Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 23 Apr 1934, p.8

Editorial.

Perusahaan di Kampung.

Di dalam sedikit tahun yang lepas hingga masa ini disebabkan oleh kepicikan pencarian berhidup yang telah menimpa dengan keadaannya yang berat itu, maka nampaknya telah terbuka mata hati kaum kita Melayu pada mengelolakan beberapa perusahaan di kampung yang kelak akan bertemu dengan baik kesudahannya.

Manakala telah bertekun dan yakin mereka itu akan balasan dan faedah daripada perusahaannya itu dan yang belum menjawab itu hendaklah bersegera mulai menjalankan apa jua jenis perusahaan yang ada mereka itu berkelayakan di dalamnya janganlah berlengah lagi dan menunggu-nunggukan masa yang lebih baik, pekan-pekan mingguan telah diadakan di dalam beberapa buah daerah dan diharap akan bertambah banyak bilangannya lagi daripada yang ada dan berkekalan dan manakala telah kekal dan semakin ramai dan maju pekan-pekan mingguan itu, walaupun dengan keadaan beransur perlahan-perlahan dari sehari ke sehari, tak dapat tiada, demikianlah juga akan bertambah luas pandangan dan faham orang-orang Melayu dalam muslihat berjual beli dan dalam ilmu perniagaan sekalipun pada masa ini belum banyak lagi pekan-pekan mingguan itu berkeadaan tetap atas perdiriannya.

Syahdan, berkenaan dengan susah payah dan beberapa halangan yang lazim akan dijumpai di dalam tiap-tiap satu perusahaan itu hendaklah jangan sekali dijadikan satu tembok sekatan yang membawa kepada tawar hati dan memberhentikan perusahaan itu bahkan hendaklah lebih-lebih lagi dijalankan dia upaya dan ikhtiar bagi menjayakannya.

Maka akan ternyatalah kepada siapa-siapa juga yang hendak menerangkan dalam hal itu bahwa tidak ada satu perkara atau perniagaan yang menjadi sehabis-habis besar pada hari ini melainkan telah dimulakannya dengan kecil dan menempuh beberapa perkara yang susah-susah dan payah.

Sebarang jenis buah-buahan yang keluar daripada Tanah Melayu sangatlah berguna dan menjadikan satu perniagaan yang bukan sahaja akan membuka pintu kepada jalan-jalan yang mengadakan dan menambahkan banyak lagi pasar-pasar mingguan tetapi akan membawa juga kepada jalan-jalan dihantar ke negeri asing yang tatakala itu akan bermakna satu perniagaan besar ada di dalam tangan orang-orang Melayu kerana tiadalah akan memadai perusahaan di kampung itu dengan dihadkan di dalam kampung sahaja, sebab kemajuan dan kejayaan yang besar sekali ialah bergantung dengan besar dan luas tiap-tiap satu perusahaan itu.

Hatta, dengan peredaran masa yang membawa kesedaran ini, moga-moga tetap dan yakinlah hati orang-orang kampung yang sedang berusaha di dalam berbagai-bagai perusahaan yang disemulakan itu dengan berpandukan sabar dan rajin dan mencuba membesarkannya dengan menaruh harapan yang baik bahwa apa jua jenis perusahaan manakala telah dijaga dan diusahakan dengan betul tak dapat tiada akan didapati sedikit sebanyak akan kebaikan dan faedahnya.