Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 17 Apr 1934, p.8

Editorial.

Selamat Tahun 1353.

Alhamdulillah, itulah yang kita semua patut ucapkan kehadrat Tuhan yang maha mengasihani yang telah menyelamatkan kita di dalam peredaran hayat kita di sepanjang tahun 1353, hingga dapat kita mara lagi setapak ke hadapan masuk ke dalam lingkungan peredaran tahun 1353, lebih-lebih lagi patut kita syukur kerana tahun 1353 ini, dikurnia tahun datang membawa bersama-samanya sebenarnya cahaya kemakmuran hidup yang selama beberapa tahun dahulu telah diselaputi oleh awan kepicikan kehidupan yang kita gelar dengan nama Musim Meleset ini.

Tetapi kita suka memberi sedikit nasihat kepada kaum kita di dalam hal ini; iaitu janganlah kita terlalu sukacita dengan kedatangan tahun baru yang membawa cahaya pengharapan yang kita citakan selama ini hingga boleh menyebabkan kita lupakan tahun lama yang telah meninggalkan kita itu.

Hendaklah kita selalu ingat akan dia, ertinya dengan ingat akan tahun yang lalu itu, dikehendaki bukan ingat akan haribulan atau harinya, tetapi ialah ingat akan segala perbuatan kita yang kita telah lakukan di dalam tahun itu sama ada baik atau jahatnya dan digunakan ingatan kita atas yang demikian itu jadi panduan hidup kita di dalam tahun baru ini.

Jika kembali di dalam tahun ini kemakmuran yang dicitai itu dengan sepenuhnya janganlah kita lupa akan kepicikan yang kita telah rasa di dalam tahun-tahun yang telah lalu itu kerana kepicikan yang kita rasa itu ada di dalamnya hikmat yang sangat-sangat bergunanya bagi jadi penyuluh jalan kehidupan kita di dalam tahun baru ini. Satu daripada hikmat yang besar yang kita telah pelajari di dalam kepicikan tahun-tahun yang lepas itu ialah tahu memperhargakan wang. Ertinya, berjimat-cermat pada memperbelanjakan wang. Tidakkah pengetahuan yang demikian, jika kita amalkan di dalam kehidupan kita pada tahun-tahun yang makmur kelak besar faedahnya kepada kita?

Sebaliknya, jika kita biarkan kemakmuran tahun baru ini melupakan pengetahuan dan menerbitkan amalan kita bagaimana yang telah kita dapati dan jalankan di masa tahun yang lepas itu. Bolehkah selamat wang ringgit dan harta beza kita walau bagaimana banyaknya sekali pun kita cari di dalam tahun baru yang makmur ini?

Oleh sebab yang demikian inilah, maka dikehendaki kita di dalam masa kehidupan kita di dalam tahun baru ini selalu berpaling ke belakang ke dalam masa-masa tahun yang lama itu bagi mencari peringatan atas sebarang perbuatan atau kelakuan kita yang boleh dengannya mengetahui kita baik atau tidak bagi muslihat penghidupan kota* perbuatan atau kelakuan itu kita ulang jalankan di dalam tahun baru ini.

Sebagailagi, kita suka memperingatkan saudara-saudara kita bahwa keadaan tahun-tahun itu dijadikan Tuhan semuanya serupa, tiada di antaranya suatu apa perbezaan pun. Semuanya serupa baik belaka. Bukan bagaimana banyak orang berkata: tahun ini bagus tahun itu tak bagus. Tidak bagus tak bagus itu semata-mata bagus tak bagus!

Keadaan manusia yang di dalamnya bukan keadaan tahun itu dan keadaan bagus tak bagus manusia itu bukan sekali tahun itu yang membuat atau menjadikannya. Tetapi, manusia sendiri yang menyebabkannya keadaan kejatuhan dan kenaikan harga getah itu, umpamanya bukan tahun tetapi ahli-ahli perkebunan dan perniagaan yang menyebabkannya.

Jadi, bagi kita sangat mustahak ingat bahwa kemajuan dan kemunduran kita di dalam kehidupan kita di tahun ini atau dapat-dapat tahun pun tidak bergantung melainkan kepada perbuatan dan perusahaan kita sendiri. Dan sebaik-baik panduan bagi kemajuan kita di tahun ini ialah pengetahuan kita di dalam kemunduran kita di tahun yang sudah,.

Yang demikian, di sepanjang masa kita berada di dalam tahun baru ini, maka hendaklah selalu kita berpaling ke belakang menyelidik benar salahnya segala perbuatan dan perusahaan yang kita lakukan dalam tahun-tahun yang lepas dan mengambil ikhtibar daripadanya kerana perbuatan dan perusahaan kita di dalam tahun baru ini.

Kita ucapkan Selamat Tahun Baru kepada sekalian pembaca-pembaca kita, khasnya dan kaum Islam amnya.