Saudara extract
bibliographical notes on Saudara
index of Saudara extracts
    • locate in index of extracts taken from Saudara

 

Saudara, 2 May 1931, p.7

Surat Kiriman.

Anak-anak Melayu Dihargakan.

Di dalam suratkhabar ini ((Saudara)) yang bertarikh pada 2.5.1931 ada tersebut "Bakal Melayu Menggantikan Kerani-Kerani Bangsa Asing". Aduh!

Amatlah suka dan ria di hati kami anak Melayu mendengarkannya, bak kata bidalan "seperti kejatuhan bulan rasanya", serta kami ucapkan beribu-ribu terima kasih kepada kerajaan yang maha adil di atas timbangrasanya kepada hamba rakyatnya Melayu.

Ayuh kaumku Melayu jangan lalai lagi, silalah pinta kerja yang telah diberi notis oleh kerajaan di dalam Pejabat Keretapi yang tersebut, supaya lepas kita daripada kebuluran yang sedang bermaharajalela di Tanah Melayu ini.

Akan tetapi, dukacita pula rasanya sebab adalah yang kelak kosong itu hanyalah 40 orang sahaja lebih kurang. Padahal anak-anak Melayu yang lulus Darjah V, VI, dan VII di dalam Bahasa Inggeris yang telah kena buang daripada sekolah pada tahun 1929 sampai akhir 1930 baru ini hampir-hampir bilangan ribu di dalam negeri Melayu ((lebih umurnya)). Betapa tidak! Cuba lihat baru ini satu kerja "Asst. Mining Overseer" ((Mata-Mata Air)) kosong di Batu Gajah Perak, 110 pemuda-pemuda Melayu yang lulus Darjah V, VI, VII dan VIII datang berjumpa "Interview" Tuan Warder ((Warder of Mines)) memohonkan kerja yang tersebut alang dukacita kita memandangnya.

Dari sebab itu diharap kepada kerajaan yang maha adil memanjangkan pandangannya dan beri notis kepada Pejabat Raya ((PWD)) seperti kerja "Road Overseer" dan "Storekeeper" dan "District Survey" yang hampir-hampir dipenuhi oleh kaum Jaffna sahaja -- dan Pejabat Sanitary Board seperti "Market Keeper" dan "Town Overseer" dan "Water Fitter" yang dipenuhi oleh kaum-kaum Indian dan Borsian* juga -- dan Pejabat Post Office seperti "Telephone Operator" dan "Telegraph Inspector" dan kerani di dalam Post pun ((tidak darjah tujuh sahaja)) Pejabat ini pun hampir-hampir dipenuhi oleh kaum Jaffna juga -- dan di dalam Pejabat Hospital seperti kerja "Dresser" dan "Storekeeper" , "Vaccinator", dan di dalam Pejabat Pembunuh Nyamuk ((Mosquito Destruction Board)) seperti Inspector Nyamuk dan kerani-keraninya.

Begitu juga mahu dikuatkan undang-undang di dalam G.O. yang mengatakan anak Melayu tidak boleh dibuang kerja; kalau bodoh diajar dan dipimpin sampai ke tempat yang dimaksud. Dan kerja-kerja yang tersebut di atas mahulah tentu bagi anak-anak Melayu yang pas Darjah VII ke bawah sahaja menurut syarat pengetahuan masing-masing, kerana apa penulis berkata begitu?

Ialah jika sekiranya kita anak-anak Melayu berpergi kepada negeri India, Ceylon, atau Cina adakah dapat Melayu minta kerja di negeri yang tersebut? Jauh panggang daripada api!

Tetapi mereka itu ((Jaffna India Cina)) cukup makmur di Tanah Melayu ini. Kerja dapat, tanah dapat, jadi harta, beristerikan ibu-ibu Melayu dapat semua dapat dan dan ... di manakah bumi Allah yang begitu punya kesenangan bagi bangsa-bangsa lain?

Aduh!

Hancur luluh rasanya hati jika dikenang-kenang! Bacalah kitab bernama "Iktikad Kemanusiaan" yang dikarang oleh Yang Mulia Doktor Hamzah LMS, penambah pengetahuan di atas Melayu-Melayu yang kelak akan jadi.

Dan lagi, pula adalah kerja yang tersebut di atas ini penulis-penulis cukup siasat periksa baik-baik semuanya yang bekerja di situ Cuma dengan pengetahuan lulus Darjah V atau VI atau VII sahaja di dalam sekolah Barat.

Akan tetapi bila-bila anak Melayu yang lulus Darjah VI atau VII memintanya kerap kalilah dapat jawabnya "Regret, no vacancy".

Ya tidak hairan kalau kaum Jaffna atau India memintanya jaranglah tidak dapat. Kerana ketua-ketua di dalam tiap-tiap Pejabat itu bukannya orang lain iaitu kaum Jaffna yang masyhur pandai putar belit bukannya pandai mencuri mata peon yang tegak sahaja dan meniru report-report anaknya. Seperti tersebut di dalam akhbar "Saudara" baru ini. Tetapi jawatan yang kosong di dalam kerajaan pun diperniagakannya dan diputar belitnya, "kasi polos* kasi lulus". Di manakah Melayu dapat peluang, Melayu miskin!

Yang penulis sendiri telah dua kali bekerja di dalam pejabat yang dipenuhi dan diketuai oleh Jaffna dengan beberapa menanggung azab dan sengsara akhirnya itupun kena buang juga kerana hendak diberi kepada kaumnya Jaffna ataupun hendak dijualnya tempat yang kosong itu. Padahal, penulis Melayu jati di dalam hukuman kerajaan Melayu tidak boleh kena buang.

Hal putar-belit kaum Jaffna ke atas anak-anak Melayu kelak penulis tuliskan lain kali. Jika sekiranya dikehendaki pembaca-pembaca yang budiman.

Akhirul-kalam, berdoalah penulis-penulis mudah-mudahan terbacalah hal ini kepada Yang Mulia Undang Rembau, Datuk Abdullah, Penaung dan Penyelia Melayu-Melayu, mudah-mudahan dengan berkat tinggi tuahnya, datanglah Melayu-Melayu memenuhi kerja-kerja yang tersebut di atas dan terlepaslah Melayu-Melayu yang sedang setengahnya sudah dua tiga hari tidak berasap dapurnya, kerana getah dan bijih tidak ada harapan lagi pada masa ini, hanyalah kepada kerajaan ampunya jawatan sahaja.

Penyatur Buat-buat Melayu.