kecil telah dilatih dan diasuh di rumah dan di sekolah dengan perasaan bahwa jawatan kerani itulah semulia-mulia jawatan bagi penghidupan seseorang di alam Semenanjung ini, yang demikian tak hairanlah keadaan kaum kita bagaimana adanya sekarang ini.