Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 30 Dec 1931, p.8

Editorial.

Budak Melayu yang tiada lulus di Sekolah-Sekolah Inggeris.

Sedikit hari dahulu kita telah memuatkan surat-surat kiriman berkenaan dengan budak-budak Melayu yang tiada lulus di dalam peperiksaan di sekolah-sekolah Inggeris, konon dituduhkan dengan sebab guru-guru bangsa asing itu telah sengaja melebihkan budak-budak bangsa asing seperti Cina dan India daripada budak-budak Melayu.

Adapun menjadikan susah hati kepada kita mendengar iaitu boleh ada tuduhan-tuduhan yang semacam itu dan kiranya ada benar bagaimana sungutan-sungutan itu, terutama yang terbit dari Johor, maka patut benar pihak pejabat pelajaran itu menjalankan siasat darihal itu.

Sungguhpun kita sendiri tiada berdamping dengan guru-guru di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu, akan tetapi dari beberapa tahun dahulu, belum pernah kita ada mendengar tuduhan seperti yang di atas itu dan kita sendiri kusar benar hendak mempercayai iaitu tiada kelulusan budak-budak Melayu di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu telah disebabkan kerana guru-guru itu melebihkan budak-budak bangsa asing.

Kiranya ada pembaca-pembaca yang boleh memberi secukup-cukup keterangan bagi mengesahkan tuduhan itu, maka kita ada sedia berutus kepada pihak pejabat pelajaran serta menggunakan kuat-kuasa kita pada mendapatkan kehapusan perbuatan yang tertentu sekali tiada patut diperbuat kiranya benar sedemikian itu.

Syahdan, fikiran kita sendiri berkenaan dengan perkara itu ialah iaitu tiada kelulusan Melayu di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu ialah bukannya kerana guru-guru bangsa asing tiada cukup memberi ajaran atau ada berkehendak melebihkan budak-budak bangsa asing itu.

Hal itu mestilah ditarik lebih ke dalam lagi dan sungutan dari orang-orang Melayu itu ada sangatlah menguatkan fikiran serta mengesahkan sangkaan kita dari dahulu iaitu galangan yang kuat sekali di atas kemajuan budak-budak Melayu di dalam sekolah-sekolah Inggeris itu ialah disebabkan mereka telah dipindahkan ke situ setelah menghabiskan empat tahun yang mustahak di dalam sekolah-sekolah Melayu disertakan pula dengan sebab jarang benar ada budak-budak Melayu yang suka menghubungkan pelajaran di sekolah itu di rumahnya pula.

Galangan empat tahun di dalam sekolah-sekolah Melayu itu telah menjadikan mereka terkebelakang apabila berbandingan dengan budak-budak yang terus ke sekolah Inggeris dari kecilnya dan sebagaimana pun pandai guru-guru itu, maka tentulah sekali tidak boleh budak-budak Melayu itu menyamai budak-budak bangsa asing itu, dikecualikan sedikit sahaja yang berakal lebih daripada yang biasa.

Setelah ditimbangkan dengan halus dan difikirkan dengan baik, maka kita masih enggan hendak mempercayai iaitu budak-budak Melayu telah tiada lulus dengan sebab guru-gurunya melebihkan budak-budak bangsa asing itu.

Selagi pihak yang menguasakan pelajaran anak-anak Melayu tidak menghapuskan galangan memaksa budak-budak Melayu menghabiskan masa empat tahun di dalam sekolah-sekolah Melayu dan kemudian barulah boleh masuk ke sekolah-sekolah Inggeris.

Maka demikianlah lamanya kita akan mendengar dan menerima sungutan-sungutan daripada orang-orang Melayu berkenaan dengan kebelakangan dan ketinggalan anak-anak Melayu itu di dalam pelajaran sekolah Inggeris adanya.