Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 27 Feb 1934, p.??

Editorial.

Perasaan yang Baik.

Bahwa di dalam masa sedikit tahun yang lalu, disebabkan oleh berbagai-bagai perubahan dan pemandangan yang dibawa oleh peredaran zaman telah terbit di antara orang-orang Melayu satu perasaan iaitu sekarang ini tiadalah boleh mereka mendiamkan diri lagi dengan berpeluk tubuh dan melihatkan sahaja kemajuan serta beberapa usahawan-usahawan bangsa-bangsa asing.

Yang demikian, telah memulailah mereka mendapat pengertian bahwa berpeluk tubuh dan melihat sahaja bermakna kerugian besar, bukannya sahaja kepada diri, tetapi kepada kaum bangsanya juga, yang akan tertinggallah selama-lamanya dengan keadaan yang semacam itu kiranya tidak mereka menggerakkan langkah berusaha dan berikhtiar sendiri supaya dapat menyamai dengan bangsa-bangsa asing di dalam beberapa jenis perusahaan yang ada di dalam Tanah Melayu ini yang dengan sentiasa dengan tersenyum melambai-lambai sesiapa-sesiapa juga yang berhajat kepadanya.

Maka itulah suatu perasaan yang sangat-sangat dikehendaki dan mustahak benar digalakkan supaya berkembangan dan termasuk dalam sebaik-baik perhatian orang Melayu pada memperhargakan beberapa jenis perusahaan yang boleh dan ada kelayakan mereka pada membuatnya.

Maka dengan perasaan itulah telah menjadikan beberapa bangsa naik ke mercu ketinggian nama dan beroleh laba dalam kehidupan, sebagaimana telah menjadikan orang-orang Jepun itu satu daripada bangsa-bangsa yang beroleh kejayaan dalam perusahaan di dalam masa tiada sampai seratus tahun.

Syahdan, sekarang ini di dalam semua negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu ini adalah ternyata dengan sebenarnya orang-orang Melayu telah sedar akan ketinggalannya dalam beberapa perkara dan gerak-gerak perusahaan mereka yang ada sekarang ini ialah menjadi satu tanda yang amat berbahagia dalam niat dan kecenderungan hatinya pada berkehendakan kemajuan supaya melayakkan diri dalam perlumbaan hendak memperbaikkan nasib kaum bangsanya supaya terkeluar daripada lembah kepicikan pencarian.

Maka perkara-perkara yang mendatangkan harapan itu ialah dari setahun ke setahun ada banyak bertambah anak-anak Melayu menuntut pelajaran bahasa sendiri dan bahasa Inggeris dan di dalam jawatan kerajaan pun ada beransur banyaknya orang-orang Melayu memegang pekerjaan yang berguna dan dalam medan perniagaan pun orang-orang Melayu ada mencuba hendak mengadukan untung nasibnya pada menjalankan berbagai-bagai perniagaan yang terdaya olehnya.

Hatta, di dalam medan permainan pula pemuda-pemuda Melayu telah menunjukkan iaitu mereka boleh menandingi bangsa-bangsa lain kiranya dengan sebenarnya mereka berhajat dengan bersungguh-sungguh hati, sungguhpun demikianlah adanya perasaan pada berkehendakan kemajuan dan usaha itu, tetapi masih jua ada suatu perkara yang tiada begitu sangat diperhati-perhati iaitu di dalam tiap-tiap satu perusahaan itu sangatlah dikehendaki kecekalan hati dan bertugas benar-benar dengan tidak lekas jemu dan tawar hati atas beberapa galangan yang tak dapat tiada akan dijumpai sebagaimana yang lazim berlaku di dalam tiap-tiap satu perusahaan tatakala mana hendaklah tiada dihadkan perusahaannya kepada seperhinggaan itu sahaja, dan janganlah memberhentikan ikhtiar-ikhtiarnya, mudah-mudahan dengan cuba yang tiada jemu akan menyampaikan juga cita-cita seseorang itu kepada apa yang dimaksudkan adanya.