Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 9 Dec 1931, p.6

Surat Kiriman.

Bahasa Sendiri.

Kepada Pengarang Warta Malaya,

Tuan,

Diharaplah kiranya Tuan menyelitkan karangan saya ini jika ada kelapangan di halaman W.M. yang Tuan keluarkan itu dengan beberapa banyak saya menerima kasih.

Tuan apabila saya terbaca W.M. yang bertarikh 3 December pada muka 8 bagaimana fikiran yang terlintas di dalam cahaya akal Tuan Pengarang itu yang menyeru sekaliannya dengan ikhlas kepada kaum Muslimin apatah lagi bangsa.

Iaitu ialah seruan yang sangat-sangat memberi faedah besar kerana sememangnya surat-surat khabar inilah yang boleh meluaskan kepala-kepala siapa yang membacanya dan juga surat-surat khabar itu ada mengandungi di dalamnya bermacam-macam ilmu daripadanya dapatlah kita mengetahui kemajuan satu-satu bangsa atau kaum-kaum yang telah lalu dan pada masa sekarang ini.

Dan juga surat-surat khabar itu sangatlah besar manfaatnya dan daripadanya juga dapatlah puncanya ikhtiar, teladan, dan penyangga diri daripada segala keaniayaan dan mendatangkan beberapa keadilan daripada segala perkara-perkara yang memberi guna besar bagi segala manusia yang diisi muka bumi ini dan begitu juga buku-buku karangan sekiranya diadakan buku-buku yang bagus dengan cara bahasa Melayu kita sebelah sini yang dicapkan dengan huruf-huruf kita sendiri seperti ilmu doctor, engineer, lawyer, tanam-tanaman, pertukangan dan sebagainya; dijual dengan harga yang sekadar sahaja kepada bangsa atau diadakan pula sekolahnya serta didatangkan guru-guru yang bijak semuanya cara bahasa sendiri Melayu, tentulah kita orang Melayu dapatlah belajarnya dengan tidak menghilangkan wang banyak dan tidak menghilangkan umur banyak oleh sebab-sebab apa?

Oleh sebab bahasa itu sememang bahasa kita sendiri yang tidak berkehendakan lulus bahasa lain barulah boleh belajar ilmu-ilmu yang tersebut itu, dan jadilah pula bahasa kita Melayu itu bahasa yang dikehendaki dan tinggilah mutunya apatah lagi bangsanya, kerana bahwasanya bahasa itulah yang menghidupkan bangsa.

Bagaimanakah tidak? Lihatlah German, bangsa yang hidup dihadapan mata kita ini.

Sampai di sini mencukupilah sahaja dengan berharapkan maaf daripada tuan-tuan pembaca kiranya ada apa-apa kesalahan atau khilaf terutamanya daripada Tuan Pengarang kerana ruangannya. Wasalam.

Oleh M.K.A ((Johor)).