Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 2 Apr 1934, p.5

Surat Kiriman.

Pertanda.

Kepada Pengarang Warta Malaya,

Tuan,

Sebutan di atas ini biasanya telah diketahui oleh orang-orang Melayu yang bermaksud perkataan itu Tok Pertanda, Tukang Pancung, Tukang Bunuh yang selalu didengar oleh tiap-tiap orang Melayu daripada cerita-cerita zaman dahulu daripada datuk-datuk nenek-nenek kita yang digunakan oleh raja-raja zaman itu atas kegunaan membunuh orang-orang yang telah membuat salah bagi balasannya.

Maka oleh zaman ini dikatakan yang dijalankan mengikutlah peredaran masa sebaliknya bagi membunuh atas seseorang itu masa ini dengan digantung. Oleh itu, siapa yang telah diperintah oleh kerajaan bagi menjalankan balasan itu ditukar daripada nama Pertanda atau lainnya itu dengan nama Tukang Gantung.

Manakala saya terbaca satu makalah dalam Warta Malaya bilangan 16 tarikh 13 March 1934 yang berkepalakan oleh Anak Kelantan di pertengahan rencananya itu tersebut, seperti meminjamkan tukang gantung yang disebut oleh penulis di dalam Warta Malaya Malaya bertarikh 21 Februari itu ((yang tak dapat difaham apa maksudnya oleh penulis itu, menyiarkan begitu, Tuhanlah yang tahu -- padahal bukannya mustahak dan tidak lazim dipanjangkan cerita sesiapa-sesiapa yang menggantung dan ...)) kita berharap saudara-saudara dan kenalan-kenalan kita di Terengganu jangan mengambil salah faham di atas tulisan kita ini kerana kita hanyalah hendak menyebutkan kepada penulis itu dan siapa-siapa yang harus tersalah faham dengan sedikit isyarat di dalam tulisannya itu.

Saya memberi faham atas maksud yang disiarkan itu ialah bagi ingatan kepada pembaca dan mengesahkan atas cerita-cerita zaman dahulu itu betul yang menunjukkan ada bakinya lagi masa ini daripada Pertanda itu, tetapi ditukar dengan lain gerangannya dan menunjukkan yang orang-orang Melayu itu ada berhati juga memegang jawatan itu.

Dan lagi, katanya penulis itu harus tersalah faham, fikiran saya tersalah faham itu, bermaknalah salah sangka. Maka apa-apa yang saya siarkan itu bukanlah dengan sangka-sangka sahaja melainkan kejadian itu ialah dengan sebenarnya kiranya tidak begitu haruslah segala sangka-sangka Encik Anak Kelantan itu telah tersalah sebaliknya terlangsung berkata-kata dalam tulisannya itu.

Saya tak guna menuliskan panjang lagi melainkan memadailah sangka* ini bagi memperolehi faham kepada apa yang telah terbuku di hati Anak Kelantan itu yang diiringi dengan banyak menerima kasih kepada Pengarang W.M. kerana ruangannya adanya.

Penulis Khas bagi Warta Malaya di dalam Terengganu.