Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 10 Mar 1934, p.10

Editorial.

Rampaian ((Miscellany)).

Getah nampaknya ada bergerak naik dan kuli-kuli bekerja getah ada kehendak-kehendak mencari dan menggunakannya. Maka daripada ini ada sedikit harapan mendapat penawar penyakit kesempitan yang merana di tubuh kehidupan dan kekayaan di seluruh alam beberapa tahun sudah dihidupkan itu.

Tetapi nyata yang menyebabkan sempit itu bukannya getah sahaja tetapi ada lagi beberapa banyak punca-punca dan sebab-sebab.

Bagaimana yang telah kita siarkan tiada berapa hari satu makalah daripada seorang murid Raffles School di sini mengesyorkan kita supaya membuka suatu halaman pemuda, di dalam Warta Malaya sekali atau dua seminggu itu sangat kita perhargakan dan akan kita timbangkan di belakang kelak apakala kita dapat menerima lain-lain fikiran menyokong syor itu daripada pemuda-pemuda di dalam sekolah-sekolah di dalam semenanjung ini.

Sukacita kita memperhatikan bahwa baru-baru ini nampaknya murid-murid bangsa kita yang di dalam sekolah-sekolah Inggeris sudah mulai menunjukkan kegemaran mereka itu mengambil bahagian menyeru di dalam medan surat-surat khabar Melayu, kita harap perlangkahan itu akan bertambah-tambah dan berkekalan kemajuannya dan kita sedia memberi peluang dan menggalakkan perlangkahan mereka itu di bila-bila masa pun.

Kemudian daripada mendapat beberapa sokongan syor membuka halaman pemuda atau lebih baik lagi digelar dengan nama "Halaman Murid-Murid" dan mengetahui daripadanya yang halaman itu jika dibuka boleh dikekalkan dengan mendapat pengakuan daripada beberapa penulis-penulis daripada murid-murid darjah tinggi yang mereka itu akan menghantar makalah masing-masing yang berfaedah bagi pengetahuan anak-anak sekolah khasnya dan kaum Melayu amnya. Maka mengakulah kita membuka halaman itu dengan seberapa segeranya.