Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 23 May 1934, p.10

Editorial.

Mengarang Cerita-Cerita Pendek.

Jalan yang salah yang kebanyakannya dilakukan oleh pemuda-pemuda kita yang mencuba hendak mengarang cerita-cerita pendek ialah dengan duduk memenungkan apa yang hendak ditulisnya itu di atas meja dengan pensel, pen, dakwat dan sebeban kertas. Dan kemudian berkata: "Ha! Sekarang apa dia yang aku hendak tulis?"

Jalan yang demikian tiada memberi apa natijah selain daripada memenuhkan bakul kertas kitar dan mengelirukan kebolehan seseorang di dalam ilmu mengarang.

Benar, harus banyak pengarang kita yang masyhur-masyhur menjalankan pekerjaan karang mengarang mereka itu demikian. Tetapi mereka itu jauhari-jauhari yang telah mahir dalam ilmu dan amalannya. Dengan kemahiran mereka itu, dapat mereka itu merupakan keadaan-keadaan yang dipandang oleh mereka itu di sepanjang jalan jadi gambar-gambar asas perbinaan cerita yang hendak dikarang oleh mereka itu, dan merangkapkan di dalamnnya cakapan yang berpadanan. Mendapatkan keadaan yang demikian itu, senang kepada yang sudah mahir, tetapi mustahil pada yang baru hendak bermula.

Oleh sebab kita menulis ini kerana orang yang baru hendak mula mengarang maka tidak mesti kita memadakan dengan hanya berkhabar kepadanya bagaimana orang yang bijak itu menjalankan kerjanya tetapi berkhabar kepadanya bagaimana dia sendiri mesti buat di dalam percubaan yang mula pada menjalankan kerjanya itu:

Pertama-pertama sekali, tiap-tiap orang mula hendak mengarang cerita-cerita pendek itu mestilah lebih dahulu berjinak dengan surat-surat khabar dan majalah-majalah yang ada mengeluarkan cerita-cerita seumpama itu. Dan membaca tiap-tiap satu cerita itu dengan tujuan hendak belajar dan kedua mestilah ada padanya pengetahuan yang cukup atas apa jenis cerita yang digemari dan apa yang tidak digemari oleh orang ramai, ertinya hendaklah dia tahu baik akan kemahuan pasarnya.

Bila sudah faham baik-baik dia akan jenis cerita-cerita yang disukai oleh orang rama, ketika itu hendaklah dia mencuba mula-mula mereka beberapa pelan-pelan cerita yang pada fikirannya berpeluang yang munasabah boleh mendapat kegemaran orang ramai membacanya.

Kemudian buatlah ingatan dengan menulis rang pelan-pelan cerita itu di dalam sebuah daftar peringatan dan kemudian menungkan apa yang telah ditulis itu di dalam masa-masa kelapangan. Tiada berapa kalam kelak setengah daripada rang cerita-cerita itu akan didapatinya kurang bagus, tapi yang lagi setengah itu akan menarik kegemarannya. Yang akhir inilah yang dikehendaki dia mula-mula memegang dan mengarangnya bagi siaran di dalam suratkhabar atau majalah.

Tetapi rang cerita yang didapatinya kurang bagus itu jangan dibuangkan langsung. Kerana pada satu hari kelak harus melintas diakalnya suatu fikiran yang cemerlang yang boleh jadi dengan sebenar-benar dapat dia mengubah keadaan pelan cerita yang kurang bagus itu kepada satu yang menerbitkan cerita yang berjaya sekali.

Bila sesuatu pelan cerita itu telah direka, maka mustahaklah difikirkan pula orang yang dikehendaki di dalam cerita itu. Jika yang demikian itu belum lagi diadakan. Inilah sebenar-benarnya yang berguna sekali kerana mereka itu itulah punca penarik kegemaran di dalam cerita itu apa yang dibuat dan apa yang jadi kepada orang-orang yang di dalam cerita itulah yang memberi kegemaran dan menarik kegemaran orang pada membaca cerita itu.

Oleh sebab orang-orang di dalam cerita itu sangat-sangat besar gunanya, maka mustahaklah dikehendaki dengan seberapa cermat menggemarkan mereka itu dengan rupa sifat yang asli, kejayaan seseorang pada menggambarkan dengan perkataan sesuatu benda atau manusia dengan rupa sifat yang asli tidak boleh dapat dengan hanya duduk bersandar di atas sebuah kerusi malas.

Ertinya, sifat-sifat yang elok bagi pahlawan atau anak muda dan sifat-sifat yang jahat bagi penjahat-penjahat di dalam sesuatu cerita itu tidak boleh didapati dengan keadaan sifat-sifat yang dikehendaki dengan hanya diperangan-angankan sahaja. Di masa minggu keretapi dipelantar perhentian, disepanjang jalan balik ke rumah, siang atau malam hari, di masa makan angin di tepi-tepi pantai atau di masa menunggu giliran masing-masing di bilik menunggu di pejabat doktor, inilah masa-masanya bila kita boleh dapat daripada pemerhatian kita mencari sifat-sifat orang yang kita kehendaki di dalam cerita kita itu.

Dan bila dapat hanya dikehendaki kita dengan angan-angan kita mengubah atau menambah dengan sedikit sebanyak bagi mempersetujukan dengan sifat-sifat yang dikehendaki oleh cerita kita itu. Sifat-Sifat yang diterbitkan hanya oleh angan-angan sahaja pada pihak pengarang-pengarang permulaan akan berupa tidak sungguh atau seperti kayu.

Tetapi yang terbit daripada pemerhatian atas manusia-manusia yang sebenar ada lebih berpeluang memberi kepuasan hati orang ramai.