Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 1 Mar 1934, p.7

Feature Article.

Pulau Singapura. Kebesaran, Kemuliaan dan Kegunaannya kepada Kerajaan British.

Oleh Zainal Abidin SM Pulau Pinang.

Bermula, adalah Pulau Singapura itu ialah sebuah pulau yang kecil di selatan Semenanjung Tanah Melayu. Maka selat di antara Pulau Singapura dengan Semenanjung Tanah Melayu itu ialah selat Johor iaitu suatu terusan air yang tiada lebih daripada empat ratus ela lebarnya. Maka di dalam selat inilah sedang diperbuat oleh kerajaan Inggeris pada masa sekarang ini sebuah kubu yang kukuh yang akan terkandung di dalamnya beberapa kapal perang yang besar-besar dan kapal-kapal terbang yakni tentera laut dan udara.

Maka kubu ini akan dihabiskan di dalam sedikit tahun lagi dan kegunaan itu ialah kerana memeliharakan keamanan di dalam laut-lautan Pacific dan India.

Syahdan, apakah sebabnya telah dipilih oleh Kerajaan British akan Pulau Singapura ini akan menjadi kubu yang akan memeliharakan dan memperlindungkan jajahan-jajahan British daripada bahaya peperangan?

Maka sebab-sebabnya itu patutlah diambil ketahui oleh sekalian rakyat British terutama sekali umat Melayu di dalam Semenanjung ini perhatikan peta yang terlukis di bawah rencana ini, maka nyatalah bahwa adalah Pulau Singapura itu terletak di selatan Semenanjung Tanah Melayu ini di antara dua lautan yang besar iaitu Lautan Pacific dan Lautan India di tengah jajahan-jajahan British yang pertama di dalam alam timuran ini.

Kalakian, di dalam mesyuarat dunia yang telah diadakan di bandar Washington kepala negeri Amerika pada tahun 1923, maka telah ditetapkan oleh kerajaan-kerajaan yang besar di dalam dunia ini tiadalah sesuatu negeri akan memperbanyakkan alatan peperangan.

Maka oleh sebab ketetapan itu kerajaan Amerika telah mengaku tiada akan membuat kubu di pulau-pulau Manila itu dan Kerajaan British telah mengaku juga tiada akan menambahkan tentera laut dan darat di pulau Hong Kong dan kerajaan Jepun telah dibenarkan mengambil pangkat yang keutamaan di dalam Lautan Pacific sahaja.

Maka kerajaan Jepun bersetuju dengan ketetapan yang membenarkan kerajaan Amerika menambahkan tentera laut yang ada sedia di Pulau Hawaii itu.

Dan yang membenarkan Kerajaan British membuat suatu kubu di Singapura kerajaan memeliharakan jajahan masing-masing, kerajaan dan sebabnya yang Kerajaan British telah memilih Pulau Singapura itu seperti tersebut di atas tadi, ialah kerana duduknya itu di tengah-tengah jajahan British yang dikepung oleh Lautan Pacific dan Lautan India itu.

Dan lagi, perjalanan-perjalanan kapal dari Lautan Pacific ke Lautan India itu terpaksa menerusi laut yang berhampir dengan Pulau Singapura.

Oleh yang demikian, nyatalah yang Singapura ini kunci kedua-dua lautan yang tersebut itu dan apakah sebabnya hendak dijagakan dan dikukuhkan kunci ini?

Tiap-tiap benda yang dikatakan kunci itu besar gunanya dan mestilah dijaga. Apakah maksud kerajaan kita mengukuhkan kunci ini?

Takutkah kerajaan kita akan kerajaan Jepun seperti sangka kebanyakan daripada penduduk-penduduk Semenanjung ini? Adakah masanya kerajaan Jepun akan merampas Pulau Singapura daripada tangan kerajaan kita?

Tidak sekali-kali tidak!

Syahdan, sebab itu ialah jikalau sekiranya pada masa yang akan datang ada peperangan besar, maka peperangan itu akan menjadi peperangan laut dan udara terlebih daripada peperangan di darat. Oleh sebab sekalian kerajaan telah maju di dalam ilmu udara pada masa sekarang ini.

Ialah yang demikian tiadakah kerajaan kita terpaksa menyediakan suatu alatan di tepi laut yang besar sekali di dalam dunia ini kerana memeliharakan jajahannya daripada bahaya laut dan udara?

Maka sebab itulah dipilih Pulau Singapura bagi tempat pelihara jajahan-jajahannya di dalam Lautan Pacific itu dan di dalam Lautan India bersama-sama.

Dan lagi, sembilan puluh peratus daripada dagangan-dagangan negeri panas yang masuk ke dalam negeri England seperti getah, timah, emas, intan, bulu ostrich, minyak tanah, minyak minuman, kapas, sutera, daging kambing, quinine, cocoa, dan beberapa benda-benda yang lain itu datangnya dari jajahan-jajahan yang berkelilingi Pulau Singapura.

Dan jikalau sekiranya ada peperangan yang besar pada masa yang akan datang, tak dapat tidak rosaklah perniagaan Kerajaan British dan bagaimanakah hal keadaan negeri-negeri British yang berniaga dengan negeri England itu, jikalau kapal-kapal terbang membawa dagangan-dagangan itu dirosakkan daripada atas udara oleh kapal-kapal terbang?

Bahwa inilah dia sebanyak yang Kerajaan British bersusah-susah dan berpenat-penat memperbuat kubu di Singapura itu bukanlah kerana takut akan negeri-negerinya dirampas oleh lain bangsa.

Apabila sudah kubu Singapura itu, maka Pulau Singapura akan menjadi lebih rama dan makmur dan bilangan penduduknya pun akan menjadi dua kali ganda oleh sebab Singapura akan membeli dagangan-dagangan daripada sekalian negeri-negeri Melayu.

Maka keadaan Semenanjung kita sedikit hari lagi di dalam kesenangan dan kemakmuran itu sudah tertentu. Dan lagi oleh sebab Singapura dan Semenanjung kita ini akan menjadi lebih masyhur, maka nama umat Melayu pun akan menjadi masyhur juga jikalau umat Melayu bersungguh-sungguh daripada masa sekarang ini.

Maka hendaklah kita umat Melayu memberi beribu-ribu syukur kehadrat Tuhan Rabbiul Alamin kerana mengerakkan hati menteri-menteri besar Kerajaan British itu memilih akan Pulau Singapura bagi ibu pemelihara sekalian jajahan-jajahan British di dalam lautan-lautan yang tersebut itu oleh sebab di antara rakyat-rakyat yang di bawah tanggungan Kerajaan British itu umat Melayu di dalam Semenanjung inilah yang terdekat sekali dengan ibu yang akan memeliharakan kebesaran dan kemuliaan Kerajaan British itu.

Allah peliharakan Empire British!