Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 31 May 1934, p.8

Editorial.

Patut di Teladani.

Pada hari Selasa 29 haribulan ini kita telah beruntung mendapat peluang yang pertama berjumpa dengan Encik Fatih Akhir, Pegawai Syarikat bekerja-bekerjasama Bagi Selangor, di dalam kapal yang membawa dia kembali daripada perlawatannya ke Ceylon kerana mempelajari dengan pemerhatiannya atas perjalanan pergerakan bekerja-bekerjasama di Ceylon, di mana pergerakan itu telah dijalankan jauh lebih dahulu daripada dijalankandia di Semenanjung ini.

Menurut pendapatan Encik yang dikasihi itu, bahwa Ceylon boleh bermegah atas kemajuan syarikat kampung ((Rural)) kerana sebetulnya kata Encik itu, syarikat-syarikat kampung di dalam Ceylon ada lebih jauh majunya daripada syarikat-syarikat kampung di dalam Semenanjung kita ini. Tetapi bagaimana pendapatan Encik itu juga, Semenanjung kita ini dapat mengatasi pula daripada Ceylon di dalam perkara kemajuan syarikat bandar ((Urban)) kerana pada pendapatannya syarikat-syarikat orang bergaji di dalam Semenanjung ini ada lebih maju daripada yang ada di Ceylon itu.

Bila kita tanya mengapa sebab, maka jadi demikian, maka jawabnya adalah pada pendapatannya bahwa di Ceylon pergerakan bekerja-bekerjasama itu daripada mula-mulanya dijalankan lebih kuat di darat daripada di jalankan dia di bandar.

Satu pendapatan yang terutamanya sekali yang sangat-sangat digemari oleh Encik itu ialah atas kesihatan dan kebersihan di dalam kampung-kampung di darat pulau itu. Dia sendiri telah menyaksikan kebenaran atas yang demikian itu dengan pergi sendiri berhari-hari menjajah lepas sekampung sekampung bersama-sama dengan pegawai-pegawai kesihatan laki-laki dan perempuan, yang berjawatan di situ, sebab-sebab yang terutama sekali maka dapat kesihatan dan kebersihan di dalam kampung-kampung bagaimana yang didapatinya itu. Pada fikiran Encik itu, ialah pertama kerana sempurna kawalan pejabat kesihatan negeri itu dan kedua kerana adanya dibangunkan beberapa banyak syarikat-syarikat bekerja-bekerjasama khas kerana kesihatan dan kebersihan.

Doktor-doktor dan pegawai-pegawai kesihatan di dalam jabatan kerajaan negeri itu, kata Encik itu, boleh dikatakan kesemuanya daripada bangsa anak watan negeri itu juga, katanya selain daripada dua tiga orang, kesemua doktor-doktor di Ceylon itu daripada bangsa anak negeri itu.

Yang demikian, tiadalah boleh dihairankan akan kebagusan keadaan kesihatan dan kebersihan kampung-kampung di dalam negeri itu kerana sudah tentu seseorang anak negeri itu lebih mengerti menghambat hati, saudara-saudara sebangsanya daripada seseorang yang lain bangsanya.

Tambahan pula, telah diadakan syarikat-syarikat bekerja-bekerjasama khas bagi kesihatan dan kebersihan, apalagi bertambah-tambahlah majunya keadaan itu. Kita harap dan percaya yang Encik Fatih Akhir iaitu tidak berlambatan lagi pada mengesyorkan supaya syarikat-syarikat yang seumpama itu dicuba didirikan di sebelah sini. Sebenarnya, mendirikan syarikat kerana kesihatan dan kebersihan itu sendiri bermakna kepada mendirikan jimat cermat kerana kecuaian pada penjaga kesihatan dan kebersihan yang menyebabkan terpaksa berbelanja kerana mengubat kesakitan yang terbit daripada kecuaian itu ialah satu daripada jalan-jalan keborosan, beberapa banyak wang yang boleh diselamatkan pada tiap-tiap tahun dalam tiap kampung jika orang-orang kampung itu diajar dan dilatih bekerja-bekerjasama kerana menjaga kesihatan dan kebersihan diri, rumah dan halaman mereka itu. Satu kenyataan di dalam perkara ini daripada Encik itu sangat menarik kegemaran kita mendengarnya, iaitu katanya satu daripada syarikat kerana kesihatan dan kebersihan di Ceylon yang telah dilawatinya itu mempunyai seorang ahli di dalam lembaga jawatankuasa dan menjadi penyimpan wang bagi syarikat itu ialah seorang perempuan tua yang berumur lebih kurang tujuh puluh tahun.

Nah! Jika seseorang yang sebegitu tua, lagi perempuan pulak, berkegemaran pada masalah kesihatan betapa lagi yang muda-muda.

Khabarnya ada lagi beberapa banyak syarikat-syarikat kampung yang ahli-ahli dan pegawai-pegawai sama ada sama-sama perempuan atau bercampur laki-laki dan perempuan.

Pendeknya, pada pendapatan kita, daripada apa yang kita dengan daripada Encik Fatih Akhir itu, bahwa adalah keadaan jimat cermat orang kampung di dalam Ceylon itu lebih baik daripada keadaan jimat cermat orang-orang kampung kita di sebelah sini.

Sebab maka jadi demikian, agaknya ialah kerana pergerakan bekerja-bekerjasama di Ceylon itu lebih kuat dan lebih bertekun dijalankan di kampung daripada di bandar.

Encik Fatih Akhir ini terlalu kuat berpegang kepada kepercayaannya yang sangat-sangat kita persetujukan -- bahwa selagi belum penganjur-penganjur kaum kita sendiri menjalankan amalan jimat cermat, mustahil kaum kita Melayu boleh mencapai kemajuan yang dikehendaki bagaimana selalu kita dengar bunyi dengungan suara-suara jerit pekik mereka itu daripada segenap ceruk di dalam Semenanjung ini.

Agak kita tentulah Encik Fatih Akhir itu akan menghantar kenyataan rasmi atas pendapatannya dan buah fikirannya daripada pemerhatiannya di dalam negeri yang dilawatinya itu kepada pejabatnya dan berdoalah kita mudah-mudahan dapat pejabatnya itu memilih daripadanya beberapa benih yang berguna bagi semaian di dalam Semenanjung Tanah Melayu bagi muslihat kaum Melayu.