Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 5 Mar 1934, p.4-5

Feature Article.

Apakah awak hendak jadi apabila awak besar kelak?

Budak-budak yang daripada bayi ini barang kali bernasib tidak baik sekali oleh sebab melainkan jikalau mereka ada mempunyai suatu kepandaian atau latihan yang khas untuk pekerjaan-pekerjaan atau perusahaan yang tertentu.

Maka mereka akan mendapatnya payah juga hendak mencari nafkah untuk penghidupan yang berjenis sedikit kerana lepas setahun ke setahun beratus-ratus dan beribu-ribu anak-anak muda keluar dari sekolah-sekolah mereka itu dengan tujuan yang satu itu; hendak mencari jalan supaya mendapat nafkah yang halal.

Maka budak-budak ini patutlah menerima sekalian timbang rasa oleh sebab beberapa banyak akan mengaku yang budak-budak sebaya ini ialah seorang anak muda yang berkelayakan yang lebih baik daripada bapanya atau datuknya pada tatakala mereka berumur seperti dia.

Maka jawapan yang tunggal dan yang terang kepada masalah kesusahan mendapat kerja itu sudah tentu ialah memberi kepada budak-budak ini latihan yang munasabah dalam berbagai-bagai cawangan pekerjaan-pekerjaan dan perusahaan-perusahaan menurut bagaimana kecenderungan dan kelayakan mereka itu dan ikhtiar-ikhtiar wang pada memperbuat yang demikian itu, kerana dengan sebenarnya anak orang kaya itu mempunyai peluang yang besar sekali pada memperlebihi pelajaran yang terbaik sekali; dan oleh itu peluang yang besar sekali pada memegang jawatan yang sedikit sekali bilangan orang-orang memegangnya. Tetapi kerana kesemua kita tiada boleh menjadi anak orang kaya, maka mestilah kita gunakan dengan sehabis-habisnya apa kepandaian atau kecenderungan yang khas yang kita ada mempunyai.

Tiap-tiap seorang daripada kita terkecuali orang gila, ada memiliki suatu kesukaan kerana suatu jenis kerja yang tertentu yang dengan menggunakan ilmu pelajaran akan menjadikannya seorang ahli kerja yang berkelayakan dalam pekerjaannya yang telah dipilihnya itu, yang akan membawa kepadanya kerayaan dan kepuasan hati.

Adapun kepuasan hati itu ialah kurniaan yang terbesar sekali yang seseorang boleh mendapat kerana seseorang yang berpuas-hati itu tiada akan ada sebab hendak melanggar undang-undang negerinya, pelajaran-pelajaran yang besar sekali yang telah diberi oleh tawarikh telah mengajarkan kita bahwa orang-orang yang suka membuat jahat ialah orang-orang yang tiada berpuas hati dengan keadaan mereka itu.

Oleh itu, sangat-sangatlah mustahak bagi seorang budak Melayu yang muda dalam darjah 4 atau 5 daripada sekolah Melayu hendak memikirkan terlebih dahulu atas apakah yang ia hendak jadi apabila ia besar kelak dalam dunia ini.

Ada beratus-ratus jenis pekerjaan dan budak itu ialah seorang budak yang bijak jika ia dengan segera menetapkan pekerjaannya atas apa-apa pekerjaannya yang ia hendak mengambil bagi dirinya apabila tiada lagi boleh ia harapkan ibu bapanya menanggungnya atas makan minum.

Tetapi nasib tiada baik adalah bermaharajalela pada masa ini setengah tanda-tanda yang menawarkan hati di antara budak-budak Melayu iaitu memikir tiada lain melainkan menyediakan diri mereka itu kerana hendak pergi ke sekolah Inggeris apabila mereka lulus peperiksaan sekolah Melayu supaya melayakkan diri mereka itu menjadi kerani-kerani dalam jawatan-jawatan kerajaan atau gudang-gudang.

Bahkan penulis kerap berasa terlalulah berdukacita oleh melihatkan bahwa budak-budak yang daripada bangsanya itu dengan butanya memasukkan diri mereka itu ke dalam suatu pekerjaan yang hampir-hampir penuh benar dengan orang-orang bertahun-tahun yang lalu.

Syahdan, payah benar hendak menyelidik dengan sedalamnya akan sebab yang banyak budak-budak Melayu tertarik kepada pekerjaan kerani itu, melainkan sudahlah tertentulah sebab mereka suka akan yang demikian itu oleh sebab pekerjaan kerani menjadikan mustahak bagi kerani-kerani itu memakai coat pantaloon yang putih yang bersih!

Jika sekiranya yang demikian itu sebabnya, maka budak-budak kita patutlah dikasihani kerana jikalau begitu maka budak itu menaruh lebih megah dalam pakaiannya daripada kurniaan dan kesenangan.

Oleh sebab ada beribu-ribu orang budak-budak yang akan berhenti mengaji di sekolah dalam sedikit masa lagi, maka mustahaklah penulis memberi amaran kepada mereka itu bahwa pada ketika ini tiadalah ada sama sekali akan tempat bagi kerani-kerani lagi dalam Malaya, bahkan beberapa banyak orang-orang kerani telah diberhentikan dari jawatan-jawatan mereka itu disebabkan oleh zaman meleset ini.

Oleh itu, marilah kita palingkan mata pemandangan kita kepada pekerjaan-pekerjaan yang lain yang masih menantikan budak-budak yang singguh-singguh mahu bekerja dengan rajin dan ikhlas, jadilah seorang peladang? Tidak! Janganlah hairan! Kerana penulis tidak menyuruh awak menjadi hanya seorang tukang kebun yang cita-citanya yang tunggal dalam penghidupan ialah hendak menanam sepuluh dua pohon pokok dan sayur. Tetapi penulis mahu mereka-mereka yang suka akan dia itu pergi ke Serdang College di Selangor.

Di sana budak-budak akan diajarkan bagaimana hendak menanam tumbuh-tumbuhan sayur-sayuran padi dan lain-lainnya menurut jalan pengajaran ilmu siasah yang tinggi. Jalan yang tunggal yang dengan dia peladang itu tiada mustahak menghilang masa dan wang sebab perladangan yang salah dan tiada biasa. Pekerjaan yang daripada jenis itu selain daripada menjadikan seorang budak merdeka dan sihat, akan menjadikan budak itu sedarkan betapa bagusnya menjadi seorang raja diri sendiri, supaya bekerja dengan terlalu rajin kerana lebih bekerja itu bermakna lebih pendapatannya baginya dan yang terbaik sekali supaya menjadi terlalu ria kerana ia itu ada membuat pekerjaan yang sedikit orang budak-budak sekolah daripada bangsa Melayu itu berani ataupun mencubanya.

Ladang berladang itu tiada berkehendakan suatu modal yang besar seperti setengah daripada pekerjaan-pekerjaan sendiri yang lain. Yang awak berkehendakan itu ialah sebidang Tanah yang kecil yang awak boleh beli sendiri atau sewa dengan bayaran yang murah daripada kerajaan.

Bermula tiadalah penulis menunjuk-nunjukkan diri penulis menjadi seorang yang pandai dalam ilmu meladang dan penulis tiada akan terangkan dengan sebutir-butirnya darihal pekerjaan ini tetapi tiap-tiap seorang budak yang berfikiran itu boleh nampak iaitu cadangan-cadangan pekerjaan-pekerjaan berladang itu sebenarnya banyak dan oleh itu patutlah dicubakan -- tetapi apa pun kita orang Melayu ini dikatakan menjadi ahli tanam-tanaman.

Jadilah seorang penangkap ikan!

Oh! Sekali lagi awak terperanjat! Oh Tidak! Awak tidak akan disuruh supaya membeli jaring atau mata kail dan mulai pekerjaan awak! Di sini pula awak mestilah melatih diri awak dahulu selama sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun dengan membuat sendiri serta jua dengan petua-petua dengan menggunakan buku-buku yang telah dikarang oleh orang-orang yang pandai dalam ilmu menangkap ikan kerana pekerjaan mestilah dijalankan dengan berperaturan di laut-laut timur ini.

Pekerjaan menangkap ikan itu jikalau sudah dipelajari dengan secukupnya yang layak, dan kelayakan yang baik dalam seseorang budak itu, akan dizahirkan dengan segeranya jika ia menghabiskan kebanyakan daripada masanya di antara kesusahan-kesusahan dan hari-hari yang panas di laut-laut yang besar-besar.

Sebenarnya perusahaan menangkap ikan itu bukanlah suatu perusahaan yang patut dihinakan kerana pantai-pantai Malaya ini boleh digunakan kerana perusahaan-perusahaan menangkap ikan yang berfaedah.

Bagi sementara ini, kita akan tiada perbincangkan lagi pekerjaan-pekerjaan bagi budak-budak hingga keluaran tambahan yang akan datang. Dalam keluaran tambahan yang akan datang penulis berniat hendak memberi dengan ringkasnya sedikit fikiran atas sekurang-kurangnya enam jenis pekerjaan, tetapi perkara yang terutama sekali bagi tiap-tiap seseorang budak-budak itu memikirkan baik-baik dan dengan dalamnya ialah masalah masa perbuatan melakukan kewajipannya pada masa yang akan datang kelak kerana selalulah benar bahwa menetapkan atas sesuatu benda itu ialah memenangkan separuh daripada peperangan.