Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 11 Apr 1934, p.10

Editorial.

Kejayaan di dalam Perusahaan.

Tiada menjalan seorang akan sebarang perusahaan melainkan berharap ia memperoleh kejayaan di dalamnya bila didapati oleh yang berharap itu yang perusahaannya itu tidak berjaya, maka teruslah disalahkannya perusahaan yang dibuatnya itu jarang yang mahu menyalahkan dirinya sendiri. Pendeknya, berartilah perbuatannya itu bagaimana kata pepatah, tak tahu menari katakan Tanah tinggi rendah.

Kejayaan di dalam sebarang perusahaan hanya boleh didapati apakala dijalankan perusahaan itu dengan menurut segala peraturan-peraturan dan faedah yang tertentu baginya dan dengan bertekun bersungguh-sungguh pada menjalankannya.

Betapa dapat seseorang itu akan kejayaan di dalam sebarang perusahaan jika menjalan ia akan perusahaan itu dengan perasaan seperti perasaan orang membeli tiket loteri -- ada nasib untung tak ada nasib rugi.

Cuba kita berjalan di kebun-kebun sayur Cina di darat-darat itu umpamanya lihat bagaimana elok dan suburnya tanam-tanamannya kemudian kita alih pula pandang kepada tubuh badan Cina kebun itu, bagaimana banyak peluh yang mercik keluar daripada lubang-lubang kulit badannya dan bagaimana nampaknya daging lengan dada dan pahanya naik berketul-ketul.

Jika memandang kita akan keadaan-keadaan itu hanya dengan mata kepala kita sahaja tidak dengan mata akal kita, maka tiadalah kelihatan kepada kita lain daripada sifat-sifat yang zahir pada mata kita itu sahaja, tetapi jika memperhati kita akan keadaan-keadaan itu dengan mata akal kita, maka pada ketika itu dapatlah kita mengetahui bahwa keelokan dan kesuburan tanam-tanaman sayur Cina itu. Artinya kejayaan perusahaan Cina itu dibelinya dengan harga peluh yang memancut daripada badannya itu. Begitulah umpama pada sebarang perusahaan yang lain.

Kemudian cuba kita tanya pula Cina itu mengapa badannya berpeluh dan daging badannya naik berketul-ketul. nescaya dijawabnya dengan bermegah-megah katanya, kerana dia menjalankan peraturan-peraturan dan faedah yang dikehendaki bagi menanam menghidup dan menyuburkan sayur-sayurnya itu, artinya menjayakan perusahaannya.

Dari kebun Cina itu cuba kita berjalan pula ke kampung-kampung Melayu di darat itu, boleh juga kita dapati kebun-kebun sayur orang kita yang di belakang-belakang atau di rusuk-rusuk rumah mereka itu, tetapi keadaan tanam-tanaman sayur yang kita lihat itu jauh sekali daripada jenis yang boleh membangkitkan kegemaran hati kita, mengapa begitu?

Jawabnya kita boleh dapati dengan pemerhatian kita atas tuan punya kebun itu. Jarang-Jarang kita boleh nampak badannya berpeluh kerapkali kita boleh dapati dia duduk diserambinya, memetik gambus atau membaca Hikayat Bustamam atau berselimut dengan gebar atau kain coketnya. Jika ditanya kepadanya mengapa tanam-tanaman sayurnya itu tak subur, dijawabnya dengan perasaan malu-malu, "Ah! Tak apa! Saya sengaja bertanam untuk buat makan sendiri sahaja. Saya bukan ahli kebun sayur dan dan ....". Pendeknya di dalam hatinya tersemat perasaan malu hendak mengatakan dirinya itu ahli menyangkul atau berkebun kerana pada sangkanya perusahaan dengan memegang batang cangkul itu hina. Demikianlah perbezaan yang selalu kita boleh dapati di antara kaum Cina dan kaum kita Melayu di dalam beberapa perusahaan yang menerbitkan peluh. Cina bermegah, kita malu.

Dengan yang demikian, tidaklah hairan dan tidak pula boleh disalahkan kerana orang Cina berjaya membongkar kekayaan bumi kita memasukkan ke dalam kantungnya.

Kemudian, cuba kita lihat pula perusahaan di dalam pertukangan kayu. Cina juga yang berkejayaan di dalamnya. Pada halnya bangsa kita Melayu dahulu cukup ternama di dalam pertukangan kayu hingga hari ini masih boleh kita saksikan kebenarannya dengan adanya beberapa tukang-tukang kayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang buah tangan mereka itu daripada jenis yang menghairankan sepandai-pandai tukang Cina yang ada di sini.

Tetapi, kepandaian mereka itu semuanya mendak oleh sebab tiada mahu mereka itu bersungguh-sungguh berusaha dengan tekun mengkal dan menghebahkan pertukangan tangan mereka itu nampak pada biasanya mereka itu bekerja membuat barang-barang dengan niat hanya untuk mencukupkan makan mereka itu, serta ahli-ahli rumah tangga masing-masing sahaja.

Demikianlah keadaan kebanyakan daripada ahli-ahli perusahaan kaum kita, tetapi adakah semua bebanan kesalahan itu terletak di atas bahu ahli-ahli perusahaan kita itu sahaja tidak semua! Setengah daripada bebanan itu kembali kepada ahli-ahli pelajaran dan perasaan negeri mereka itu iaitu mereka yang dipandang sebagai menganjur-anjur negeri itu. Kiranya mereka itu mengurangkan sedikit cakap-cakap angin-angin di dalam siasat negeri atau agama dan melebihkan sedikit ikhtiar dan perbuatan mereka itu pada membangkitkan perasaan ahli-ahli perusahaan di dalam negeri masing-masing pada memulia dan memperhargakan sebarang perusahaan yang menerbitkan titik peluh itu dan menjalankan sebarang pergerakan yang boleh dengannya jasa-jasa perusahaan saudara-saudara mereka itu dimaju dan dihebahkan.

Maka tentulah lama kelamaan dapat ahli-ahli perusahaan kaum kita merasa nikmat kejayaan di dalam perusahaan mereka itu yang dengannya kelak mengalakkan mereka itu pada mencuba berlumba-lumba di dalam medan perusahaan Tanah air masing-masing dan barangsiapa yang menyebabkan pada yang demikian itulah sebenar-benar penganjur yang layak menerima kepujian kaumnya.