Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 23 Feb 1934, p.8

Editorial.

Faedah Am.

Alam manusia itu semuanya sekali seperti sebatang tubuh dan anggota-anggotanya ialah umat-umat dan kesihatan tubuh itu ialah mendapat pertunjukan dan panduan dan penyakitnya itu ialah kebebaran dan kesanan dan ubatnya itu ialah nasihat, pimpinan dan panduan.

Maka oleh kerana itu, apabila ahli am dan hak berkuasa tidak menyuruh berbuat baik dan tidak melarang daripada kejahatan nescaya rugilah mereka dalam bahagian-bahagian dunia dan akhirat.

Adapun alam dan dunia kita Melayu, iaitu kita telah mengetahui dengan nyata iaitu sebatang tubuh yang sedang menghidupkan penyakit dan kurang benar hubat kelatnya daripada nasihat peringatan oleh pihak yang berilmu. Kerana umat kita Melayu ini sebanyak ajaran nasihat dan panduan yang diberi dan dihadapkan kepada mereka sungguhpun ada, tetapi tidak memadai. Bahkan jauh benar kurangnya dan tampaknya umat kita Melayu selaku sangat tahan menanggung sakit dan tidak hiraukan dirinya sakit dan sangat kuat mencari jalan berpecah belah dan berasing-asing masing-masing diri dan pihak membawa untuk dan nasibnya sendiri dengan tiada hiraukan apa jadi pihak yang lain.

Pada hal semuanya itu seperti sebatang tubuh yang apabila sakit salah satu anggotanya maka lain-lain anggota bersama-sama berasa sakit dan lemah.

Yang demikian, tak dapat tiada dikehendaki tiap-tiap dan sekalian ahli alam kita orang-orang Islam amnya dan orang-orang Melayu khasnya yang kita keluar dan pergi serata-rata tempat kampung daerah jajahan dan negeri menyeru kepada kebajikan kebaktian dan menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dengan seberapa daya upaya dan dengan sehabis-habis pandai dan halus meletak kata dan ajar nasihat dengan berhingga dan bertimbang mengikut gerak masa tempat dan umat sekira-kira diterima dan laku dengan sangat-sangat dihargakan.

Kerana kerap kali nasihat pengajaran dan peringatan yang baik itu menjadi kemarahan orang salah letak dan atur daripada orang yang memberi nasihat seperti memberi nasihat dengan tiada berjangka dan keras kasar.

Sekira-kira menyakinkan hati orang yang diberi nasihat dari itu hilang memberi manfaat timbul memberi mudarat dan bertokok-tokok rosak dan keji.

Sungguhpun termaklum menyeru kepada kebajikan menyuruh berbuat baik dan melarang daripada berbuat kejahatan itu, wajib dengan keterangan Quran seperti firman Allah Taala, artinya: "Dan hendaklah ada di antara kamu itu satu umat yang akan menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat baik dan melarang daripada kejahatan". Dan mereka itulah yang berjaya dan menyeru dengan pandai dan perkataan yang baik-baik itu, seperti firman Allah Taala, artinya: "Serulah kepada jalan Tuhan engkau itu dengan hikmat dan ajar nasihat yang elok".

Mengikut tujuan ini, hendaklah ahli am, ahli agama dan orang-orang pandai kita dengan bersungguh-sungguh berusaha menyeru umat dan kaum bangsa kita kepada kebajikan menyuruh berbuat baik dan melarang daripada kejahatan dan kesalahan sama ada berkenaan agama dan dunia di serata-serata kampung dan tempat.

Demikian juga di tempat-tempat orang ramai seperti di masjid-masjid, surau-surau, sekolah-sekolah, persekutuan-persekutuan Melayu dan lain tempat perhimpunan ramai.

Sudah termaklum yang pihak berpengetahuan dan usaha membuat pekerjaan ini tentulah dengan belanja-belanja dan sesiapa di antara mereka yang berdaya upaya dan bermurah hati berkehendakan faedah dan kelebihan pengetahuan dan hartanya sekali membuat pekerjaan ini dengan belanjanya sendiri, tidaklah kita hendak berkata apa-apa pun tetapi syabaslah ia sangat bersungguh-sungguh menunaikan kewajipan dan mencari kebajikan dengan membelanjakan ilmu dan harta sekali.

Dan jika pihak berpengetahuan dan berkepandaian itu tiada berharta yang patut dibelanjakan kerana itu atau ada berharta tetapi ia hanya hendak mengeluarkan kepandaiannya sahaja, tidak hendak membelanjakan hartanya, maka kita serulah pihak yang berharta kepada membantu pihak yang berpengetahuan itu dengan harta supaya sama-sama mendapat kebajikan dan bersatu hati dengan mengeluar dan membelanjakan apa-apa yang ada kepada masing-masing kerana kebajikan dan manfaat am dan supaya membawa kepada betul dan berjaya dengan berbahagia umat kita sekaliannya.

Maka tatakala itu mengeluarkan pengetahuan usaha dan harta kerana am itu bermakna kerana diri sendiri kerana bagaimana yang tersebut tadi, kita sekaliannya seperti sebatang tubuh. Dari itu, hendaklah bersatu pihak berpengetahuan kita dengan pihak itu berhubung rapat dan bersatu dengan pihak-pihak yang lain bersama berpenat lelah berusaha berbelanjakan manfaat am.