Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 4 Jan 1935

General Article.

Zakat.

Oleh al-Fadhil Mahmud Basheer Akhil.

Rencana ini satu syarah yang panjang kita ambil patinya sahaja kerana tiada berpeluang berlanjut-lanjutan. Maka jadi demikian sahaja:

Syariah Islamiah ada sangat memperendahkan muslihat-muslihat campuran ramai dan memeliharakannya daripada penyakit-penyakit yang menjadikan kerosakan-kerosakan di dalamnya dan sedahsyat-dahsyat penyakitnya itu papa dan sejahat-jahat benih di atasnya itu haloba.

Orang kaya dengan kekayaan dan kesenangannya tidak endahkan kesempitan dan kesusahan orang-orang papa dan susah bertokok pula orang kaya itu dengan haloba tamaknya sayang hartanya itu kurang.

Maka akan orang-orang fakir dan papa itu puas berhempas pulas berpinta jerih tidak mendapat perolehan yang mencukupi sekadar lebih kurang sahaja daripada hajatnya dan hendak pun berharap kepada orang-orang kaya mereka tidak hirau, hanya melepaskan diri-sendiri sahaja.

Maka dengan ada pertentangan ini berbangkit kebencian orang-orang kaya kepada orang-orang fakir dan orang-orang fakir berbangkit berang ke atas orang-orang kaya yang menanamkan dendam dengki dan perseteruan yang sangat merosakkan cemburuan ramai yang membawa kepada kerosakan am.

Datang Syariat Islamiah yang berhukumat besar itu memperfardhukan Zakat di atas orang-orang kaya supaya dikeluarkan daripada harta mereka, diberikan kepada orang-orang yang patut diberi seperti fakir miskin, orang-orang dalam kesusahan hingga lapan macam itu.

Yang demikian, hendaklah orang-orang kaya Islam wajib berTuhankan Allah dan berNabikan Muhammad dan bersaudarakan orang-orang Islam itu bagaimana ia mengaku dan mengerjakan fardhu-fardhu dan rukun-rukun Islam yang lain, seperti sembahyang dan puasa, begitulah Zakat memberi kepada mereka yang berhak mendapatnya dan ingat Zakat ini fardhu yang wajib, bukannya khairat yang sunat.

Setelah ada demikian itu, masa sekarang masa cahaya dengan pengetahuan dan kepandaian, masa orang-orang cukup perasaan dan pendapatan. Maka tidak payah kita bercakap panjang atau berbahasa kesat mengata nista orang-orang kaya yang lalai dan tergamak menunjukkan kekerasan dan gagah berani melawan Tuhan dan melanggar perintahnya mengikut hawa nafsu kerut dan bakhil takut susut atau kurang hartanya, hingga tidak menurut perintah Tuhan mengeluarkan Zakat itu; dan sangat dukacitakan pula kerana tatakala beralih pandangan daripada orang-orang yang tiada mengeluarkan Zakat kepada orang-orang yang mengeluarkan Zakat, tetapi mereka keluarkan itu tidak sebanyak yang difardhukan.

Wahai orang-orang kaya! Jangan diringankan perintah Tuhan mengeluarkan Zakat; jangan lupa daripada mengenang dan menimbang rasa di atas saudara-saudara Muslimin yang patut mendapat bantuan daripada orang-orang kaya dengan limpah dan titah perintah Tuhan.

Maka sekiranya orang-orang kaya kita mengeluarkan Zakat sebanyak betul seperti yang dianggarkan oleh Syariah Islamiah, nescaya senanglah orang-orang fakir miskin dan ada harapan mereka mendapat modal sesuatu pekerjaan dan perniagaan dengan ikhtiar mereka sendiri atau dengan panduan pihak berkuasa dan berdaya.