Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 1 Feb 1934, p.8

Editorial.

Halaman Kaum Ibu.

Bagaimana yang telah kita siarkan tidak berapa lama dahulu, bahwa kita akan membuka lagi satu halaman khas di dalam Warta Malaya bagi menambah kandungannya bagaimana yang telah kita tambah di dalamnya dengan halaman-halaman khas umpama Halaman Rampaian Penghiburan dan Halaman Cerita.

Maka kita akan tambah lagi satu halaman iaitu halaman kaum ibu, mulai dari hari sabtu hadapan ini.

Adapun tujuan kita dengan membuka halaman kaum ibu ini bukan sahaja dengan tujuan memberi peluang kepada penulis-penulis kaum ibu kita mendengarkan suara-suara mereka itu kepada saudara-saudara kaum laki-laki mereka itu, tetapi mensiarkan di dalamnya seberapa sedapat ilmu-ilmu pengetahuan yang mustahak bagi kaum ibu itu mengetahuinya bagi muslihat pergaulan di dalam rumah tangganya.

Kita akan mencuba seberapa yang dapat mensiarkan apa yang berfaedah bagi kaum ibu Melayu daripada perkhabaran-perkhabaran yang berlaku di dalam pergerakan kaum-kaum ibu di lain-lain negeri terutamanya di negeri-negeri Islam, umpama di Mesir dan di lain-lain, kerana dengan perkhabaran-perkhabaran pergerakan bangsa-bangsa lain itu, kaum ibu kita boleh dapat meluaskan pemerhatiannya dan pengetahuan masing-masing di dalam beberapa hal yang berhubung dengan muslihat pergaulan rumah tangga dan didikkan anak pinak mereka itu.

Dan juga daripadanya dapat ibu-ibu kita mengasah akal masing-masing pada menyelidik yang mana baik dan yang mana tidak baik di antara perkara-perkara yang dilakukan oleh Kaum Ibu di negeri-negeri asing di dalam pergerakan kerana kemajuannya.

Begitu juga kita akan mencuba mensiarkan makalah-makalah nasihat sama ada daripada lidah-lidah ibu-ibu pengarang kita kaum Melayu atau lidah-lidah pengarang kaum-kaum ibu bangsa-bangsa asing yang berguna bagi faedah ibu-ibu kita sebelah sini.

Oleh sebab ruangan yang dapat masa ini kita mengasingkan kerana halaman ini di dalam Warta Malaya kita ini tidak begitu luas, maka tentulah tak dapat kita mensiarkan makalah-makalah yang mengandungi perbincangan yang panjang-panjang.

Yang demikian, kita akan mengkhaskan halaman ini bagi siaran makalah-makalah yang mengandungi nasihat-nasihat dan ilmu pengetahuan yang berguna sahaja.

Di tiap-tiap kali keluarannya kita akan siarkan di dalam halaman ini masak-masakan panganan bangsa asing sekadar dua tiga jenis pada sekali keluar. Masak-masakan yang kita akan siarkan itu ialah pemberian seorang perawan yang berhemah kepada saudara-saudara sejenis dengannya di dalam Semenanjung ini, menerusi Warta Malaya, dengan teladan yang ditunjukkan oleh Encik Perawan itu, harap tak lama lagi kita harap dapat pula menyampaikan beberapa pemberian-pemberiannya yang lain-lain daripada ibu-ibu kita terutamanya daripada Encik-Encik Guru Sekolah Perempuan di serata Tanah Melayu ini, iaitu pemberian di dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan umpama jahit-jahitan, kait-mengait, tekat songket dan lain-lain bagi faedah-faedah saudara-saudara mereka itu di serata Semenanjung ini.

Berharap kita mudah-mudahan halaman Kaum Ibu kita kelak diperkenankan dan digemari oleh ibu-ibu kita dan dapat sokongan mereka itu dengan memberi nasihat-nasihat dan pengajaran-pengajaran yang berfaedah bagi hidangan di dalam Halaman itu. Dan kita tidak akan melepaskan peluang pada melebihkan keluasan halaman ini bila-bila sahaja tiba masanya.