Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 8 Mar 1930, p.4

General Article.

Jika Melayu Hendakkan Maju Hendak Guru-Guru Agama sama Memegang Teraju.

Oleh Abu Munawir Perak.

Menandakan benih perasaan "Kasihkan Bangsa Sayangkan Tanahair" itu telah bertumbuh dengan suburnya di dalam perasaan kaum di zaman ini. Bolehlah diperhatikan dengan melihat keadaan surat-surat khabar dan majalah-majalah yang berterbangan di alam Melayu ini tidaklah khalinya daripada membawa seenak-enak buah tangan yang sahaja untuk disajikan bagi bumiputera yang kasihkan kaumnya supaya mencapai kepada kemajuan, persatuan, perasaan, dan lain-lain.

Tetapi jika kita menoleh ke belakang melihat bangsa kita yang ramai itu, timbullah sedih yang memalu perasaan "cintakan bangsa" itu, kerana tampaknya anak-anak kampung tidaklah mengambil pandangan sedikit pun, hanyalah seperti suatu muzik yang merdu supaya menyedapkan tidur lenyaknya, atau pun yang lebih jauh lagi, katalah seperti benih yang jatuh di atas pasir padang sahaja, bagaimana naik sekalipun, tidaklah akan diharap tumbuhnya.

Jadinya seruan yang berharga itu hanyalah tinggal di kertas akhbar itu sahaja, yang tidak lama akan habis dimakan oleh gigit atau anai-anai.

Jangkanya tidaklah menjadikan salah jika saya berkata tentulah sama-sama kita telah mengetahui, adalah racun yang membunuh benih kemajuan itu telah mesra benar jadinya di dalam perasaan bangsa Melayu yang sangat susah hendak dibuang, melainkan hendaklah dengan pertolongan guru-guru agama ataupun dengan menghabiskan masa yang panjang.

Di sini saya mengeluarkan suara sebagai suara kebangsaan yang kasihkan tanahair; wahai Tuan-Tuan guru agama yang mana mengajar merata-rata kampung dan pondok-pondok, marilah kita bekerja sama-sama memajukan tanahair yang dikasihi ini, "janganlah dinantikan datang masa kecelakaan!" ((hendak menanam jenazah pun kena menumpang ke tanah bangsa asing!)).

Tentulah pendita-pendita Tuan yang telah hampir serak suaranya bersuara dan kakitangannya menulis kerana menyuruhkan "Melayu Maju -- Bersatu dan Berusaha!". Kikiskanlah segala karut-karut yang telah bersarang di hati bangsa Tuan yang "beradu untung dan bersuruh kepada nasib secupak tak akan dapat segantang itu"!

Humbankanlah segala kepercayaan mengatakan "dunia ini syurga si-kafir" dan hapuskanlah tuduhan palsu yang mengatakan "siapa suka kemajuan, rakyat syaitan, kaum salah, kaum muda!".

Berusahalah Tuan-Tuan mendamaikan faham di Madrasah atau di Pondok-Pondok itu supaya sesuai dengan penuntut-penuntut di zaman kemajuan ini, selagi mereka itu kasih dan sayang kepada Tuan-Tuan.

Saya percaya dengan segenap kepercayaan jika Tuan-Tuan Guru agama yang di kampung-kampung itu suka bekerja bersama-sama dengan Tuan-Tuan Pendita Melayu yang telah membuka jalan kemajuan itu, Inshallah dengan masa yang sedikit sahaja tentulah kita melihat bagaimana kemegahan bangsa kita kelak; tetapi sebaliknya jika seorang membawa ke Timur dan seorang menarik ke Barat, akhirnya Melayu ..... tinggal nama atau pun boleh jadi hilang sekali di atas sebutan bangsa di muka bumi ini. Perhatikanlah jika mau perhati!