Warta Malaya extract
bibliographical notes on Warta Malaya
index of Warta Malaya extracts
    • locate in index of extracts taken from Warta Malaya

 

Warta Malaya, 24 May 1934, p.5

Feature Article.

Wayang Bangsawan Melayu.

Oleh Huma.

Semenjak sedikit betah daripada kepiluan meleset, maka pekan-pekan yang kecil-kecil pun ada berasa riang oleh dilawati wayang-wayang bangsawan Melayu, hingga tuan punya panggung pun telah mengangkatkan sewanya, apabila dilihatnya tuan-tuan punya wayang itu hendak berdahulu-dahuluan masuk ke panggungnya.

Manakala kita perhatikan dan selidik dengan sehalus-halusnya bahwa adalah wayang bangsawan itu suatu pertunjukan yang besar dan mengandungi di dalamnya beberapa pelajaran bagi penontonnya yang menunjukkan teladan kehidupan dan aturan perbahasaan dengan memakai perhiasan yang tertentu. Tetapi kecuai kita dapati kebanyakan daripada wayang-wayang yang kita lihat pada hari ini pertunjukannya tidak sekali-kali memberi puashati, kerana tiada yang menurut kehendak yang sebenar:

Iaitu pada permulaan perbukaan sesuatu cerita selalulah kita lihat raja bertakhta. Maka dengan serta-merta ia pun mengangkatkan suaranya berkata "Saya bernama ..." kemudian menyanyi seketika. Setelah itu, bertanya kepada menterinya, "Apakah khabar ya menteriku? Selama Tuan bersama-sama dengan saya, apakah yang menjadikan kekurangan apa?"

Inilah yang kerapkali kita dapati.

Maka adakah munasabah pada akal tiap-tiap raja Tuan menyanyi sebelum bertitah? Dan lagi yang selalu memusykil pada kita, semuanya cerita yang dilakonkan hampir-hampir sama iaitu setelah raja bertitah, maka dipanggilnya permaisuri dan bini-bininya, seolah-olah supaya ia masuk di Paseban atau di Balai Rong Seri bersama-sama dengan Menteri Hulubalang dan sekalian orang besar-besarnya. Pada hal yang demikian itu semata menyalahi aturan raja-raja Melayu.

Dan lagi, tampaknya serupa tidak sah kiranya seorang yang keluar itu kiranya tidak menyanyi dan bertanyakan khabar. Maka nyanyi itu tidak jua boleh dihapuskan dengan syarat lagu-lagu yang dinyanyikan itu terkhas kepada suatu cerita itu. Pada hal yang kita dengar tiap-tiap kali tiada lain daripada lagu-lagu yang kita dengar tiap-tiap malam juga.

Dan lagi, terlalu banyak rencana di dalam wayang bangsawan yang merosakkan keelokan pertunjukan itu seperti orang lawaknya biadab menceroboh ke dalam majlis raja dan menumbuk menampar putera raja ((apakala ia geram)). Maka kesalahan wayang bangsawan Melayu itu tidak mengaturkan pertunjukannya. Maka mujur juga kebanyakan penonton di sebelah sini tiada mengetahui aturan yang dikehendaki dengan sebenarnya. Tetapi daripada suatu hari ke suatu hari apakala mengerti akan aturan permainan yang dikehendaki itu, maka tak dapat tiada, pada suatu masa yang akan datang kelak tiada berguna pertunjukan wayang bangsawan Melayu.

Sekiranya tidak diubah peraturannya, maka tentang gerak geri tampkanya lemah sekali tidak seperti wayang bangsa asing kerana mereka itu bersungguh-sungguh melakukan dan kerap kali kita terpandang seorang yang memarahkan seorang lainnya dengan tiada menunjukkan kemasan muka. Akhirnya penonton pun tertawa gelak-gelak, hanyalah yang kita dapat ada betul aksinya iaitu Encik Khairuddin ((Tiru)), tetapi yang lain itu belum kita dapat kebetulannya, wayang bangsawan Melayu suka melakukan cerita-cerita jin, mambang, dewa, diambil daripada hikayat bohong yang tiada boleh mendatangkan suatu kiasan, boleh juga dilakonkan cerita-cerita rangkaian sahaja, tetapi biarlah memberi guna kepada ilmu.

Kebanyakan melakonkan cerita jin atau raja Melayu zaman purbakala. Tetapi pakaiannya seperti pakaian zaman tamadun bertali leher dan berseluar potongan Eropah.

Kiranya tiada boleh mengadakan pakaian itu, eloklah lakonkan cerita rekaan zaman sekarang dengan mudahnya dengan tidak berkehendakan pada menyediakan pakaian yang pelik-pelik itu.

Sungguhpun begitu, tiada memberi kepuasan hati kepada kita tetapi selalu sahaja kita dapati company-company wayang bangsawan itu dapat menerima piala perak dan pingat-pingat ((Medal)) kita berasa sedikit malu mendengar leteran daripada bangsa-bangsa lain seperti Jepun dan lainnya oleh tiada kepuasan hati mereka itu tentang lakonannya itu.

Maka telah dihadiahkan sebuah piala perak sanya pada tekaan dan perasaan kita bahwa mangkuk perak dan medal yang dihadiahkan mereka itu bukannya kerana menepati pada melakonkan cerita mengikut peraturan yang dikehendaki oleh tamadun zaman. Bahkan inilah hadiah yang bertalikan maksyuk akan kirai senyum serta kilatan sumbi gigi ahli-ahli orchestra berpantun sendirian, kasi kepada seorang yang difikirkannya boleh menarik persetujuan ramai pada mengadakan hadiah-hadiah yang tersebut itu.