Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 9 Mar 1934, p.8

Editorial.

Tanah Tanaman Melayu Singapura.

Sekalian orang mengetahui dengan yakin iaitu semua perkara itu mula-mulanya kecil kemudian baru menjadi besar. Maka oleh kerana itu hendaklah kita orang-orang Melayu menerima dengan sukacita apa-apa yang sedia dan ada di tangan kita atau apa-apa yang diuntukkan kepada kita, baik sedikit atau banyak dan sama ada kecil atau besar, kerana daripada tidak ada biar ada, dan daripada putus biar gantung.

Dan inilah suatu pegangan yang hendaklah anak-anak bangsa kita Melayu memegangkan sekiranya tidak, nescaya menjadi bidalan Melayu, yang dikejar tak dapat, yang dikendung ciciran. Atau takut titik luar tumpah, ialah sekiranya kita orang-orang Melayu berkekalan juga berkehendakan yang lebih dan besar sahaja dan kalau berjumpa yang kurang atau yang kecil tidak hendak diambil atau diterima.

Maka hal ini tentu membawa kepada hampa dan kosong sekali. Maka pegangan ini hangan dipegang kerana dengan langkahan ini telah jadi tersemu dan menyesal beberapa umat dan kaum. Tetapi yang sebenar-benarnya besar, tinggi, mulia, terutama dan lebih itu hendaklah dikehendaki dan hendaklah senantiasa diingat dan dicari.

Tetapi pula sementara belum mendapatnya lamun tersua dengan yang kecil, rendah, kurang daripada yang dikehendaki itu, hendaklah diambil dahulu dengan peringatan akan berusaha dahulu dengan peringatan akan berusaha dengan seberapa daya upaya pada memperolehi yang boleh daripada pendapatan-pendapatan yang ada itu.

Maka inilah sebaik-baik hemah yang dikatakan hemah tinggi sebenar-benar dan terletak di atas asas akal dan timbangan. Setelah kita anak-anak bangsa Melayu mengetahui faedah itu kita sula bercakap sedikit berkenaan dengan untung tuah dan bahagia mereka-mereka yang dikatakan orang-orang Melayu Singapura kerana setelah kerajaan British di jajahan-jajahan selat mengurniakan sekeping tanah besar di Singapura untuk kediaman orang-orang Melayu yang dikatakan kampung Melayu dan sudah ada bilangan ratus rumah didirikan di atasnya.

Maka sekarang pula kerajaan British dengan limpah kurnianya telah anggarkan sebahagian tanah itu untuk orang-orang Melayu bercucuk tanam dan tanah itu bukannya tanah hutan belantara ialah tanah dusun yang tiada payah bekerja teruk bercucuk tanam di dalamnya itu.

Bahwa oleh kerana itu, kita kata orang-orang Melayu bertuah dan berbahagia mendapat limpah kurnia kerajaan British yang menyuruh dan menimbang rasa menaruh belas kasihan dan kasih sayang kepada orang-orang Melayu itu dan payah didapati suatu peluang baik seperti ini.

Dari itu hendaklah orang-orang kita Melayu berbuat mengambil peluang ini dengan membuka lingkar dan meluruskan tulang urat yang tersimpul itu dan hendaklah kita syukurkan nikmat tuhan kepada kita dan termaklum syukur itu bukannya hanya ucapan Alhamdulillah syukur.

Tetapi, hendaklah dijalankan mengikut betul seperti kehendak nikmat itu. Maka nikmat ini mendapat tanah tanaman. Maka syukurnya itu dengan memperharga dan menghidupkan tanah itu dengan usaha dan rajin kita bercucuk tanam dengan seberapa daya upaya kerana sekalian anak-anak bangsa kita mengetahui, iaitu tanah itu menanggung budi.

Dalam hal cucuk tanam itu, hendaklah ingat iaitu pada permulaan kita bekerja tentu berat dan belum dapat hasil atau keluaran daripada tanaman itu. Maka di sini dan masa itu hendaklah sangat-sangat kita sabar hingga jadi tanaman itu dengan memberi hasil dan faedah tetapi apabila sudah jadi sekalipun kecil, itulah satu perolehan yang berharga dan keuntungan yang terbilang kerana sebaik-baik pekerjaan itu pekerjaan sendiri dan bekerjasama sendiri kerana sungguhpun kerap zahirnya kurang, penat dan susah, tetapi batinnya dan hakikatnya yang sebenar-benarnya ialah lebih mulia, megah, bebasan dan senang.

Dari itu, hendaklah anak-anak bangsa kita Melayu dengan seberapa segera, mengambil tanah itu dan bersungguh-sungguh berusaha membakar gaharu kita supaya nampak dan nyata pustaka kebangsaan Melayu dengan mendapat sebutan yang harum dan nama yang baik.