Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 25 Jan 1935, p.??

Rampaian Harian.

Penulis Khas Kita di Kuala Lumpur.

Mengambil peluanglah saya sebagai menghulurkan tangan menyambut Selamat Datang kepada rakan sejawat saya yang baru, Haji Abdul Rahim bin Salim Kajai, yang telah bertentu akan menjadi Wakil Khas bagi Warta Malaya di dalam Kuala Lumpur.

Adapun akhbar Warta Malaya yang tiada dapat ditengkarkan menjadi akhbar harian Melayu yang terutama dan yang sangat mara dan naik tinggi besar dan jauh lagi mulai menerusi wakilnya yang diangkat itu dapat senantiasa berhubung sendiri dengan pergerakan di dalam bandar kepala negeri Persekutuan itu dalam semua perkara berkenaan dengan kejadian-kejadian dan hal-ehwal di dalam negeri-negeri Melayu yang Bersekutu.

Menurut kemaraan masa Warta Malaya ada menunjukkan dirinya menjadi sebuah suratkhabar yang mempunyai pandangan kepada segala puak bangsa Melayu dan dengan tambahan penulis yang baru sekali itu di dalam Kuala Lumpur, maka adalah menjadi harapannya yang sebenar-benar dan tulus ikhlas iaitu pembaca-pembaca yang di dalam dan di keliling bandar kepala negeri Persekutuan itu yang suka hendak menawarkan syor-syor buah fikiran kerana perubahan-perubahan dan lain-lainnya dalam sebarang perkara, bolehlah bertentu supaya menghasilkan maksud ini dengan berjumpa kepada Haji Abdul Rahim bin Salim Kajai di Nombor 36 Kampung Setapak Kuala Lumpur.

Warta Malaya berkehendak pembaca-pembacanya merasa iaitu adalah menjadi sebahagiannya daripada mereka itu pula pada memberi buah fikiran apa yang mereka fikirkan oleh kerana itu ruangan-ruangannya senantiasa ada melapangkan dadanya di dalam khidmat yang seumpama itu selagi perkara-perkara yang dibahaskan itu ada menuju ke arah meninggikan kemajuan Bangsa Melayu!